Sign In
Kelulusan Firma Setiausaha Syarikat Untuk Beroperasi Di Bawah Fasa 1 Dan 2 Pelan Pemulihan Nasional

​Merujuk kepada pengumuman pihak kerajaan baru-baru ini, syarikat perkhidmatan profesional dan perundingan telah dibenarkan untuk beroperasi di bawah Fasa 1 dan Fasa 2 Pelan Pemulihan Nasional (PPN), tertakluk  kepada syarat kelulusan pihak berkuasa yang mengawalselia perkhidmatan profesional tersebut.

2. Lanjutan dari pengumuman tersebut, Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI) telah bersetuju menyenaraikan perkhidmatan setiausaha syarikat di bawah perkhidmatan profesional dan perundingan, seterusnya membenarkan firma setiausaha syarikat untuk mengemukakan permohonan beroperasi kepada MITI bagi tujuan menjalankan perkhidmatan kesetiausahaan.

3. Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai badan yang mengawalselia setiausaha syarikat di bawah Akta Syarikat 2016 telah diberi tanggungjawab untuk meluluskan permohonan oleh firma setiausaha syarikat. Syarikat yang diluluskan perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bertarikh 25 Ogos 2021 dan lain-lain SOP yang dikeluarkan oleh MKN dari semasa ke semasa.

4. Sehubungan itu, ahli kepada badan-badan professional yang diluluskan di bawah Jadual Keempat Akta Syarikat 2016 boleh mengemukakan permohonan bagi firma kesetiausahaan masing-masing sekiranya berhasrat untuk memulakan operasi di premis perniagaan masing-masing. Permohonan boleh dihantar melalui COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) yang dikendalikan oleh MITI. Sila log masuk melalui https://notification.miti.gov.my/login.

5. SSM menasihatkan semua pengamal profesion untuk mematuhi syarat yang ditetapkan oleh MITI dan SOP yang dikeluarkan oleh MKN bagi mengekang penyebaran wabak COVID-19. Diharapkan dengan pembukaan semula sektor ini, firma setiausaha syarikat dapat terus memainkan peranan dalam menyokong sektor korporat terutama melibatkan Perusahaan Kecil dan Sederhana dalam menghidupkan kembali ekonomi negara.

6. Panduan mengenai permohonan telah disediakan oleh MITI melalui portal https://www.miti.gov.my/redir/ppn/cims.html.

7. Soalan lazim (FAQ) mengenai permohonan boleh didapati di portal SSM di https://www.ssm.com.my/bm/Pages/FAQ/FAQ-Covid19-BM.aspx​.

SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
30 OGOS 2021


Attachments
MYGOVERNMENT
KPDNHEP myGoverment
Agensi-agensi lain di bawah KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN KOS SARA HIDUP
SSM MyIPO MyCC