YBrs. Tuan Haji Hazel bin Mohammad telah dilantik sebagai Anggota Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berkuat kuasa 25 November 2025. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B) daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang diperoleh pada tahun 2000.
Beliau merupakan seorang peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya serta telah diterima masuk ke Majlis Peguam Malaysia pada tahun 2001. Dengan pengalaman lebih 20 tahun sebagai Penasihat Undang-Undang Kanan, beliau telah menyumbangkan perkhidmatan profesional dalam pelbagai sektor awam dan swasta merangkumi kewangan serta perbankan konvensional dan Islamik, pembangunan hartanah, pembinaan, penyelesaian pertikaian, undang-undang komersial dan korporat.
Pada masa ini, beliau berkhidmat sebagai peguam kanan di Messrs Shamsuddin & Co (Peguam bela & Peguam cara), mengetuai Jabatan Sivil, Komersial dan Penyelesaian Pertikaian sejak tahun 2001. Beliau juga merupakan Ahli Tribunal Tuntutan Pengguna bagi tempoh 2024–2027.
Sejak tahun 2024, beliau turut berperanan sebagai perunding pematuhan undang-undang & korporat di Kasa Strategic Advisory-FZCO, Dubai, UAE, dengan portfolio utama memberi nasihat profesional kepada syarikat asing bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan sistem perundangan Malaysia, peraturan, dasar dalaman serta piawaian etika.
Datuk Nor Azimah binti Abdul Aziz merupakan Ketua Pegawai Eksekutif, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Sebelum pelantikan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada 1 Mei 2020, beliau merupakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Kawal Selia dan Penguatkuasaan dan seterusnya menyandang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Korporat antara tahun 2016 sehingga 2020. Memulakan perkhidmatan dengan SSM sebagai Pengurus Besar di Jabatan Polisi, Perancangan dan Pembangunan Korporat pada tahun 2003. Kerjaya beliau bermula pada tahun 1992 sebagai Peguam Bela & Peguam Cara dan seterusnya berkhidmat sebagai Pensyarah Undang-Undang di Jabatan Perakaunan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sewaktu berkhidmat di UKM, beliau telah dipinjamkan ke Jabatan Kawal Selia dan Piawaian di Institut Akauntan Malaysia (MIA) pada Julai 2000.
Berpengalaman luas dalam inisiatif reformasi undang-undang dan telah menyelia pembangunan perundangan yang penting di bawah bidang kuasa SSM antaranya Akta Syarikat 2016, Akta Skim Kepentingan 2016, Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 dan Akta Syarikat (Pindaan) 2007. Beliau kini merupakan Ahli Lembaga Pengawasan Audit (AOB), Ahli Lembaga Pengiktirafan Pegawai Integriti Bertauliah (LPPIB), Ahli Lembaga Yayasan Laporan Kewangan (FRF), Ahli Jawatankuasa Kelulusan & Pelaksanaan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Ahli Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) dan dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (ExCo) Corporate Registers Forum (CRF). Pada tahun 2023, beliau dilantik sebagai Profesor Adjung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Beliau berkelulusan Undang-Undang daripada Institut Teknologi MARA (kini Universiti Teknologi MARA atau UiTM) dan memperoleh Ijazah Sarjana Undang-Undang dari University of Wales, Aberystwyth, United Kingdom.