Sign In
  
  
Isi Kandungan
  
  
  
  
  
364
  

Kuala Lumpur, 22 November 2024 - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat Korporat (WZK) SSM berupa sebuah Van Patient Transport Service Vehicle (PTSV) berjumlah RM220,000 kepada Institut Perubatan Respiratori, Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sumbangan yang berlangsung di Institut Perubatan Respiratori, HKL ini telah disempurnakan oleh Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif SSM.

Sumbangan ini bertujuan sebagai sokongan tambahan untuk memudahkan pemindahan pesakit, khususnya mereka yang berkerusi roda dan yang menggunakan stretcher.

Sebelum ini SSM juga telah menyumbangkan peralatan perubatan dan ambulans kepada tujuh buah hospital lain, termasuk Hospital Sg. Buloh, Hospital Sultanah Aminah, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Hospital Maliha, Hospital Kapit, Sarawak, Hospital Queen Elizabeth 1 dan Hospital Seri Manjung dengan jumlah keseluruhan melebihi RM1 juta.

Sejak 1 Januari hingga 31 Oktober 2024, SSM telah mengagihkan lebih RM6.5 juta menggunakan dana Wakalah Zakat Korporat SSM kepada 9,734 penerima asnaf di seluruh negara. Dalam tempoh yang sama, SSM juga telah mengagihkan lebih RM477,000 menggunakan Dana CSR SSM 2024 kepada 766 penerima yang memerlukan.

Majlis turut dihadiri oleh Dr. Nurhayati Mohd Marzuki, Pengarah, Institut Perubatan Respiratori, Encik Rezy Izwan Ramly Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhimatan Korporat) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Zakat dan Tanggungjawab Sosial Korporat (JPZCSR) SSM, Encik Kamalazira Pauzi, Timbalan Pengarah Pengurusan Hospital Kuala Lumpur dan Tuan Hj. Azrin Dato' Hj. Abdul Manan, Pengurus Besar Kanan Sumber Manusia PPZ-MAIWP.

DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA

TARIKH: 22 NOVEMBER 2024



11/22/2024Berita2024Press Release22/11/2024
363
  

Sibu, 27 Oktober 2024 – Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sibu pada 26 September 2024 terhadap satu pertuduhan di bawah Seksyen 591(2)(a) Akta Syarikat 2016 kerana membuat pernyataan palsu kepada Pendaftar Syarikat.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Tan Siew Leong telah membuat satu pernyataan palsu berkenaan butir material di dalam Notice Of The Extraordinary General Meeting bertarikh 14 Mei 2019 bagi syarikat Institut Memandu Maju Jaya Sdn Bhd berkenaan jawatannya di dalam notis tersebut sedangkan Tan mengetahui ianya palsu.

Sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 591(2)(a) Akta yang sama dengan penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM3 juta atau kedua-duanya sekali.

Hakim Musyiri Peet membenarkan tertuduh diikat jamin tanpa tunai bernilai RM5,000. Mahkamah menetapkan tarikh 30 Oktober 2024 untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen oleh pihak pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Muhammad Akmal Azmi manakala tertuduh diwakili oleh peguam, George Lim dari Battenberg & Talma Advocates.

SSM memberi peringatan kepada orang awam untuk memastikan maklumat yang diserah simpan di SSM adalah tepat dan terkini serta tindakan pendakwaan akan diambil terhadap individu-individu yang didapati memberikan pernyataan, maklumat atau laporan palsu atau mengelirukan kepada SSM. 

SSM sentiasa konsisten dalam mengawal selia pematuhan peruntukan undang-undang yang ditadbir di samping memastikan komuniti korporat peka terhadap tanggungjawab serta etika perniagaan.

DIKELUARKAN OLEH : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
TARIKH : 27 OKTOBER 2024

10/27/2024Kes Mahkamah2024Press Release27/10/2024
362
  

Georgetown, 26 Oktober 2024 – Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Jenayah di sini pada 20 September 2024 dengan satu pertuduhan di bawah Seksyen 591(2)(a) Akta Syarikat 2016 bagi kesalahan membenarkan supaya dibuat satu pernyataan palsu mengenai peletakan jawatan pengarah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh, Narendran Permalu telah membenarkan pernyataan palsu dibuat kepada Pendaftar Syarikat berkenaan butir yang material dalam dokumen Section 58 Notification of Change in the Registers of Directors, Managers and Secretaries bertarikh 19 April 2019 bagi syarikat NR Sweets Restaurant N Cafe Sdn Bhd berkenaan peletakan jawatan Revathi Vecivanathan sebagai pengarah syarikat sedangkan beliau mengetahui ianya palsu.

Sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 591(2)(a) Akta yang sama dengan penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM 3 juta atau kedua-duanya sekali.

Hakim Irwan Suaibon membenarkan tertuduh diikat jamin dengan nilai RM10,000 bagi pertuduhan yang dikenakan. Mahkamah menetapkan tarikh 28 Oktober 2024 untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen oleh pihak pendakwaan. Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa SSM, Mohd Iqbal Mohd Yusoff, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Dr. N. Ahilan.

SSM memberi peringatan kepada orang awam bahawa tindakan pendakwaan akan diambil terhadap individu-individu yang didapati melanggar atau tidak mematuhi mana-mana peruntukan di bawah undang-undang yang dikawalselia oleh SSM.​


DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
TARIKH: 26 OKTOBER 2024

10/26/2024Kes Mahkamah2024Press Release26/10/2024
361
  

Kuala Lumpur, 25 Oktober 2024 - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat Korporat (WZK) berupa sebuah van jenazah bernilai RM129,156 kepada Madrasah Al-Khairiah Taman Salak Jaya serta agihan berjumlah RM10,000 kepada 40 orang asnaf di kawasan tersebut.

Serahan dan sumbangan yang disempurnakan oleh Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) semasa Majlis Serahan Sumbangan Van Jenazah kepada Madrasah Al-Khairiah bersempena Projek Road to Jannah 2.0 ini bertujuan untuk menyantuni dan membantu golongan yang memerlukan demi memelihara kebajikan serta kesejahteraan masyarakat.

Sumbangan van jenazah ini adalah kesinambungan dari program pada tahun 2023 di mana SSM telah menyumbangkan 10 van jenazah berjumlah RM1.38 juta kepada 10 negeri melalui Projek Road to Jannah.

Pada tahun 2024, Projek Road to Jannah 2.0 pula diteruskan di mana empat buah van jenazah akan disumbangkan kepada beberapa institusi keagamaan termasuk Madrasah Al-Khairiah Taman Salak Jaya.

Sejak 1 Januari hingga 30 September 2024, SSM telah mengagihkan lebih RM5.9juta WZK kepada 8,806 penerima asnaf di seluruh negara. Dalam tempoh yang sama, SSM juga telah mengagihkan lebih RM437,746 melalui program CSR kepada 750 penerima yang memerlukan.

Majlis turut dihadiri oleh Datuk Haji Abdul Hakim Amir Osman Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Tuan Haji Rosli Bahari, Pengerusi Madrasah Al-Khairiah Taman Salak Jaya dan Farid Ahmad, Pengarah Bahagian Strategi dan Komunikasi Korporat SSM, merangkap Timbalan Pengerusi JPZCSR SSM.

DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA

TARIKH: 25 OKTOBER 2024


10/25/2024Berita2024Press Release25/10/2024
360
  

Pulau Pinang, 20 Oktober 2024 – Dua bekas pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Georgetown dan Mahkamah Sesyen Butterworth dengan empat pertuduhan di bawah Seksyen 3(2)(a) Akta Skim Kepentingan 2016 bagi kesalahan menawarkan skim kepentingan yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Berdasarkan kertas-kertas pertuduhan, Dato' Dr. Jessie Tang dan Dr. Tan Eng Heong secara niat bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan, telah membuat penawaran suatu skim pelaburan tanaman halia di Sabah iaitu Ginger Contract Farming melalui syarikat Asiana Bestari Sdn Bhd kepada orang awam tanpa mendaftarkan skim tersebut terlebih dahulu dengan SSM di bawah Akta Skim Kepentingan 2016. Kesalahan yang didakwa ini masing-masing telah dilakukan pada 6 Oktober 2021 di Butterworth serta 9 Disember 2020 dan 6 April 2022 di Georgetown.

Sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 3(3) Akta yang sama dengan penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya sekali.

Bagi kes pertuduhan di Mahkamah Sesyen Georgetown pada 10 Oktober 2024, Hakim Juraidah Abbas (Mahkamah Sesyen Jenayah 1) dan Hakim Irwan Suainbon (Mahkamah Sesyen Jenayah 2) telah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM25,000 setiap seorang bagi setiap pertuduhan. Kedua-dua Mahkamah juga telah menetapkan tarikh 12 November 2024 untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen oleh pihak pendakwaan.

Bagi kesalahan yang didakwa dilakukan di Butterworth pula, Hakim Noor Aini Yusof tidak mengenakan jaminan kepada kedua-dua tertuduh dengan mengambil kira rekod jaminan yang dikenakan di Mahkamah Sesyen Georgetown. Mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan SSM untuk memindahkan kedua-dua kes ke Mahkamah Sesyen Georgetown.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa SSM, Mohd Zulkhairi Kamaruzaman, Faizal Mahdi Mahmud dan Nurul Husna Mohd Yusof, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Haziq Dhiayauddin Razali dan Aiman Abdul Rahman dari Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq.

SSM memberi peringatan kepada orang awam bahawa tindakan pendakwaan akan diambil terhadap individu-individu yang didapati melanggar atau tidak mematuhi mana-mana peruntukan di bawah undang-undang yang dikawalselia oleh SSM.

SSM juga mengingatkan orang awam supaya sentiasa berwaspada dan mendapatkan maklumat serta pengesahan lanjut daripada pihak SSM atau badan penguatkuasaan lain mengenai skim pelaburan atau kepentingan yang mencurigakan yang ditawarkan oleh mana-mana syarikat atau perniagaan.


DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
TARIKH: 20 OKTOBER 2024

10/20/2024Kes Mahkamah2024Press Release20/10/2024
359
  

Kuala Lumpur, 19 Oktober 2024 – Sebuah syarikat pengurusan skim kongsi tani kelapa sawit, East West Horizon Plantation Berhad (EWHPB), mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Jenayah pada 15 Oktober 2024 atas tuduhan melanggar Seksyen 45(1)(f) Akta Skim Kepentingan 2016.

