Sign In

​​

F​ungsi Dan Kuasa


Fungsi

  1. Memastikan bahawa peruntukan-peruntukan Akta ini dan undang-undang yang dinyatakan dalam Jadual Pertama ditadbirkan, dikuatkuasakan, diberi kuat kuasa, dijalankan dan dipatuhi;
  2. Bertindak sebagai ejen Kerajaan dan untuk mengadakan perkhidmatan mentadbirkan, memungut dan menguatkuasakan pembayaran fi yang ditetapkan atau apa-apa caj lain di bawah undang-undang yang dinyatakan dalam Jadual Pertama;
  3. Mengawal selia perkara yang berhubungan dengan perbadanan, syarikat dan perniagaan berhubung dengan undang-undang yang dinyatakan dalam Jadual Pertama;
  4. Mendorong dan menggalakkan tatalaku yang sepatutnya di kalangan pengarah, setiausaha, pengurus dan pegawai lain sesuatu perbadanan, dan pengawalseliaan diri oleh perbadanan, syarikat, perniagaan, kumpulan perindustrian dan badan ikhtisas dalam sektor korporat demi untuk memastikan bahawa segala kegiatan korporat dan perniagaan dijalankan mengikut norma-norma yang telah mantap mengenai pentadbiran korporat yang baik;
  5. Meningkatkan dan menggalakkan pembekalan maklumat korporat di bawah mana-mana undang-undang yang dinyatakan dalam Jadual Pertama dan untuk mewujudkan dan membangunkan suatu kemudahan yang dengannya apa-apa maklumat korporat yang diterima oleh, atau yang difailkan dengan atau yang dikemukakan kepada, Suruhanjaya dapat dianalisa dan dibekalkan kepada orang ramai;
  6. Menjalankan penyelidikan dan mengkomisikan kajian mengenai apa-apa perkara yang berhubungan dengan kegiatan korporat dan perniagaan; 18 Undang-Undang Malaysia Akta 614
  7. Menasihati Menteri secara am mengenai perkara- perkara yang berhubungan dengan perbadanan, syarikat dan perniagaan berhubung dengan undang-undang yang dinyatakan dalam Jadual Pertama; dan
  8. Menjalankan segala kegiatan dan melakukan segala perkara yang perlu atau bermanfaat dan patut bagi pentadbiran Suruhanjaya, atau bagi apa-apa maksud lain sebagaimana yang diarahkan oleh Menteri.

Kuasa

  1. Menggunakan segala harta Suruhanjaya, alih dan tak alih, mengikut apa-apa cara yang didapati suai manfaat oleh Suruhanjaya termasuk mendapatkan pinjaman dengan menggadai janjikan harta itu;
  2. Mengenakan fi atau caj bagi perkhidmatan yang diberikan oleh Suruhanjaya sebagaimana yang ditetapkan oleh Menteri melalui peraturan-peraturan yang dibuat di bawah seksyen 40;
  3. Melantik ejen, pakar atau perunding sebagaimana yang didapatinya patut untuk membantu Suruhanjaya dalam menjalankan fungsi-fungsinya;
  4. Memberikan pinjaman kepada pekerja Suruhanjaya bagi apa-apa maksud yang diluluskan oleh Menteri;
  5. Merumuskan dan melaksanakan pembangunan sumber manusia dan rancangan pembiayaan dan kerjasama bagi pelaksanaan fungsi-fungsinya dengan sepatutnya dan berkesan;
  6. Bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan perbadanan atau agensi kerajaan bagi maksud melaksanakan fungsi-fungsi Suruhanjaya; dan
  7. Melakukan apa-apa jua yang bersampingan dengan mana-mana fungsi dan kuasanya.​

MYGOVERNMENT
KPDNHEP myGoverment
Agensi-agensi lain di bawah KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN KOS SARA HIDUP
SSM MyIPO MyCC