Sign In

​​

Skop


  1. Skop kajian semula program pembaharuan undang-undang korporat adalah untuk melaksanakan kajian semula yang mendalam terhadap undang-undang teras syarikat yang mengawal penubuhan, pengurusan dan penamatan syarikat-syarikat;​​​

  2. ​Walaupun terdapat pelbagai undang-undang dan statut-statut yang boleh menjejaskan operasi perniagaan syarikat, Akta Syarikat 1965 adalah sumber utama undang-undang syarikat dan statut utama berhubung undang-undang syarikat yang menentukan penubuhan syarikat, peraturan yang mengawal hubungan antara para peserta dalam syarikat (pemegang saham, pengarah dan pegawai lain dalam syarikat, dan kadang-kadang pekerja) dan antara syarikat dan para pesertanya (khususnya, peraturan-peraturan yang berkaitan dengan modal saham, hak ahli-ahli, kewajipan-kewajipan pengarah dan perkara lain berkaitan pengurusan syarikat) dan penamatan syarikat. Sebagai entiti undang-undang, walaupun dengan personaliti undang-undang buatan, syarikat-syarikat adalah tertakluk kepada undang-undang sama seperti sebagai seorang yang sah. Ini bermakna bahawa undang-undang seperti undang-undang kontrak, undang-undang tort, undang-undang persekitaran dll, terpakai kepada syarikat-syarikat, di mana kadang kala perlu pengubahsuaian dengan mengambil kira fakta bahawa syarikat-syarikat tersebut merupakan orang yang dibuat. Undang-undang tersebut adalah terpakai kerana sebuah syarikat tidak beroperasi sendiri dan perlu bergantung kepada hubungan luar lain untuk menjalankan perniagaan. Hakikat bahawa undang-undang tersebut terpakai kepada syarikat-syarikat tidak menjadikannya sebahagian daripada apa yang secara umumnya dianggap sebagai “undang-undang syarikat”. Oleh itu, meskipun undang-undang sedemikian penting untuk perniagaan syarikat, ia bukan fokus utama kajian semula;

  3. ​Kajian semula ini adalah untuk mencadangkan inisiatif pembaharuan undang-undang yang dilaksanakan di peringkat antara bangsa, khususnya Kajian Semula Undang-Undang Syarikat UK “Modern Company Law for a Competitive Economy”. Pendekatan adalah untuk menyesuai dan memperhalusi inisiatif-inisiatif antarabangsa untuk disesuaikan dengan persekitaran korporat dan perniagaan di Malaysia;

  4. Skop kajian semula meliputi undang-undang dan amalan semasa berhubung isu-isu undang-undang teras syarikat yang bertujuan mengurangkan kos pematuhan secara am dan secara khusus untuk syarikat persendirian. Pendekatan ini digunakan oleh semua kumpulan kerja terutamanya berkaitan penubuhan syarikat dan pemudah cara tanggungjawab membuat laporan bagi meringankan beban pentadbiran yang dikenakan ke atas syarikat. Adalah dijangkakan bahawa akan ada cadangan atau draf teks perundangan yang memperuntukkan peraturan-peraturan untuk syarikat persendirian dengan peruntukan-peruntukan tambahan atau berbeza untuk syarikat awam. Ini adalah pendekatan Kajian Semula Undang-Undang Syarikat UK dan Jawatankuasa Rangka Kerja Perundangan dan Kawal Selia Syarikat Singapura;

  5. Fokus yang diberikan untuk mengurangkan kos pematuhan syarikat memerlukan kajian semula struktur pentadbiran SSM sebagai pihak berkuasa kawal selia sedia ada yang mentadbir Akta Syarikat 1965. Kajian semula ini juga mengambil kira bentuk sedia ada organisasi perniagaan di Malaysia dan sama ada ia mencukupi bagi membolehkan syarikat dan perniagaan Malaysia berdaya saing. Adalah dijangkakan bahawa hasil kajian semula ini akan membolehkan aktiviti korporat dan perniagaan di Malaysia berfungsi dengan persekitaran perniagaan yang kos efektif, konsisten dan berdaya saing;