Berdasarkan kertas pertuduhan, East West Horizon Plantation Berhad (EWHPB), sebuah syarikat pengurusan yang mengendalikan skim kongsi tani kelapa sawit di Sabah yang dikenali sebagai East West Horizon Planter's Scheme (EWHPS) didapati telah gagal mematuhi klausa 20.1 di dalam Surat Ikatan Amanah atau Trust Deed bertarikh 24 Disember 2012 dibaca bersama Surat Ikatan Amanah Tambahan Kedua atau Second Supplemental Trust Deed bertarikh 23 Januari 2015.

EWHPB dikatakan telah gagal untuk memasukkan wang berjumlah RM9,647,971.71 ke dalam Reserve Fund Trust Account milik pemegang amanah, Pacific Trustee Berhad di antara 1 Januari 2023 hingga 31 Mac 2023. Wang ini sepatutnya digunakan untuk pembayaran bagi tujuan Monthly Net Return pelabur skim tersebut untuk suku tahun pertama 2023.

Di bawah Seksyen 45(2) Akta Skim Kepentingan 2016, jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga RM500,000, atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah tidak mengenakan sebarang jaminan terhadap syarikat berkenaan yang telah diwakili oleh Jessie Tang dan bersetuju dengan permohonan pendakwaan untuk menggabungkan kes ini dengan dua kes lain yang dituduh pada 12 September 2024.

Pada 12 September 2024, EWHPB bersama dua pegawainya, Jessie Tang dan Terrence Mark, telah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan di bawah Seksyen 45(1)(f) Akta Skim Kepentingan 2016. Namun, pengakuan bersalah untuk EWHPB tidak dapat direkodkan kerana pendakwaan gagal menyerahkan surat wakil kuasa yang sah untuk Jessie mewakili syarikat. Oleh itu, tarikh 15 Oktober 2024 ditetapkan untuk pembacaan pertuduhan terhadap EWHPB.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa SSM, Liyana Amira Kamaludin manakala tertuduh diwakili oleh peguam, Mohd Haziq Dhiauddin Razali dan Aiman Abdul Rahman.

SSM mengingatkan orang awam supaya sentiasa berwaspada dan mendapatkan maklumat serta pengesahan lanjut daripada pihak SSM atau badan penguatkuasaan lain mengenai skim pelaburan atau kepentingan yang mencurigakan yang ditawarkan oleh mana-mana syarikat atau perniagaan.

DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA

TARIKH: 19 OKTOBER 2024


10/19/2024Kes Mahkamah2024Press Release19/10/2024
358
  

Kuala Lumpur, 30 September 2024 - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini menganjurkan Program Usahawan Muda (PUM24) peringkat Negeri Melaka dan Muar melibatkan penyertaan lebih 3,000 pelajar daripada institusi pengajian tinggi sekitar negeri-negeri berkenaan.

Program dalam talian yang dirasmikan oleh Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif SSM ini bertujuan memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai pengurusan sesebuah perniagaan, di samping menyemai minat dan menerapkan nilai-nilai keusahawanan dalam diri peserta.

Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Nor Azimah berkata PUM24 merupakan inisiatif SSM untuk memupuk dan memperkasakan penglibatan pelajar dalam bidang perniagaan selari dengan visi SSM untuk menjadi pendaftar dan pengawal selia korporat terulung.

Beliau juga mendedahkan bahawa SSM telah menganjurkan PUM sejak tahun 2021 dengan penglibatan lebih 15,000 pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, Institut Latihan Kemahiran Awam serta Pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal & Vokasional seluruh negara. 

Dalam pada itu, Datuk Nor Azimah turut berkata melalui pelaksanaan PUM24 peringkat negeri Melaka dan Muar ini, SSM juga membuka peluang kepada peserta untuk memanfaatkan Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) yang diperkenalkan bagi memberi kemudahan pendaftaran perniagaan secara percuma kepada golongan usahawan B40 dan pelajar IPT sepenuh masa.

Tambahnya, dari 1 Januari 2021 hingga 31 Ogos 2024, jumlah pendaftaran perniagaan yang berjaya didaftarkan secara percuma melalui SPPP adalah sebanyak 128,116 yang terdiri daripada 59,857 pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sepenuh masa dan 68,259 usahawan kumpulan B40.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi SSM Customer Care (SSMCC) di bahagian Aduan & Maklum Balas, SSM Chatbot, Live Chat SSM di portal rasmi SSM, talian 03-7721 4000, atau emel enquiry[at]ssm.com.my.


DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
TARIKH: 30 SEPTEMBER 2024

9/30/2024Berita2024Press Release30/09/2024
357
  

Kuala Lumpur, 13 September 2024 – Sebuah syarikat pengurusan skim kongsi tani kelapa sawit dan pegawai-pegawainya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Jenayah 12 pada 12 September 2024, atas tiga pertuduhan di bawah Seksyen 45(1)(f) Akta Skim Kepentingan 2016.

Berdasarkan kertas pertuduhan, East West Horizon Plantation Berhad (EWHPB), sebuah syarikat pengurusan yang mengendalikan skim kongsi tani kelapa sawit di Sabah yang dikenali sebagai East West Horizon Planter's Scheme (EWHPS) bersama pegawai-pegawainya, Dr. Jessie Tang dan Terrence Mark, didapati telah gagal mematuhi klausa 20.1 di dalam Surat Ikatan Amanah atau Trust Deed bertarikh 24 Disember 2012 dibaca bersama Surat Ikatan Amanah Tambahan Kedua atau Second Supplemental Trust Deed bertarikh 23 Januari 2015.

EWHPB dikatakan telah gagal untuk memasukkan wang berjumlah RM9,647,971.71 ke dalam Reserve Fund Trust Account milik pemegang amanah, Pacific Trustee Berhad pada 1 Januari 2023 bagi tujuan pembayaran Monthly Net Return suku tahun pertama 2023 kepada para pelabur skim EWHPS.​

Ketiga-tiga tertuduh memohon untuk dibicarakan setelah pertuduhan dibacakan. Hakim Norina Zainol Abidin menetapkan tarikh 15 Oktober 2024 untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan pertuduhan terhadap EWHPB dibacakan.

Seksyen 45(2) Akta Skim Kepentingan 2016 memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM500,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai-pegawai pendakwa daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Mohd Zulkhairi Kamaruzaman, Faizal Mahdi Mahmud dan Liyana Amira Kamaludin manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili oleh peguam, Mohd Haziq Dhiauddin Razali.

SSM ingin mengingatkan orang awam supaya sentiasa berwaspada dan mendapatkan maklumat serta pengesahan lanjut daripada pihak SSM atau badan penguatkuasaan lain mengenai skim pelaburan atau kepentingan yang mencurigakan yang ditawarkan oleh mana-mana syarikat atau perniagaan.​

DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
TARIKH: 13 SEPTEMBER 2024
9/13/2024Kes Mahkamah2024Press Release13/09/2024
356
  

​Kuala Lumpur, 27 Ogos 2024 – Pada hari ini saya telah melancarkan Persidangan Kebangsaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau lebih dikenali sebagai SSM National Conference (SSMNC2024) yang dianjurkan secara dalam talian dengan rekod penyertaan lebih 3,000 delegasi termasuk wakil daripada ahli-ahli Corporate Registers Forum dari Singapura, Hong Kong, Tunisia, Republic of Kiribati serta Afrika Selatan.

Matlamat utama persidangan ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai amalan terbaik korporat di samping membincangkan perkembangan terkini dalam perundangan yang mempengaruhi perniagaan di Malaysia bersama pakar-pakar yang diketengahkan. 

SSM National Conference yang memasuki tahun ke-13 penganjuran pada 2024 telah berkembang menjadi sebuah platform utama untuk wacana dan perbincangan bagi para profesional perniagaan dan korporat. Persidangan ini menyediakan ruang berharga untuk peserta bertemu, bertukar pandangan dan mendalami aspek-aspek kritikal mengenai persekitaran perniagaan yang sentiasa dinamik dan mengalami perubahan pesat. SSMNC2024, yang mengangkat tema “Enhancing Corporate Transparency. Building Resilience”, menampilkan 11 sesi plenari, 39 penceramah terkemuka dan 15 pempamer maya yang akan menyajikan pelbagai perspektif dan kepakaran.

Antara topik penting yang akan dibincangkan termasuklah Companies (Amendment) Act 2024: Unmasking Control, yang membahas ketelusan pemunya benefisial dan pelaksanaannya, Companies (Amendment) Act 2024: Strengthening Corporate Rehabilitation Framework, yang memfokuskan pada pengukuhan kerangka pemulihan korporat, Building Corporate Resilience in A Disruptive AI Future yang meneroka cabaran dan strategi untuk ketahanan korporat dalam era kecerdasan buatan yang mengganggu amalan sedia ada, serta Accelerating Digital Economy for SMEs yang mengkaji langkah-langkah untuk mempercepatkan ekonomi digital di kalangan perusahaan kecil dan sederhana.

Tema yang dipilih tahun ini menekankan keperluan kritikal untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang bukan sahaja telus tetapi juga bertanggungjawab. Ketelusan bukan sekadar satu kewajipan pematuhan tetapi juga merupakan komponen strategik yang penting dalam membina daya tahan dan keberkesanan jangka panjang dalam landskap perniagaan yang semakin kompleks.

Malaysia komited untuk mematuhi piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh Financial Action Task Force (FATF), yang menekankan kepentingan ketelusan pemunyaan benefisial sebagai asas utama dalam usaha memerangi pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan. Dalam konteks ini, pindaan terbaru kepada Akta Syarikat 2016, melalui Akta Syarikat (Pindaan) 2024 yang telah berkuat kuasa sejak 1 April 2024, menandakan langkah signifikan dalam memperkukuh tatakelola korporat di negara ini.

