Sign In

​​​​

Ybhg. Dato’ Zahrah Abd Wahab Fenner Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia Sempena Majlis Perasmian Karnival ONE SSM Melaka


 Tarikh Diterbitkan: 7 Oktober 2017

Terima Kasih Pengacara Majlis;

Salutation

Datuk Seri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan para hadirin yang dihormati sekalian.

Salam Negaraku dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah, bersukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah dan kurnianya dapat kita bersama-sama berkumpul di dalam Program Karnival Online Entrepreneurs (ONE) SSM, Melaka pada hari ini. Program ini yang berlangsung selama dua hari merupakan kali yang keempat dianjurkan pada tahun ini. SSM telah memilih Angsana Johor Bahru Mall sebagai lokasi pertama penganjuran Karnival ONE pada tahun ini yang telah diadakan pada 31 Mac dan 1 April yang lalu. Karnival pada hari ini juga merupakan kali pertama dianjurkan di Melaka sejak SSM memulakan siri jelajah karnival ONE bermula pada tahun 2015.

Hadirin sekalian,

Setelah beberapa kali dianjurkan, karnival ONE terus berkembang dan diberikan suntikan baru agar keberkesanan dan matlamat penganjurannya dapat dicapai dengan jayanya. Pada mulanya karnival ONE hanya menumpu kepada ceramah, forum dan taklimat kesedaran sahaja. Namun kini, karnival ONE turut menampilkan figura usahawan online tanahair yang berjaya untuk berkongsi tips kejayaan serta pengalaman mereka mengusahakan perniagaan masing-masing.

Objektif utama penganjuran karnival ini ialah untuk membantu golongan usahawan terutamanya yang menjalankan perniagaan secara online untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan membuka peluang mendaftarkan perniagaan serta melihat potensi perniagaan mereka pada masa hadapan.

Pada tahun ini SSM membawakan karnival ONE dengan konsep yang lebih santai dan berilmu. SSM telah memperkenalkan konsep ‘talk show’ bersama pemimpin negara dan ikon usahawan berjaya dalam memberikan ilmu serta berkongsi pengalaman mereka membangunkan sesebuah perniagaan. Konsep ini adalah selaras dengan pendekatan Transformasi 50 (TN50) yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia.

SSM juga turut menyediakan program seminar bersama pakar di dalam bidang keusahawanan, taklimat mengenai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi-agensi berkaitan serta penampilan selebriti terkenal tanahair yang akan bersama-sama memeriahkan karnival ONE ini seperti Shiha Zikir dan Altimet sebagai tarikan orang ramai ke program ini.

Pada penganjuran kali ini, kami menyediakan sebanyak 30 unit booth di mana ianya akan dipenuhi oleh 15 gerai jualan dan selebihnya adalah pameran dari agensi kerajaan serta syarikat korporat. Pengisian pada kali ini pula bukan hanya tertumpu kepada aktiviti ilmu tetapi turut melibatkan aktiviti kesihatan melalui Healthy ONE SSM. Antara aktiviti Healthy ONE SSM adalah; Zumba, Futsal, Netball, Wall Climbing, Panna Knockout dan mini games.

Para Hadirin Sekalian,

Pada hari ini saya ingin mengambil kesempatan untuk menerangkan dengan lebih lanjut mengenai produk terbaru SSM BizTrust yang baru diperkenalkan oleh SSM pada bulan Julai yan lalu. SSM BizTrust merupakan satu piawaian yang ditawarkan secara atas talian oleh SSM kepada entiti perniagaan yang menjalankan perniagaan mereka secara dalam talian menerusi portal, website, media sosial dan sebagainya dengan menjual produk, perkhidmatan atau menyediakan informasi kepada pihak awam secara atas talian.

SSM BizTrust menyediakan platform kepada pengusaha-pengusaha perniagaan online untuk mendapatkan pensijilan biztrust melalui logo (seal) yang akan dipaparkan di dalam laman web perniagaan mereka. Dengan adanya paparan logo SSM BizTrust di sesebuah laman web, ianya dapat meningkatkan keyakinan pengguna yang berurusan dengan entiti perniagaan yang menawarkan perkhidmatan atau sekadar berkongsi maklumat di dalam laman web tersebut.

Peniaga online diberikan pilihan untuk memilih produk SSM BizTrust yang ditawarkan dalam tiga kategori iaitu

(i) Tahap 1 – mematuhi prinsip dan kriteria Pendaftaran;

(ii) Tahap 2 – mematuhi prinsip dan kriteria Pendaftaran serta mematuhi kriteria Keselamatan atau Privasi; dan

(iii) Tahap 3 – mematuhi prinsip dan kriteria Pendaftaran serta mematuhi kriteria Keselamatan dan Privasi.

Pendekatan ini dilaksanakan oleh SSM memandangkan saban hari SSM menerima jumlah aduan yang banyak daripada pengguna yang ditipu oleh peniaga online, lebih parah apabila pengguna ditipu oleh peniaga yang tidak berdaftar kerana penguatkuasaan sukar dilakukan kerana SSM kerana tidak mempunyai maklumat dan rekod kewujudan perniagaan tersebut.

Sejak diperkenalkan SSM telah menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada para usahawan dan sehingga kini SSM telah berjaya mendaftarkan sebanyak 687 entiti perniagaan yang berminat memiliki SSM BizTrust walaupun sebahagian daripadanya masih di dalam status kueri sehingga mereka menepati semua syarat pendaftaran SSM BizTrust yang ditetapkan.

Walaubagaimanapun, saya amat berharap agar usaha SSM memperkenalkan SSM BizTrust ini terus diterima baik oleh semua pihak untuk kepentingan dan kemakmuran kita bersama. Tiada tujuan lain selain ingin melindungi pengguna daripada ditipu serta membantu para peniaga meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk dan perkhidmatan mereka.

Para Hadirin Sekalian,

Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih pihak Kerajaan Negeri khususnya kepada Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Utama Ir. Haji Idris Bin Hj. Haron Ketua Menteri Melaka memberikan ruang, peluang dan kerjasama kepada pihak SSM untuk menjayakan program dan kesudian YAB merasmikan program ini. Tidak dilupakan juga kepada Ketua Setiausaha KPDNKK merangkap Pengerusi SSM, YBhg. Dato’ Sri Jamil Hj. Salleh  kerana sudi meluangkan masa serta tidak jemu-jemu memberikan sokongan kepada SSM untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan seterusnya kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak dalam menjayakan karnival ONE ini.

Akhir kata, saya amat mengharapkan agar semua pihak mendapat kebaikan di atas penganjuran karnival ONE SSM Melaka ini. Sesungguhnya SSM akan terus kehadapan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat khususnya kepada komuniti usahawan di negara ini.

Sekian,

Wabillahi taufik walhidayah, Wassalam mua’laikum warahmatullahi wabarakatuh.​

MYGOVERNMENT
KPDNKK myGoverment
Agensi-agensi lain di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)
SSM MyIPO MyCC