Sign In

“Kepentingan” telah ditafsirkan di bawah seksyen 2(1) Akta Skim Kepentingan 2016 sebagai: “Kepentingan” ertinya apa-apa kepentingan atau hak untuk mengambil bahagian, sama ada boleh dikuatkuasakan atau tidak dan sama ada sebenar, prospektif atau kontingen sama ada di Malaysia atau di tempat lain—
  1. dalam apa-apa skim pelaburan;
  2. dalam apa-apa skim kongsi-masa; atau
  3. dalam apa-apa skim keahlian rekreasi.
Kepentingan walaubagaimanapun, adalah tidak termasuk:
  1. apa-apa syer dalam atau debentur suatu perbadanan;
  2. suatu produk pasaran modal yang ditakrifkan di bawah seksyen 2 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007;
  3. apa-apa kepentingan dalam suatu perjanjian perkongsian melainkan jenis-jenis perjanjian yang dibutirkan dibawah s.2(1)(iii)(A) dan (B) Akta Skim Kepentingan 2016; dan
  4. apa-apa kepentingan penyertaan dalam apa-apa produk yang dikawal selia di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan Akta Institusi Pembangunan Kewangan 2002.
Skim Kepentingan melibatkan pengumpulan sumbangan kewangan daripada orang ramai sebagai tukaran untuk mendapat kepentingan dalam sesebuah skim. Perniagaan secara tradisi melibatkan pertukaran wang dengan hakmilik sesuatu harta atau sesuatu hak secara tetap atau sepenuhnya, namun memandangkan perniagaan bersifat dinamik, ia terus menerus berevolusi. Justeru, kreativiti perniagaan telah menghasilkan beberapa kelas aset baru termasuklah "kepentingan", yang mencerminkan sesuatu hak yang dibeli itu tidak memberikan hakmilik secara tetap sebaliknya secara sementara atau tidak sepenuhnya. Kepentingan juga boleh wujud dalam pelbagai bentuk dan hanya terhad kepada sempadan minda perniagaan yang kreatif. Didorong oleh peluang untuk mendapatkan kredit secara mudah atau dana daripada orang ramai di bawah nama skim perniagaan yang inovatif dan pintar, terdapat sesetengah pengusaha perniagaan yang tidak bertanggungjawab bergiat aktif menawarkan kepentingan kepada orang ramai untuk mendapat  jumlah sumbangan kewangan sebanyak mungkin tanpa melalui mekanisma kawal selia. Jika perkara ini tidak dibendung, implikasi terhadap orang ramai adalah jauh dan meluas. Akta Skim Kepentingan 2016 telah diperkenalkan bagi menangani masalah yang mungkin berlaku seperti itu dengan menyediakan perlindungan kawal selia yang ketat dan perlindungan pelabur yang kukuh.





MYGOVERNMENT
KPDNHEP myGoverment
Agensi-agensi lain di bawah KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN KOS SARA HIDUP
SSM MyIPO MyCC