Kerangka perundangan baharu ini memperkenalkan pelbagai perubahan yang bertujuan untuk meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan syarikat, serta mempertingkatkan mekanisme kawal selia korporat. Pindaan ini melambangkan komitmen Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta SSM untuk bersama-sama menerajui strategi dan pendekatan yang lebih menyeluruh dalam menyokong agenda reformasi. Ini termasuk pengukuhan kerangka tatakelola Kerajaan dan tadbir urus negara secara keseluruhannya, serta memastikan ketelusan yang lebih baik dalam ekosistem perniagaan dan sektor korporat.

Selain itu, kerangka perundangan ini turut memberi penekanan kepada pengawasan yang lebih ketat dan pelaporan yang lebih jelas mengenai pemunyaan benefisial, dengan tujuan untuk mengurangkan risiko penyelewengan dan meningkatkan keyakinan pelabur serta pihak berkepentingan lain terhadap integriti sistem perniagaan di Malaysia. Pendekatan ini adalah selaras dengan matlamat negara untuk menjadi sebuah pusat perniagaan yang berintegriti tinggi dan berdaya saing dalam arena global.

Perkara ini seiring dengan konsep Malaysia Madani yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Konsep ini menekankan tiga nilai teras utama: inklusiviti, integriti dan akauntabiliti, yang merupakan asas penting dalam membina sebuah masyarakat dan ekonomi yang lebih adil dan beretika. Di bawah kepimpinan beliau, usaha-usaha untuk meningkatkan ketelusan korporat telah diberi perhatian khusus sebagai langkah penting dalam memperkukuh sistem perniagaan dan menjamin keyakinan pelabur serta orang ramai.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, sistem e-BOS (Electronic Beneficial Ownership System) telah dilancarkan untuk mempermudahkan proses serah simpan dan pengurusan maklumat pemunya benefisial. Sistem ini bertujuan untuk meningkatkan ketelusan dan mengurangkan risiko penyelewengan dengan menyediakan platform yang efisien bagi syarikat untuk menyerah simpan maklumat penting mengenai pemilik sebenar mereka. Sistem e-BOS bukan sahaja mempermudahkan pelaporan tetapi juga memastikan bahawa maklumat yang dikumpul adalah tepat dan terkini.

Sehingga 31 Julai 2024, sebanyak 374,774 daripada 677,351 syarikat aktif yang tersenarai dalam daftar SSM telah mematuhi keperluan untuk menyerahkan maklumat pemilikan benefisial mereka. Ini menunjukkan kadar pematuhan sebanyak 55.3%, yang merupakan langkah positif ke arah mencapai matlamat ketelusan yang lebih tinggi dalam sektor korporat. Pencapaian ini menggambarkan komitmen yang semakin mendalam daripada sektor perniagaan untuk memenuhi piawaian ketelusan yang ditetapkan dan menyokong usaha-usaha reformasi yang dilaksanakan di bawah konsep Malaysia Madani.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi SSM Customer Care (SSMCC) di bahagian Aduan & Maklumbalas, SSM Chatbot, Live Chat SSM yang boleh diakses melalui portal rasmi SSM, talian telefon
03-7721 4000 atau emel ke enquiry[at]ssm.com.my.

YB DATUK ARMIZAN MOHD ALI 
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup
8/27/2024Berita2024Press Release27/08/2024
355
  

Seremban, 19 Ogos 2024 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini menganjurkan Program Bimbingan Usahawan (PBU24) peringkat Negeri Sembilan melibatkan penyertaan lebih 700 orang di sekitar negeri tersebut.

PBU24 dianjurkan bertujuan untuk memberikan sokongan, bimbingan dan peluang kepada usahawan tempatan memperkukuh dan memajukan perniagaan mereka di samping menjadi platform terbaik untuk meneroka dan mempelopori ilmu keusahawanan dengan menggabungkan pengetahuan perniagaan kontemporari dengan teknologi dan digitalisasi terkini.

Program yang berlangsung di Dewan Pekerti, Seremban ini telah dirasmikan oleh Tuan Ahmad Sabki Yusof, Pengerusi SSM.  

Dalam ucapan perasmiannya, Tuan Ahmad Sabki menekankan bahawa pendedahan awal dalam bidang perniagaan adalah amat penting dalam membentuk budaya keusahawanan yang kukuh di negara kita.

"Pendedahan kepada asas-asas keusahawanan ini bukan sahaja dapat mengembangkan pemikiran kreatif dan inovatif, tetapi juga melengkapkan seseorang individu dengan pemahaman mendalam tentang pengurusan perniagaan yang berkesan, termasuk aspek pengurusan, pemasaran, operasi, dan strategi," katanya.

Tambahnya, dalam mencapai objektif ini, SSM bukan sahaja menganjurkan program seperti PBU, tetapi turut memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi mewujudkan kesedaran kepada komuniti perniagaan berkenaan kepentingan pendaftaran perniagaan, strategi perniagaan dan serta kaedah pemasaran digital dalam menjalankan perniagaan. 

Tuan Ahmad Sabki berkata salah satu inisiatif SSM bagi menggalakkan rakyat menceburi bidang perniagaan adalah dengan menawarkan Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) yang dapat dimanfaatkan oleh komuniti perniagaan dalam kalangan pasangan suami isteri B40 serta pelajar IPT sepenuh masa dengan mendaftarkan perniagaan mereka secara percuma melalui pengecualian fi pendaftaran dan maklumat perniagaan. 

Sejak SPPP mula diperkenalkan sehingga 31 Julai 2024, jumlah perniagaan yang berjaya didaftarkan secara percuma di bawah skim ini adalah sebanyak 123,570 yang terdiri daripada 57,953 pelajar IPT sepenuh masa dan 65,617 usahawan kumpulan B40.

Semasa program berlangsung, SSM juga telah menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat Korporat (WZK) berjumlah RM45,000 kepada surau, sekolah, pusat jagaan kanak-kanak dan usahawan asnaf serta sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berjumlah RM20,000 kepada rumah kebajikan dan golongan yang memerlukan sekitar Negeri Sembilan.

Dari 1 Januari 2024 hingga 31 Julai 2024, SSM telah mengagihkan dana WZK lebih RM5.4 juta kepada 7,003 penerima asnaf di seluruh negara. Bagi tempoh yang sama, SSM telah mengagihkan sumbangan CSR lebih RM360,000 kepada 580 penerima yang memerlukan.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi SSM Customer Care (SSMCC) di bahagian Aduan & Maklumbalas, SSM Chatbot (24 jam, 7 hari), Live Chat SSM (8.00 pagi hingga 5.30 petang, Isnin hingga Jumaat, kecuali hari cuti umum) melalui portal rasmi SSM, talian telefon 03-7721 4000 atau emel ke enquiry[at]ssm.com.my. 

DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
TARIKH: 19 OGOS 2024

8/19/2024Berita2024Press Release19/08/2024
354
  

Subang Jaya, 16 Ogos 2024 - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini melancarkan dua platform pembekalan maklumat korporat baharu, SSM Search dan SAFEDATA-SSM.

Kedua-dua platform ini dibangunkan untuk memudahkan akses kepada maklumat entiti perniagaan yang dikawal selia oleh SSM secara dalam talian. Selain itu, ia juga bertujuan memastikan maklumat yang tepat dan pantas dapat diakses oleh orang awam, membantu mereka membuat keputusan yang berinformasi ketika berurusan dengan entiti-entiti perniagaan di Malaysia.

Dengan penambahan platform-platform ini, SSM kini menyediakan empat saluran bagi membekalkan maklumat entiti-entiti perniagaan, memperluas capaian dan kemudahan kepada orang awam dan pihak berkepentingan.

Sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam pemerbadanan syarikat, pendaftaran perniagaan dan perkongsian liabiliti terhad (PLT), SSM juga bertanggungjawab menyediakan maklumat mengenai entiti-entiti perniagaan yang didaftarkan di bawah undang-undang yang dinyatakan dalam Jadual Pertama, Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia 2001.

Sejak 2006, evolusi pembekalan maklumat oleh SSM bermula dengan Portal SSM e-Info yang menyediakan maklumat entiti-entiti perniagaan secara dalam talian. Pada tahun 2016, Portal MYDATA SSM pula diperkenalkan bagi memperluas akses kepada maklumat entiti-entiti perniagaan.

Dari 2019 hingga 31 Julai 2024, lebih daripada 26.4 juta transaksi telah direkodkan melalui MyDATA-SSM dan Portal SSM e-Info. Angka ini dijangka terus meningkat dengan pengenalan platform SSM Search dan SAFEDATA-SSM.

Dalam ucapan perasmiannya, Pengerusi SSM, Tuan Ahmad Sabki Yusof, menyatakan bahawa jumlah transaksi yang tinggi ini mencerminkan kepercayaan pelanggan terhadap platform-platform pembekalan maklumat SSM.

"Melalui portal-portal ini, pelanggan boleh mendapatkan 37 jenis produk SSM, termasuk profil perniagaan, profil syarikat, maklumat kewangan syarikat dan salinan sijil pendaftaran perniagaan.

"Saya berharap platform-platform ini akan terus menjadi sumber rujukan utama bagi maklumat entiti-entiti perniagaan di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Platform Baharu Pembekalan Maklumat Korporat SSM & Majlis Perasmian SSM BizDay 2024 yang diadakan di Mydin Wholesale Hypermarket, Subang Jaya, dengan kehadiran lebih 600 peserta.

SSM BizDay 2024 dianjurkan untuk memperkenalkan dan menawarkan produk serta perkhidmatan SSM, mendapatkan maklum balas pelanggan, meningkatkan tahap pematuhan perniagaan serta memperkukuhkan hubungan antara komuniti perniagaan dan SSM.

Tuan Ahmad Sabki turut menggesa para peserta untuk memanfaatkan peluang yang ditawarkan oleh SSM melalui program ini, dengan mendaftarkan perniagaan mereka untuk memastikan ia sah di sisi undang-undang.

Sehingga 31 Julai 2024, terdapat 677,351 syarikat, 1,659,838 perniagaan, dan 35,821 PLT yang aktif dalam daftar SSM.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi SSM Customer Care (SSMCC) melalui bahagian Aduan & Maklum Balas, SSM Chatbot, Live Chat SSM di portal rasmi SSM, talian 03-7721 4000 atau emel enquiry[at]ssm.com.my.​


DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
TARIKH: 16 OGOS 2024

8/16/2024Berita2024Press Release16/08/2024
353
  

​Manjung, 11 Ogos 2024 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM40,000 kepada beberapa masjid, surau serta rumah kebajikan sekitar kawasan Manjung, Perak, melalui agihan Wakalah Zakat Korporat (WZK) dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SSM pada 5 Ogos 2024. 

