SDP IV SSM bagi tahun 2026-2030 dengan visi Peneraju dalam Memperkasa Ekosistem Perniagaan yang Dipercayai, Cekap dan Lestari memberi tumpuan kepada kecekapan undang-undang dan peraturan, kecemerlangan operasi, kepuasan pelanggan, kestabilan kewangan serta pemerkasaan warga kerja, bagi mewujudkan persekitaran di mana perniagaan dapat berkembang maju sambil menekankan integriti, ketelusan dan kelestarian.
SDP IV selari dengan aspirasi dan sasaran Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang mengutamakan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan, transformasi digital, peralihan hijau serta pembangunan bakat bernilai tinggi. Dalam menyokong RMK13, SSM akan memperkukuh peranannya dalam memudah cara urusan perniagaan, mempromosikan amalan perniagaan yang bertanggungjawab dan mampan, memacu pendigitalan dalam fungsi pengawalseliaan dan penyampaian perkhidmatan serta menyumbang kepada daya saing Malaysia di peringkat global.
Menjelang tahun 2030, inisiatif di bawah SDP IV akan memperkukuh persekitaran perniagaan Malaysia melalui proses yang dipermudah, tadbir urus yang mantap, penyelesaian digital yang inovatif dan pemerkasaan modal insan. Langkah ini akan membolehkan SSM bertindak sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, keyakinan pelabur dan kesejahteraan masyarakat selaras dengan keutamaan pembangunan negara.
Kerangka Strategik SDP IV
SDP IV 2026–2030 menyediakan kerangka yang komprehensif untuk memandu SSM dalam mencapai visinya iaitu Peneraju dalam Memperkasa Ekosistem Perniagaan yang Dipercayai, Cekap dan Lestari. Berteraskan lima (5) teras strategik, kerangka ini menterjemahkan mandat SSM kepada matlamat strategik yang jelas, pelan tindakan dan hasil yang boleh diukur selaras dengan keutamaan pembangunan negara di bawah RMK13 serta landskap perniagaan yang sentiasa berubah. Ia mewujudkan pendekatan holistik yang merangkumi kecemerlangan operasi, kemampanan kewangan, pemodenan peraturan, penyampaian perkhidmatan berfokuskan pelanggan dan pemerkasaan warga kerja. Dengan mengintegrasikan teknologi, pembuatan keputusan berasaskan data, penglibatan pihak berkepentingan dan amalan perniagaan yang bertanggungjawab, SDP IV memastikan SSM berada dalam kedudukan yang kukuh untuk memperkasakan peranan pengawalseliaannya, memacu pertumbuhan perniagaan dan meningkatkan kepercayaan awam. Akhirnya, kerangka ini berfungsi sebagai pelan hala tuju untuk membina organisasi yang bersedia menghadapi masa depan yang mendorong daya tahan ekonomi dan daya saing Malaysia menjelang tahun 2030.
Untuk maklumat lanjut, boleh rujuk Pelan Hala Tuju Strategik IV (SDP IV) (2026-2030).