  6. Salah satu aspek penting undang-undang syarikat adalah tadbir urus korporat. Undang-undang dan amalan semasa berhubung tadbir urus korporat memberi fokus tentang hubungan antara pelbagai peserta korporat dan kebertanggungjawaban pengarah-pengarah. Walau bagaimanapun dua pendekatan utama dalam perdebatan tadbir urus korporat berhubung isu kebertanggungjawaban pengarah adalah teori pemegang saham dan teori pihak berkepentingan. Teori pemegang saham berpendapat bahawa pengarah mempunyai tanggungjawab untuk mempertimbangkan kepentingan pemegang saham dalam pengurusan syarikat, manakala teori pihak berkepentingan membenarkan, atau menghendaki pengarah untuk mempertimbangkan kepentingan orang lain yang terlibat dalam pengurusan syarikat contohnya pemiutang dan pekerja. Pihak SSM mengambil perhatian tentang teori-teori tersebut dalam kajian semula namun berpandukan kepada teori pemegang saham di samping mengambil kira kepentingan pihak berkepentingan lain. Skop kajian semula itu termasuk, antara lain, perkembangan domestik dan antarabangsa mengenai tadbir urus korporat dan kesannya ke atas struktur undang-undang dan peraturan yang sesuai untuk undang-undang syarikat. Perdebatan tadbir urus korporat juga mengambil kira kaitan antara piawai tadbir urus statutori dan bukan statutori. Di Malaysia, Laporan Jawatankuasa Kewangan berhubung Tadbir Urus Korporat dan Kod Malaysia berhubung Tadbir Urus Korporat merupakan dua dokumen yang autoritatif juga diambil kira dalam kajian semula;​

  7. Kod etika dan kod amalan terbaik dan juga kawal selia kendiri kini dipertimbangkan sebagai pelengkap kepada perundangan statutori. Kajian semula ini mengambil kira perkara berikut bagi menentu dan memastikan sempadan perundangan dan kawal selia kendiri ke atas operasi syarikat dan pembuat keputusan secara umum dan ke atas tadbir urus korporat secara khusus. Persoalan berhubung sempadan antara undang-undan dan kawal selia kendiri juga berkait dengan isu sanksi dan penguatkuasaan, terutamanya dalam menentukan gabungan sesuai berhubung tindakan penguatkuasaan;

  8. ​Semasa Akta Syarikat 1965 pertama kali digubal, pihak berkuasa kawal selia korporat hanyalah Pendaftar Syarikat. Pada masa ini, badan kawal selia korporat utama di Malaysia adalah SSM, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia. Walau bagaimanapun, kuasa penguatkuasaan dan siasatan sedia ada yang diberikan kepada tiga badan kawal selia sering bertindan kerana tidak pernah ada kajian semula yang sistematik dan wajar berhubung pertindihan, konflik dan duplikasi tersebut. Oleh sebab ini, skop kajian semula ini mengambil kira untuk mengenal pasti aktiviti-aktiviti pihak berkuasa tadbir urus, pertindihan dalam kuasa-kuasa penguatkuasaan dan siasatan dan menentukan sama ada tindakan penguatkuasaan dan pihak berkuasa pembuat peraturan boleh diagihkan semula terutama berkaitan gabungan sesuai peraturan undang-undang dan kawal selia kendiri bagi menjamin pematuhan; dan

  9. ​​​Tumpuan kepada pemodenan undang-undang syarikat teras tidak akan lengkap tanpa mengkaji impak teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pada undang-undang syarikat. Undang-undang syarikat, sebahagian besarnya, bergantung kepada penyebaran dan akses kepada maklumat. Kajian semula perkembangan dalam ICT dapat membentuk sebahagian penting daripada proses pembaharuan. Skop kajian semula itu termasuk pengiktirafan teknologi baru dalam perniagaan, penggunaan dan potensi penyalahgunaan dan perlindungan yang perlu diserapkan ke dalam struktur perundangan dan kawal selia untuk menampung teknologi baru. Impak ICT ke atas undang-undang syarikat dipertimbangkan oleh semua Kumpulan Kerja berdasarkan pendekatan bahawa struktur perundangan dan kawal selia patut mempermudah penggunaan teknologi baru, lebih fleksibel kepada perubahan teknologi dan mengekalkan integriti dan keselamatan maklumat


MYGOVERNMENT
KPDNHEP myGoverment
Agensi-agensi lain di bawah KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN KOS SARA HIDUP
SSM MyIPO MyCC