Inisiatif ini bertujuan menaiktaraf fasiliti institusi-institusi keagamaan tersebut dan juga meringankan bebanan penghuni rumah-rumah kebajikan.  

Sumbangan ini meliputi RM5,000 untuk setiap penerima, termasuk Masjid Nurul Hidayah, Masjid Jamek Al Ihsan, Masjid Salahuddin, Surau Al Hidayah, Surau Al Amaliah, Pertubuhan Kebajikan Rumah HOPE Kanak-Kanak Orang Asli Manjung, Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Yatim Rumah Wawasan Manjung dan Persatuan Kebajikan Warga Tua Manjung.  

Sumbangan ini telah disempurnakan oleh Encik Rezy Izwan Ramly, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan Korporat) SSM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Zakat & Tanggungjawab Sosial Korporat (JPZCSR) SSM, mewakili Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif SSM, bertempat di Masjid Nurul Hidayah, Perak. 

Dalam ucapannya, Encik Rezy Izwan berkata, sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab mengawal selia sektor korporat dan perniagaan di Malaysia, SSM mendokong aspirasi Kerajaan untuk membantu golongan yang memerlukan melalui agihan WZK dan CSR SSM seiring dengan nilai teras Malaysia Madani iaitu menerapkan kesejahteraan dan ihsan di kalangan rakyat.  

“Sumbangan ini bukan sahaja bertujuan untuk memperbaiki fasiliti dan peralatan yang diperlukan, tetapi juga untuk memberikan sokongan moral dan material kepada mereka yang memerlukan, membantu mereka mengatasi kesulitan yang dihadapi, dan memberikan kelegaan dalam menjalani kehidupan seharian”, katanya.  

Pada tahun ini, dari 1 Januari hingga 31 Julai 2024, lebih RM5.4 juta WZK telah diagihkan kepada 7,003 penerima asnaf di seluruh negara. Ini menunjukkan bahawa SSM tidak hanya berfokus kepada kecemerlangan operasinya sahaja, tetapi juga memberikan perhatian yang serius terhadap tanggungjawab sosial. Melalui program CSR pula, SSM telah mengagihkan lebih RM360,000 kepada 580 penerima yang memerlukan dalam tempoh yang sama.  

Majlis turut dihadiri oleh Encik Farid Ahmad, Pengarah Bahagian Strategi dan Komunikasi Korporat SSM merangkap Timbalan Pengerusi JPZCSR SSM, Puan Azurah Nor Sarif, Pengarah SSM Negeri Perak dan Toh Kelana Perkasa Encik Ismail Haji Balua, Timbalan Pengerusi Masjid Nurul Hidayah.  

DIKELUARKAN OLEH : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA  
TARIKH : 11 OGOS 2024​
8/11/2024Berita2024Press Release11/08/2024
352
  

​Manjung, 11 Ogos 2024 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah menyampaikan sumbangan peralatan perubatan bernilai lebih RM240,000 kepada Hospital Seri Manjung pada 5 Ogos 2024. Sumbangan ini adalah sebagai usaha untuk menyokong rawatan dan pemulihan pesakit dengan peralatan berteknologi tinggi melalui agihan Wakalah Zakat Korporat (WZK) SSM.  

Sumbangan ini melibatkan 28 unit kelengkapan peralatan yang terdiri daripada 12 jenis peralatan, antaranya adalah ECG machine, Otoscope, Fetal Monitor, Suction Regulator dan Ventilator.   

Serahan telah disampaikan kepada Dr. Nordin Nasir, Pengarah Hospital Seri Manjung oleh Encik Rezy Izwan Ramly, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan Korporat) SSM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Zakat & Tanggungjawab Sosial Korporat (JPZCSR) SSM, mewakili Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif SSM.  

Dalam ucapannya, Encik Rezy Izwan berkata, sumbangan ini adalah sebahagian daripada komitmen SSM untuk membantu meningkatkan kesejahteraan masyarakat, selari dengan nilai teras Malaysia Madani, iaitu kesejahteraan dan ihsan dalam masyarakat.  

”SSM berharap agar sumbangan peralatan ini dapat membantu prosedur perubatan dan memudahkan kakitangan perubatan di Hospital Seri Manjung” katanya.   

Sebelum ini SSM juga telah mengagihkan WZK melalui sumbangan fisabilillah berupa pemberian peralatan perubatan bernilai lebih RM1 juta kepada enam buah hospital lain, iaitu Hospital Sg. Buloh, Hospital Sultanah Aminah, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Hospital Maliha, Hospital Kapit dan Hospital Queen Elizabeth 1. Ini termasuk sumbangan sebuah ambulans Type A bernilai RM427,000 yang diserahkan kepada Hospital Sungai Buloh pada awal tahun 2024.  

Sejak tahun 2014, SSM telah memainkan peranan penting dalam membantu golongan yang memerlukan melalui agihan WZK. Sehingga kini, sebanyak RM46 juta telah disumbangkan kepada pelbagai penerima, termasuk mereka yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan. Pada tahun 2023 sahaja, SSM telah mengagihkan WZK sebanyak RM7.45 juta, menunjukkan komitmen SSM yang berterusan dalam membantu meningkatkan kesejahteraan masyarakat.  

Pada tahun ini, dari 1 Januari hingga 31 Julai 2024, lebih RM5.4 juta WZK telah diagihkan kepada 7,003 penerima asnaf di seluruh negara. Ini menunjukkan bahawa SSM tidak hanya berfokus kepada kecemerlangan operasinya sahaja, tetapi juga memberikan perhatian yang serius terhadap tanggungjawab sosial. Melalui program CSR pula, SSM telah mengagihkan lebih RM360,000 kepada 580 penerima yang memerlukan dalam tempoh yang sama.  

Majlis ini turut dihadiri oleh Encik Farid Ahmad, Pengarah Bahagian Strategi dan Komunikasi Korporat SSM merangkap Timbalan Pengerusi JPZCSR SSM dan Puan Azurah Nor Sarif, Pengarah Negeri SSM Perak.  

DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA   
TARIKH: 11 OGOS 2024​ 
8/11/2024Berita2024Press Release11/08/2024
351
  

Kuala Lumpur, 4 Ogos 2024 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah mengambil inisiatif untuk memaparkan senarai Syarikat Berhad Menurut Jaminan (SBMJ) yang mendapat kelulusan Menteri atau Pendaftar untuk mengutip sumbangan daripada orang ramai. Inisiatif ini bertujuan memudahkan orang awam menyemak status terkini SBMJ yang berdaftar dan diberi kelulusan untuk melaksanakan kutipan sumbangan. Sebelum ini, hanya senarai SBMJ yang berdaftar di bawah Akta Syarikat 2016 dipaparkan di Portal SSM.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz berkata, SSM sentiasa berusaha meningkatkan ketelusan dalam proses kutipan sumbangan oleh SBMJ. Beliau menyatakan, "Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan SSM untuk membantu orang awam membuat keputusan dengan mengetahui bahawa sumbangan mereka akan disalurkan kepada entiti yang mematuhi peruntukan undang-undang yang ditadbir SSM".

Setakat ini, sebanyak 64 SBMJ telah memohon dan telah mendapat kelulusan untuk mengutip sumbangan daripada orang ramai. Senarai SBMJ yang dipaparkan di Portal SSM boleh membantu orang ramai membuat pertimbangan yang berinformasi sebelum membuat keputusan untuk memberi sumbangan kepada mana-mana SBMJ.

SBMJ adalah syarikat awam yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016 tanpa modal saham dan beroperasi bukan untuk tujuan mendapatkan keuntungan. Liabiliti anggota sesebuah SBMJ terhad kepada amaun yang diaku janji oleh mereka untuk menyumbang sekiranya syarikat itu digulungkan. SBMJ mesti menggunakan keuntungannya untuk mencapai atau mempromosikan objektifnya, tidak boleh membayar dividen kepada ahlinya dan dalam kes pembubaran, semua aset yang biasanya akan tersedia untuk ahli mesti dipindahkan kepada badan lain dengan objektif yang sama atau badan yang mempromosikan kebajikan.

Adalah menjadi satu kesalahan jika SBMJ mengumpul sumbangan tanpa kebenaran daripada Menteri atau Pendaftar. Semua SBMJ perlu mematuhi Perenggan 23(d) dalam Garis Panduan SBMJ yang melarang pengumpulan sumbangan tanpa kebenaran. Kesalahan ini boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 20E Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia 2001.

Jika seseorang melanggar peraturan ini, Suruhanjaya atau Pendaftar boleh mengambil tindakan pentadbiran yang termasuk mengarahkan pematuhan, mengenakan penalti pentadbiran tidak melebihi RM500,000, atau mengambil langkah untuk meremedi pelanggaran dan membuat restitusi kepada pihak yang terkilan.

Sehingga 30 Jun 2024, sebanyak 2,202 SBMJ berdaftar dengan SSM dengan status "existing".

Orang ramai boleh menyemak senarai SBMJ yang mendapat kelulusan untuk mengutip dana dan sumbangan melalui Portal SSM di www.ssm.com.my. Orang ramai juga dinasihatkan untuk sentiasa menyemak Portal SSM sebelum memberikan sumbangan kerana senarai ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa berdasarkan tarikh luput kelulusan kutipan sumbangan.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi SSM Customer Care (SSMCC) di bahagian Aduan & Maklum Balas, SSM Chatbot, Live Chat SSM di portal rasmi SSM, talian 03-7721 4000 a​​tau emel enquiry[at]ssm.com.my.


DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA

TARIKH: 4 OGOS 2024


8/4/2024Berita2024Press Release04/08/2024
350
  

Kuala Lumpur, 3 Ogos 2024 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah melancarkan Buku Kod Etika Korporat SSM pada 2 Ogos 2024, dalam usaha untuk menegaskan komitmen tertinggi terhadap integriti, etika dan amalan antirasuah.

Buku Kod Etika Korporat SSM ini bertujuan untuk menyokong penerapan amalan terbaik tadbir urus korporat dalam kalangan Anggota Suruhanjaya, Pengurusan SSM, warga kerja SSM, Pegawai Kelab Sukan dan Kebajikan SSM, Ahli Lembaga Koperasi SSM, pembekal serta pihak berkepentingan SSM.

Dalam ucapan perasmiannya semasa Majlis Peluncuran Buku Kod Etika Korporat SSM yang berlangsung di Menara SSM@Sentral, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif SSM berkata seluruh warga kerja SSM komited untuk memastikan pematuhan terhadap undang-undang yang ditadbir untuk entiti-entiti perniagaan di Malaysia, undang-undang korporat, serta memupuk perkembangan positif dalam sektor korporat dan perniagaan. ​

“Penerbitan ini mengukuhkan ikrar kami untuk mengekalkan nilai-nilai tersebut melalui tingkah laku yang bertanggungjawab, telus, dan beretika," katanya.

Buku Kod Etika Korporat SSM yang selari dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024 – 2028 ini, antara lain menyediakan panduan mengenai tanggungjawab dan prinsip yang perlu diikuti untuk meningkatkan integriti dan akauntabiliti dalam SSM, menjelaskan dengan mendalam tentang pensijilan MS ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Anti-Rasuah yang telah diperolehi oleh SSM sejak 2021, serta menekankan polisi tiada hadiah.

Buku ini boleh diakses dan dimuat turun melalui portal rasmi SSM di sini​.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi SSM Customer Care (SSMCC) di bahagian Aduan & Maklum Balas, SSM Chatbot, Live Chat SSM di portal rasmi SSM, talian 03-7721 4000, atau emel enquiry[at]ssm.com.my.

DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA

TARIKH: 3 OGOS 2024


8/3/2024Berita2024Press Release03/08/2024
349
  

Kuala Lumpur, 16 Julai 2024 - Susulan daripada arahan YAB Perdana Menteri dalam Mesyuarat Jemaah Menteri supaya semua Kementerian mengadakan dialog untuk mendapatkan input bagi Belanjawan 2025, hari ini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memulakan siri dialog bersama pemain industri sektor peruncitan. lni meliputi empat badan gabungan iaitu Malaysia Retailers Association (MRA), Malaysia Retail Chain Association (MRCA), Bumiputera Retailers Organization (BRO) dan Persatuan Pemborong Peruncit Muslim Malaysia (MAWAR) bertempat di Menara SSM, Kuala Lumpur.

Pelbagai perkara dibincangkan yang memberikan fokus kepada usaha merangsang pembangunan sektor peruncitan sekali gus meningkatkan sumbangan sektor ini terhadap pencapaian agenda Ekonomi Madani. lni termasuk menangani isu-isu berbangkit yang dihadapi oleh pemain industri sektor peruncitan dan komitmen mereka dalam agenda pengukuhan tadbir urus korporat.

Sehubungan itu, dalam dialog ini saya turut mengingatkan syarikat-syarikat dalam sektor peruncitan untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan. lni termasuk mengambil perhatian dan tindakan susulan untuk mematuhi peruntukan undang-undang yang terkait dengan tanggungjawab untuk menyerah simpan maklumat pemunyaan benefisal (beneficial ownership) kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
 
Tanggungjawab baharu berhubung kerangka pelaporan benefisial ini termaktub dalam peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa bermula pada 1 April 2024 selaras dengan pindaan yang telah dibuat kepada Akta 777. Pindaan ini telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 28 November 2023 dan di Dewan Negara pada 13 Disember 2023. RUU ini telah mendapat Perkenan Diraja pada 24 Januari 2024 dan diwartakan sebagai Akta Syarikat (Pindaan) 2024 pada 2 Februari 2024.

Kerangka perundangan baharu ini adalah komitmen KPDN dan SSM untuk bersama menggerakkan strategi dan pendekatan untuk menyokong agenda reformasi dalam memperkukuh kerangka tatakelola Kerajaan dan tadbir urus negara secara keseluruhannya. lni termasuk ekosistem dan ketelusan tadbir urus sektor korporat.

Pada masa yang sama, penambahbaikan kerangka pelaporan pemunyaan benefisial dilaksanakan mengambil kira perkembangan terkini di peringkat antarabangsa dalam memerangi aktiviti-aktiviti pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan, rasuah dan pengelakan cukai. Kedudukan Malaysia dalam konteks menangani aktiviti-aktiviti tersebut sedang dinilai oleh pelbagai badan antarabangsa seperti Financial Action Task Force (FATF) bermula tahun ini sehingga tahun hadapan.

Peruntukan perundangan baharu mewajibkan setiap syarikat mengenal pasti pemunya benefisial iaitu individu yang mengawal syarikat tersebut. Apa yang dimaksudkan dengan kawalan adalah pemilikan saham pada kadar 20 peratus ke atas atau berkeupayaan mengawal keputusan­ keputusan akhir yang dibuat oleh lembaga pengarah syarikat tersebut. Melalui peruntukan baharu yang diperkenalkan, individu yang memenuhi kriteria pemunya benefisial ini hendaklah melaporkan status mereka kepada syarikat dan syarikat pula perlu menyimpan maklumat tersebut serta melaporkan maklumat yang sama kepada SSM.

SSM telah mengumumkan tempoh menyerah simpan maklumat pemunyaan benefisial di bawah Akta Syarikat (Pindaan) 2024 dari 1 April 2024 hingga 30 September 2024 tanpa dikenakan fi lewat serah simpan dan fi rektifikasi. Tempoh ini bertujuan memastikan semua syarikat mempunyai masa yang mencukupi untuk mematuhi keperluan tersebut melalui sistem e-BOS (Electronic Beneficial Ownership System).
 
Dalam tempoh tersebut, syarikat dibenarkan menyerah simpan dan jika perlu, membuat rektifikasi tanpa had untuk memastikan maklumat yang disimpan adalah tepat dan terkini. Fi lewat serah simpan dan fi rektifikasi tidak akan dikenakan dan tindakan penguatkuasaan tidak akan diambil dalam tempoh ini.

Setakat 1 April hingga 14 Julai 2024, sebanyak 340,637 syarikat telah membuat transaksi serah simpan maklumat pemunyaan benefisial. Syarikat dan tiap-tiap pegawai yang melanggar Seksyen 60B(6) Akta Syarikat 2016 dengan tidak mematuhi tanggungjawab ini melakukan suatu kesalahan dan jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 dan dalam hal kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi RMS00 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Semua syarikat diingatkan untuk mematuhi peruntukan undang-undang ini dan digalakkan untuk memanfaatkan tempoh menyerah simpan maklumat pemunyaan benefisial sebelum 30 September 2024.


YB DATUK ARMIZAN MOHD ALI
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup​
7/16/2024Berita2024Press Release16/07/2024
348
  

Bangi, 23 Jun 2024 – Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Bangi di atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 591(2)(a) Akta Syarikat 2016 kerana membuat pernyataan palsu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Latip Ahmad telah membenarkan seorang setiausaha syarikat untuk membuat satu pernyataan palsu berkenaan butir material di dalam Notification of Alteration Or Amendment To Constitution SNR Aircond Services & Accessories Sdn Bhd yang bertarikh 30 Oktober 2019 bagi syarikat SNR Aircond Services & Accessories Sdn Bhd. 

Dokumen tersebut adalah satu dokumen yang dikehendaki menurut Seksyen 36 Akta Syarikat 2016 (Akta 777), yang mana pernyataan palsu tersebut adalah berhubung dengan pindaan Klausa 5 Articles of Association bagi syarikat tersebut, dengan mengetahuinya sebagai palsu.

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon untuk dibicarakan setelah pertuduhan dibacakan. Hakim Tuan Effendi Nazila Abdullah telah memerintahkan jaminan sebanyak RM6,000 dikenakan terhadap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 11 Julai 2024 untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. 

Seksyen 591(2)(a) Akta Syarikat 2016 memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM3 juta atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Amir Sharifuddin Hashim manakala tertuduh diwakili oleh peguam, Muhammad Nazmi Hanafi dari Chambers of Yusman Azlin Anwar.

SSM ingin memberi peringatan kepada orang awam untuk memastikan maklumat yang diserah simpan di SSM adalah tepat dan terkini serta tindakan pendakwaan akan diambil terhadap individu-individu yang didapati memberikan pernyataan, maklumat atau laporan palsu atau mengelirukan kepada SSM. 

SSM sentiasa konsisten dalam mengawal selia pematuhan peruntukan undang-undang yang ditadbir disamping memastikan komuniti korporat peka berhubung tanggungjawab serta etika perniagaan.

DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
TARIKH: 23 JUN 2024
6/23/2024Kes Mahkamah2024Press Release23/06/2024
347
  

Kuala Lumpur, 9 Jun 2024 – Seorang setiausaha syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen (12) Kuala Lumpur terhadap dua pertuduhan di bawah Seksyen 593(b) Akta Syarikat 2016 di atas kesalahan memberi pernyataan palsu kepada Pendaftar Syarikat. ​

Berdasarkan kepada kertas pertuduhan, tertuduh yang bernama Loo Hin Lam telah memberi maklumat palsu berkaitan Syarikat Borderless Net Resources Sdn Bhd tentang pelantikan Mohd Aznan Kamarulzaman sebagai pengarah menerusi Borang Seksyen 58 bertarikh 22 Ogos 2017. Tertuduh seterusnya didakwa berkaitan maklumat pemindahan satu unit saham kepada Mohd Aznan menerusi Borang Seksyen 51 yang bertarikh 18 September 2017.

Sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah seksyen dan Akta yang sama iaitu penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM3 juta atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan setelah pertuduhan dibacakan. Hakim Norina Zainol Abidin menetapkan tarikh 13 Jun 2024 untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen oleh pihak pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Mohd Zulkhairi Kamaruzaman dan Nurul Husna Mohd Yusof, manakala tertuduh diwakili oleh peguam A. Narainasami.

SSM ingin memberi peringatan kepada orang awam untuk memastikan maklumat yang diserah simpan di SSM adalah tepat dan terkini serta tindakan pendakwaan akan diambil terhadap individu-individu yang didapati memberikan pernyataan, maklumat atau laporan palsu atau mengelirukan kepada SSM.

SSM sentiasa konsisten dalam mengawal selia pematuhan peruntukan undang-undang yang ditadbir di samping memastikan komuniti korporat peka terhadap tanggungjawab serta etika perniagaan.


DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA

TARIKH: 9 JUN 2024


6/9/2024Kes Mahkamah2024Press Release09/06/2024
346
  
Kota Bharu, 5 Jun 2024 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini menganjurkan Program Bimbingan Usahawan (PBU24) peringkat negeri Kelantan yang merupakan siri pertama bagi tahun 2024 dengan lebih 800 penyertaan dari negeri tersebut.

PBU24 dianjurkan bertujuan untuk memberikan sokongan, bimbingan dan peluang kepada usahawan tempatan memperkukuh dan memajukan perniagaan mereka di samping menjadi platform terbaik untuk meneroka dan mempelopori ilmu keusahawanan dengan menggabungkan pengetahuan perniagaan kontemporari dengan teknologi dan digitalisasi terkini. 

Program yang berlangsung di Dewan Perniagaan Cina Kelantan, Kota Bharu ni telah dirasmikan oleh Tuan Ahmad Sabki Yusof, Pengerusi SSM.  
 
Dalam ucapan perasmiannya, Tuan Ahmad Sabki berkata, pendedahan terhadap asas keusahawanan ini mampu membentuk pemikiran usahawan yang kreatif dan inovatif dalam mencipta peluang pasaran perniagaan yang lebih berdaya saing melalui pemahaman tentang pengurusan, pemasaran, operasi, dan strategi perniagaan yang berjaya.
 
Beliau berkata, dalam mencapai objektif ini, SSM telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi mewujudkan kesedaran kepada komuniti perniagaan berkenaan kepentingan pendaftaran perniagaan, strategi perniagaan dan serta kaedah pemasaran digital dalam menjalankan perniagaan. 

Tambah beliau, salah satu inisiatif SSM bagi menggalakkan rakyat menceburi bidang perniagaan adalah dengan menawarkan Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) yang dapat dimanfaatkan oleh komuniti perniagaan dalam kalangan pasangan suami isteri B40 serta pelajar IPT sepenuh masa dengan mendaftarkan perniagaan mereka secara percuma melalui pengecualian fi pendaftaran dan maklumat perniagaan. 

Sejak SPPP mula diperkenalkan sehingga 30 April 2024, jumlah perniagaan yang berjaya didaftarkan secara percuma di bawah skim ini adalah sebanyak 110,004 yang terdiri daripada 53,421 pelajar IPT sepenuh masa dan 56,583 usahawan kumpulan B40.

Semasa program berlangsung, SSM juga telah menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat Korporat (WZK) berjumlah RM70,000, antaranya kepada masjid, surau, sekolah dan usahawan asnaf serta sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berjumlah RM15,000 kepada Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan dan golongan yang memerlukan.

Dari 1 Januari 2024 sehingga 30 April 2024, SSM telah mengagihkan dana WZK sebanyak RM2.426 juta kepada 5,297 penerima asnaf di seluruh negara. Manakala bagi tempoh yang sama, SSM telah mengagihkan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sebanyak RM217,897 kepada 150 penerima yang memerlukan.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi SSM Customer Care (SSMCC) di bahagian Aduan & Maklumbalas, SSM Chatbot (24 jam, 7 hari), Live Chat SSM (8.00 pagi hingga 5.30 petang, Isnin hingga Jumaat, kecuali hari cuti umum) melalui portal rasmi SSM, talian telefon 03-7721 4000 atau emel ke enquiry[at]ssm.com.my.


6/5/2024Berita2024Press Release05/06/2024
345
  

Kuala Lumpur, 28 April 2024Lanjutan daripada siasatan yang sedang dilakukan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ke atas syarikat-syarikat di bawah East West One Group Sdn Bhd (EWOG), SSM telah mengeluarkan surat perintah di bawah seksyen 48(4)(a) Akta Skim Kepentingan 2016 untuk membekukan dana di dalam akaun-akaun amanah bagi East West One Planter's Scheme, East West Horizon Planter's Scheme dan East West Planter's Scheme 1.

Surat perintah yang telah dihantar kepada Pacific Trustees Berhad, iaitu pemegang amanah EWOG, pada 5 April 2024 itu bertujuan untuk menjaga kepentingan para pelabur di dalam skim-skim tersebut lanjutan daripada cadangan EWOG selaku syarikat induk untuk menjalankan cadangan pemulihan dan penstrukturan semula skim-skim tersebut dengan menggunakan dana di dalam akaun-akaun amanah.

Melalui surat perintah tersebut, PTB dikehendaki mengekalkan dana di dalam Akaun Amanah (Trust Account), Akaun Amanah Dana Rizab (Reserve Fund Trust Account) dan Akaun Amanah Dana Terikat (Sinking Fund Trust Account) di mana dana berkenaan dilarang dikeluarkan dan diserahkan kepada syarikat pengurusan selaras dengan peruntukan seksyen 48(1) Akta Skim Kepentingan 2016.

Walau bagaimanapun, pembekuan dana ini adalah tertakluk kepada pelan pemulihan dan penstrukturan semula skim sekiranya mendapat kelulusan majoriti pelabur di dalam mesyuarat pelabur.

Pada 25 September 2023, SSM telah membuka kertas siasatan di bawah peruntukan Akta Skim Kepentingan 2016 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) terhadap syarikat-syarikat ini selepas menerima lebih 46 aduan.

SSM ingin menegaskan bahawa ia sentiasa konsisten dalam mengawal selia pematuhan peruntukan undang-undang yang ditadbir dengan mengambil tindakan pematuhan, siasatan dan pendakwaan terhadap entiti atau individu yang didapati melanggar peruntukan undang-undang yang ditadbir di samping memastikan komuniti korporat peka berhubung tanggungjawab serta etika perniagaan.

Pelabur yang terkesan dengan skim-skim kepentingan berdaftar yang diuruskan oleh EWOG dan mempunyai maklumat untuk membantu siasatan, disarankan tampil untuk membuat aduan melalui emel ke aduan[at]ssm.com.my atau hubungi 03-2299 4400​.

 

DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA

TARIKH: 28 APRIL 2024


4/28/2024Kes Mahkamah2024Press Release28/04/2024
344
  

Kuala Lumpur, 27 April 2024 – Dalam usaha membantu meringankan kesengsaraan yang dihadapi oleh rakyat Palestin akibat konflik yang melanda mereka sehingga kini, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan warga kerjanya telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM67,365 pada 26 April 2024.

Sumbangan ini merupakan hasil inisiatif pengurusan SSM melalui kutipan dalam kalangan warga kerja selain sumbangan Wakalah Zakat Korporat (WZK) SSM.

Sumbangan yang disampaikan oleh YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) sempena Majlis Raikan Syawal SSM 2024 ini telah disalurkan kepada Tabung Bantuan Kecemasan melalui Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Pada majlis yang sama, SSM turut menyampaikan sumbangan WZK kepada Rumah Bakti Nur Syaheera dan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dengan sumbangan WZK berjumlah RM13,000 dan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berjumlah RM23,000 kepada pesara-pesara SSM serta anak-anak pekerja SSM yang kurang upaya.

Majlis yang dianjurkan di sebuah hotel di Kuala Lumpur ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Dato' Seri Mohd Sayuthi Bakar, Ketua Setiausaha KPDN, Dato' Zakaria Shaaban, Timbalan Ketua Setiausaha KPDN (Pendayaupayaan Pengguna), Tuan Ahmad Sabki Yusof, Pengerusi SSM, Anggota-Anggota Suruhanjaya dan Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif SSM.​

Dari 1 Januari 2023 sehingga 31 Disember 2023, SSM telah mengagihkan dana WZK sebanyak RM7.45 juta kepada 10,272 penerima asnaf di seluruh negara. Manakala bagi tempoh yang sama, SSM telah mengagihkan sumbangan CSR sebanyak RM589,000 kepada 477 penerima yang memerlukan.

 

DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA

TARIKH: 27 APRIL 2024

4/27/2024Berita2024Press Release27/04/2024
343
  

Kuantan, 21 April 2024 – Seorang pengarah syarikat telah dituduh di Mahkamah Sesyen Kuantan (3) dengan satu pertuduhan di bawah Seksyen 591(2) Akta Syarikat 2016 bagi kesalahan membuat pernyataan palsu di dalam Borang Pemindahan Saham.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Darrel Pierre K.Arokiasamy @ Pierre telah membuat satu pernyataan palsu berkenaan butir material di dalam dokumen "Form of Transfer of Securities" bertarikh 7 Mei 2021 bagi syarikat Pierre's Kitchen & Dining Sdn Bhd iaitu satu dokumen yang dikehendaki menurut Seksyen 105 Akta Syarikat 2016. Pernyataan palsu tersebut adalah berhubung dengan pemindahan saham sebanyak 20 unit daripada tertuduh kepada Sadhna A/P Bhagwanji dan mengetahui pernyataan tersebut adalah palsu.

Seksyen 591(2) Akta Syarikat 2016 memperuntukkan kesalahan bagi tiap-tiap orang yang dalam apa-apa penyata, laporan, perakuan, penyata kewangan atau dokumen lain yang dikehendaki oleh atau bagi maksud Akta Syarikat 2016 membuat suatu pernyataan yang palsu dalam apa-apa butir material dengan mengetahuinya sebagai palsu.

Tertuduh telah mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan sebaik pertuduhan dibacakan. Hakim Maimoonah Aid telah menetapkan 29 Mac 2024 untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen oleh pihak pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Faizal Mahdi Mahmud, manakala tertuduh diwakili oleh Danielle Devinna Dickman dari Tetuan Lavania & Balan Chambers.

SSM ingin memberi peringatan kepada orang awam bahawa tindakan pendakwaan akan diambil terhadap individu-individu yang didapati melanggar atau tidak mematuhi mana-mana peruntukan di bawah undang-undang yang dikawalselia oleh SSM.


DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA

TARIKH: 21 APRIL 2024

4/21/2024Kes Mahkamah2024Press Release21/04/2024
342
  

Shah Alam, 14 April 2024 – Seorang individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap satu pertuduhan di bawah Seksyen 593(b) Akta Syarikat 2016 (Akta 777) kerana memberikan pernyataan palsu kepada Pendaftar Syarikat.

Berdasarkan kepada kertas pertuduhan, tertuduh yang bernama Tan Tiak Huat @ Tan Teik Huat telah memberikan satu maklumat yang palsu berkaitan butir-butir “liabilities and assets" bagi syarikat TTH Global (M) Sdn Bhd di dalam dokumen “Statement of Affairs" bertarikh 9 Februari 2018.

Sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah seksyen dan Akta yang sama iaitu penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM 3 juta atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan setelah pertuduhan dibacakan. Hakim Rasyihah Ghazali telah menetapkan tarikh 3 April 2024 untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Abdul Hadi Abdul Muti manakala tertuduh diwakili oleh peguam Huang Yee Ching dari Tetuan YC Huang Associates.

SSM ingin memberi peringatan kepada orang awam bahawa tindakan pendakwaan akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati memberikan pernyataan, maklumat atau laporan palsu atau mengelirukan kepada SSM.

SSM sentiasa konsisten dalam mengawal selia pematuhan peruntukan undang-undang yang ditadbir di samping memastikan komuniti korporat peka terhadap tanggungjawab serta etika perniagaan.


DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA

TARIKH: 14 APRIL 2024


4/14/2024Kes Mahkamah2024Press Release14/04/2024
341
  

Kuala Lumpur, 8 April 2024 – The Companies Commission of Malaysia (SSM) has issued a Consultative Document On Proposed Trust Companies Bill to obtain feedback and views on the proposed bill.

The Trust Companies Act 1949 [Act 100] which came into force on 28 September 1949 in West Malaysia and on 1 January 1973 in East Malaysia, provides for the registration and regulation of companies carrying out trust businesses or trust related activities in Malaysia. The Trust Companies Act 1949 has never been reviewed since its last revision which came into force on 15 March 1973. 

As part of its corporate law reform programme, SSM had commenced the initiative to review the Trust Companies Act 1949 in 2018 with the proposal to repeal and modernise the Act by replacing it with a new Trust Companies Bill.

The drafting of the Trust Companies Bill also reflects the recommendations made by the Financial Action Task Force (FATF) as well as the legislative and technical gaps identified by the FATF as published in the Mutual Evaluation Report following the mutual evaluation exercise conducted on Malaysia in 2015 relating to money laundering and terrorist financing.

On 7 March 2018, SSM published a consultation document titled “Consultation Document on the Review of the Trust Companies Act 1949” and received various responses from the industry, government agencies and statutory bodies.

The new Trust Companies Bill contains 17 policy statements which can be divided into 4 main clusters namely Parameter of Activities and Mandatory Registration Regime, Beneficial Ownership Reporting Framework, Management of Trust Companies and Restructuring and Cessation of Trust Companies.

The Consultative Document On Proposed Trust Companies Bill could be accessed via SSM’s official website, www.ssm.com.my.

SSM invites feedback on the consultation document via email to lrpia@ssm.com.my by 2 May 2024. Any inquiries regarding the document can also be directed to the same email address.

ISSUED BY: COMPANIES COMMISSION OF MALAYSIA
DATE: 8 APRIL 2024


4/8/2024Berita2024Press Release08/04/2024
339
  

Kuala Lumpur, 1 April 2024 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini telah melancarkan sebuah sistem baharu iaitu Electronic Beneficial Ownership System (e-BOS), bertujuan untuk menyerah simpan maklumat pemunyaan benefisial syarikat.

Pelancaran e-BOS ini adalah sejajar dengan kewajipan syarikat untuk mengenal pasti, memperoleh, merekod, mengemaskini dan menyerah simpan maklumat pemunyaan benefisial dengan Pendaftar seperti yang digariskan di dalam ‘Guideline for the Reporting Framework for Beneficial Ownership of Companies’ berkuatkuasa 1 April 2024. e-BOS boleh diakses melalui pautan ssm4u.com.my manakala ‘Guideline for the Reporting Framework for Beneficial Ownership of Companies’ boleh diakses di Portal Rasmi SSM, www.ssm.com.my.

Dengan pelancaran e-BOS, tempoh peralihan yang diperkenalkan pada 1 Mac 2020 melalui ‘Guideline for the Reporting Framework for Beneficial Ownership of Legal Persons’ telah dimansuhkan selari dengan penguatkuasaan Akta Syarikat (Pindaan) 2024 pada 1 April 2024.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan melalui e-BOS adalah notifikasi maklumat pemunyaan benefisial atau pengurusan kanan serta rektifikasi maklumat pemunyaan benefisial atau pengurusan kanan.

Sila layari portal rasmi SSM di pautan, www.ssm.com.my untuk maklumat lanjut mengenai tatacara serah simpan dan manual panduan pengguna.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi SSM Customer Care (SSMCC) di bahagian Aduan & Maklumbalas, SSM Chatbot, Live Chat SSM yang boleh diakses melalui portal rasmi SSM, talian telefon 03-7721 4000 atau emel ke enquiry[at]ssm.com.my.

DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
TARIKH: 1 APRIL 2024
4/1/2024Berita2024Press Release01/04/2024
338
  

Kuala Lumpur, 31 Mac 2024 – Sebuah syarikat persendirian menurut syer, FGP Ventures Sdn Bhd telah disabitkan dengan satu kesalahan di bawah Seksyen 90(4) Akta Syarikat 2016 berkaitan pengumpukan syer keutamaan yang dikenali sebagai “Islamic Redeemable Preference Share" (iRPS) tanpa mempunyai perlembagaan syarikat.


Seksyen 90(4) Akta Syarikat 2016 merupakan peruntukan yang menyatakan bahawa adalah menjadi satu kesalahan apabila mana-mana syarikat persendirian menurut syer membuat pengumpukan syer keutamaan tanpa mempunyai perlembagaan syarikat dan apabila disabitkan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM500,000 di bawah sub-seksyen (5) Akta yang sama.

Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah, Puan Norina Zainol Abidin telah mensabitkan syarikat FGP Ventures Sdn Bhd bersalah dan menjatuhkan hukuman denda RM25,000.

Tertuduh diwakili oleh peguambela Muhammad Hasif Ghazali manakala pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa SSM Fazarul Ezhar Mohd Mokhtar dan Mohd Iqbal Mohd Yusoff.

Pada 28 November 2023, FGP Ventures Sdn Bhd dan pengarahnya, Khemlani Satesh telah dipertuduhkan dengan empat pertuduhan di bawah Seksyen 43(1) dan Seksyen 90(4) Akta Syarikat 2016 berkaitan penawaran syer iRPS kepada orang awam. FGP Ventures Sdn Bhd dan Khemlani telah membuat penawaran syer kepada orang awam dengan mendepositkan wang kepada syarikat bagi tempoh yang ditetapkan dengan jaminan faedah mengikut terma dipersetujui. Kedua-duanya turut membuat pengumpukan (allotment) syer keutamaan tersebut tanpa mempunyai peruntukan              di dalam perlembagaan syarikat pada ketika itu.

Syarikat dan pengarah telah dikenakan kompaun sebanyak RM325,000 bagi tiga kesalahan yang dipertuduhkan sebelum ini selepas representasi yang dikemukakan dipertimbangkan. Kedua-dua tertuduh telah dilepas tanpa dibebaskan bagi tiga pertuduhan berkenaan.

SSM ingin memberi peringatan kepada orang awam bahawa sebuah syarikat persendirian adalah dilarang menawarkan syer syarikat kepada orang awam dan membuat pengumpukan (allotment) syer tersebut tanpa mempunyai peruntukan di dalam perlembagaan syarikat. SSM mengambil tindakan pendakwaan seumpama ini sebagai satu bentuk peringatan kepada komuniti korporat dan orang awam bahawa tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang yang dikawalselia oleh SSM. Ini bagi memastikan tadbir urus korporat yang baik dan pematuhan undang-undang syarikat sentiasa diamalkan oleh warga korporat dan komuniti perniagaan di Malaysia.

DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA

TARIKH: 31 MAC 2024


3/31/2024Kes Mahkamah2024Press Release31/03/2024
337
  

Kuala Lumpur, 28 Mac 2024 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat Korporat (WZK) berjumlah RM29,000 dalam Majlis Penghayatan Nilai dan Makna Ramadan SSM serta Majlis Berbuka Puasa SSM pada 27 Februari 2024.​

Semasa Majlis Penghayatan Nilai dan Makna Ramadan SSM yang diadakan di Menara SSM@Sentral ini, SSM telah menyantuni dua pusat pengajian Islam dan sebuah masjid melalui sumbangan WZK berjumlah RM15,000.

Sumbangan kepada Madrasah Tahfiz Al Quran Syazwan, Institusi Pengajian Al-Quran dan Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Semasa majlis berlangsung, YB Datuk Armizan turut serta bersama-sama Dato' Seri Mohd Sayuthi Bakar, Ketua Setiausaha KPDN, Tuan Ahmad Sabki Yusof, Pengerusi SSM, Dato' Seri Hishamudin Md Yunus, Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif SSM dan Tuan Iskandar Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, mengikuti tazkirah Ramadan yang telah disampaikan oleh Datuk Malai Ali Malai Ahmad, Timbalan Yang Di-Pertua, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Sementara itu, SSM juga menyantuni Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad dan Surau Al Husna Seri Semarak dengan sumbangan WZK berjumlah RM14,000 sempena Majlis Berbuka Puasa SSM yang berlangsung pada hari yang sama.

Sumbangan yang telah disempurnakan oleh Tuan Ahmad Sabki Yusof, Pengerusi SSM ini bertujuan meringankan beban sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi. Tuan Ahmad Sabki turut meluangkan masa beramah mesra dengan penerima sumbangan yang hadir, di samping menikmati juadah berbuka puasa bersama mereka.

Dari 1 Januari 2023 sehingga 31 Disember 2023, SSM telah mengagihkan dana Wakalah Zakat Korporat (WZK) sebanyak RM7.45 juta kepada 10,272 penerima asnaf di seluruh negara. Manakala bagi tempoh yang sama, SSM telah mengagihkan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sebanyak RM589,000 kepada 477 penerima yang memerlukan.

DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
TARIKH: 28 MAC 2024


3/28/2024Berita2024Press Release28/03/2024
336
  

Kuala Lumpur, 27 Mac 2024 – Pada hari ini saya telah melancarkan pusat panggilan SSM yang berwajah baharu dan lebih mesra pelanggan dikenali sebagai SSM Customer Care (SSMCC).

Penjenamaan semula SSMCC ini selari dengan teras strategik SSM iaitu mengoptimumkan penambahbaikan proses, memupuk budaya kerja cemerlang dan menyediakan persekitaran perniagaan yang dipercayai. Selain itu, ia juga sejajar dengan inovasi perkhidmatan dan produk SSM yang berkembang mengikut kehendak pelanggan.

Objektif utama penubuhan SSMCC adalah untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pelanggan SSM dan memastikan aduan dan pertanyaan pelanggan dikendalikan secara bersepadu, tepat, cepat dan berintegriti.

Antara penambahbaikan yang dilaksanakan melalui SSMCC adalah menggantikan borang pertanyaan dan aduan pelanggan sedia ada kepada platform terbaharu yang dikenali sebagai Webform, memperkenalkan SSM Chatbot yang boleh diakses oleh pelanggan 24 jam serta platform Live Chat SSM.

Bagi memudahkan pelanggan mengakses maklumat komprehensif, SSM juga memperkenalkan Knowledge Hub iaitu hub yang menyimpan maklumat terkini berkaitan perundangan, produk dan perkhidmatan SSM. Knowledge Hub boleh diakses di laman portal rasmi SSM.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi SSMCC di bahagian Aduan & Maklumbalas, SSM Chatbot, Live Chat SSM yang boleh diakses melalui portal rasmi SSM, talian telefon 03-7721 4000 atau emel ke enquiry@ssm.com.my.

Pada masa yang sama, selain menambah baik perkhidmatan kepada pelanggan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui SSM juga telah menggerakkan strategi dan pendekatan yang menyokong agenda reformasi dalam memperkukuh kerangka tatakelola Kerajaan dan tadbir urus negara secara keseluruhannya termasuk ekosistem sektor korporat.

Pada tahun 2023, usaha ini telah dilaksanakan dengan menambah baik peruntukan-peruntukan di bawah Akta Syarikat 2016. Rang Undang-Undang (RUU) Syarikat (Pindaan) 2023 telah diluluskan di peringkat Dewan Rakyat pada 28 November 2023 dan diluluskan di peringkat Dewan Negara pada 13 Disember 2023. RUU ini telah mendapat Perkenan Diraja pada 24 Januari 2024 dan diwartakan sebagai Akta Syarikat (Pindaan) 2024 pada 2 Februari 2024. Akta Syarikat (Pindaan) 2024 akan dikuatkuasa pada 1 April 2024 kecuali Seksyen 4, 14, 26 dan 28 yang akan dikuatkuasakan pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

Akta Syarikat (Pindaan) 2024 mempunyai dua objektif utama iaitu: 

i) Memperkukuh kerangka rehabilitasi korporat dengan memudahcara syarikat yang menghadapi masalah kewangan dan menyokong pemulihan ekonomi negara agar terus berdaya saing terutama sekali dalam era pasca pandemik COVID-19;
ii) Mempertingkatkan  elemen ketelusan dalam ekosistem sektor korporat di Malaysia melalui penambahbaikan pelaporan pemunyaan benefisial. 

Akta Syarikat (Pindaan) 2024 mengandungi 31 fasal yang terdiri daripada empat kluster polisi seperti berikut:

i) Memperluaskan pemakaian mekanisme penyelamat korporat iaitu perkiraan sukarela korporat (CVA) dan pengurusan kehakiman (JM);
ii) Memperkukuh kerangka rehabilitasi korporat melalui penambahbaikan peruntukan yang berkaitan skim perkiraan atau kompromi (SPK) dan penambahbaikan peruntukan-peruntukan berhubung CVA/JM; 
iii) Menambahbaik amalan dan tadbir urus korporat; dan
iv) Memperkukuh kerangka pelaporan pemunyaan benefisial.

Penambahbaikan kerangka pelaporan pemunyaan benefisial dilaksanakan mengambil kira perkembangan terkini di peringkat antarabangsa dalam memerangi aktiviti-aktiviti pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan, rasuah dan pengelakan cukai. Peruntukan perundangan baharu mewajibkan setiap syarikat mengenal pasti pemunya benefisial iaitu individu yang mengawal syarikat tersebut. Apa yang dimaksudkan dengan kawalan adalah pemilikan saham pada kadar 20 peratus ke atas atau berkeupayaan mengawal keputusan-keputusan yang dibuat oleh lembaga pengarah syarikat tersebut. Melalui peruntukan baharu yang diperkenalkan, syarikat berkewajipan melaporkan individu yang memenuhi kriteria pemunya benefisial ini kepada SSM.
Kedudukan Malaysia dalam konteks usaha menangani aktiviti-aktiviti tersebut sedang dan akan dinilai bermula tahun ini oleh pelbagai badan antarabangsa seperti: 

i) Financial Action Task Force (FATF) yang merupakan badan antarabangsa bebas yang membangunkan piawaian antarabangsa untuk memerangi pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan dan percambahan untuk melindungi sistem kewangan global; dan
(i) Organization for Economic Co-operation and Development (OECD) melalui exchange of information on request menjalankan penarafan berhubung isu-isu penzahiran bagi percukaian ke atas negara-negara yang berdagang dengan negara-negara OECD. 
 
Adalah diharapkan komuniti korporat di negara ini bersiap sedia untuk mematuhi semua peruntukan Akta Syarikat (Pindaan) 2024. Pengamal korporat yang ingin mengetahui lebih lanjut dan memahami perubahan dalam Akta Syarikat (Pindaan) 2024, digalakkan mengikuti kursus yang ditawarkan oleh Bahagian Akademi Latihan & Pengurusan Pengetahuan (COMTRAC) SSM dengan melayari portal rasmi SSM www.ssm.com.my.

YB DATUK ARMIZAN MOHD ALI 
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup


3/27/2024Berita2024Press Release27/03/2024
335
  

Kuala Lumpur, 17 Mac 2024 – Seorang pengarah syarikat telah dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah (12) Kuala Lumpur dengan lima pertuduhan berasingan di bawah Seksyen 218(1)(a) Akta Syarikat 2016 bagi kesalahan menggunakan harta syarikat tanpa persetujuan mesyuarat agung bagi mendapatkan manfaat bagi diri sendiri.

Berdasarkan kertas-kertas pertuduhan, Mohd Khasyful Azim Abd Khalit telah tanpa persetujuan di dalam mesyuarat agung syarikat Interfinite Sdn. Bhd. menggunakan harta syarikat melalui lima transaksi pindahan wang kesemuanya berjumlah RM7,899 dari akaun bank syarikat ke akaun persendirian bagi mendapatkan secara langsung manfaat bagi diri sendiri.

Seksyen 218(1)(a) Akta Syarikat 2016 memperuntukkan bahawa seseorang pengarah atau pegawai syarikat tidak boleh, tanpa persetujuan atau ratifikasi suatu mesyuarat agung menggunakan harta syarikat bagi mendapatkan, secara langsung sesuatu manfaat bagi dirinya sendiri.

Tertuduh telah mengaku tidak bersalah terhadap kelima-lima pertuduhan sebaik pertuduhan dibacakan. Hakim Norina Zainol Abidin telah menetapkan 1 April 2024 untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen oleh pihak pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Najia Abdul Razak, manakala tertuduh diwakili oleh Syamil Othman dari Tetuan Azizul Syamil & Co.

SSM mengambil tindakan perundangan seumpama ini sebagai satu bentuk peringatan kepada komuniti korporat dan orang awam bahawa tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang yang dikawalselia oleh SSM. Ini bagi memastikan sikap tadbir urus korporat dan pematuhan undang-undang syarikat sentiasa diamalkan oleh warga korporat dan komuniti perniagaan di Malaysia.

 

DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
TARIKH: 17 MAC 2024

3/17/2024Kes Mahkamah2024Press Release17/03/2024
334
  

Kuala Lumpur, 10 Mac 2024 – Seorang pemilik perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur di atas pertuduhan di bawah Seksyen 12(1)(d) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Akta 197). 

Teoh Wei Hau telah dituduh memberikan maklumat palsu kepada Pendaftar Perniagaan dalam Borang A iaitu borang “Pendaftaran Perniagaan" yang mana maklumat palsu tersebut adalah berkaitan alamat perniagaan Hai Tian Herbal Enterprise.

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan Hakim Norina Zainol Abidin telah menetapkan tarikh 20 Mac 2024 untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen oleh pihak pendakwaan.

Seksyen 12(1)(d) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Akta 197) memperuntukkan bahawa seseorang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1)(d) Akta yang sama, dengan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya sekiranya seseorang membuat apa-apa pernyataan atau memberi apa-apa maklumat palsu kepada Pendaftar di bawah peruntukan-peruntukan Akta ini yang dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa pernyataan tersebut adalah palsu.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Hamizah Sobree manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

SSM ingin memberi peringatan kepada orang awam bahawa kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(d) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Akta 197) adalah pelanggaran undang-undang yang berat dan dipandang serius kerana boleh menjejaskan integriti maklumat yang disimpan oleh SSM.

Tindakan pendakwaan yang diambil oleh SSM ini diharapkan dapat memberi pengajaran kepada tertuduh secara khususnya dan juga sebagai peringatan kepada orang awam secara amnya agar sentiasa mematuhi peruntukkan dan undang-undang yang termaktub di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Akta 197) dan undang-undang lain yang ditadbir oleh SSM.

SSM sentiasa konsisten dalam mengawal selia pematuhan peruntukan undang-undang yang ditadbir di samping memastikan komuniti korporat peka berhubung dengan tanggungjawab fidusiari serta etika perniagaan.​

DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA​
TARIKH: 10 MAC 2024


3/10/2024Kes Mahkamah2024Press Release10/03/2024
1 - 30Next
MYGOVERNMENT
KPDNHEP myGoverment
Agensi-agensi lain di bawah KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN KOS SARA HIDUP
SSM MyIPO MyCC