Salutation
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang untuk bersama-sama berkumpul di dalam majlis yang sangat bermakna ini iaitu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Antara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kerajaan Negeri Sarawak yang diwakili oleh Unit Pembangunan Usahawan dan Industri Halal, Jabatan Ketua Menteri Sarawak (UPUIH).
Saya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan, dan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II serta YB Datuk Haji Mohd Naroden bin Haji Majais, Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Menteri Muda Perancangan Sumber kerana sudi hadir pada hari ini walaupun agak sibuk dengan tugas dan komitmen masing-masing.
Untuk makluman para hadirin sekalian, saya telah dilantik sebagai Timbalan Menteri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan pada 04 Julai 2016 berasa bangga dengan kejayaan pada hari ini dan secara peribadi sebagai anak Sarawak, saya mengharapkan MOU pada hari ini menjadi titik permulaan menjadikan ekonomi di Sarawak bertambah lebih maju setanding dengan negeri-negeri lain.
Sepertimana yang kita sedia maklum, MOU pada hari ini adalah bertujuan untuk kedua-dua pihak mendapat manfaat secara bersama hasil daripada perkongsian data dan maklumat perniagaan di sini. Saya percaya dengan data dan maklumat yang ada, kedua-dua pihak dapat merangka perancangan pembangunan keusahawan di Negeri Sarawak untuk dinikmati secara bersama oleh rakyat di sini.
Saya juga difahamkan dengan data dan maklumat yang ada, pihak UPUIH dapat mengenalpasti potensi industri Halal di Sarawak dan seterusnya membuat perancangan bagi meningkatkan perkembangan industri Halal di kalangan Usahawan Bumiputera Sarawak.
Para hadirin yang dihormati sekalian,
Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 yang ditadbir urus oleh SSM tidak terpakai di Negeri Sarawak di mana akta ini hanya terpakai di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan sahaja. Ia berbeza dengan Akta Syarikat 1965 dan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 di mana ianya diperuntukkan di seluruh Malaysia termasuk Negeri Sarawak. Di Sarawak, perniagaan yang dijalankan adalah di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan. Oleh yang demikian, saya percaya MOU ini memberi kelebihan kepada kedua belah pihak untuk mengenalpasti bidang kerjasama yang berkaitan bagi membuat perancangan yang strategik dan menyeluruh dalam membantu usahawan-usahawan di Bumi Kenyalang ini.
Bidang kerjasama lain yang bakal diperolehi oleh kedua belah pihak adalah berkaitan perkongsian kepakaran dan latihan di mana jemputan tenaga pakar akan diberikan untuk berkongsi kepakaran dalam pelbagai bidang yang boleh meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran bersama. Selain daripada itu, aktiviti bersama dalam penyelidikan dan analisa akan memberi manfaat diantara satu sama lain selain daripada perkongsian kemudahan dan fasiliti diantara SSM dan UPUIH.
Para hadirin yang dihormati sekalian,
Akhir kata, saya bagi pihak SSM sekali lagi ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas segala kerjasama dan komitmen yang telah diberikan bagi membolehkan majlis MOU pada hari ini berjalan dengan sempurna. Saya secara peribadi amat bangga dengan pencapaian dan kerjasama pada hari ini dan besarlah harapan saya dengan MOU ini akan menjadikan ekonomi di negara kita akan lebih maju dan berdaya saing serta menjadi landasan yang tepat dalam menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.
Saya juga berharap jalinan kerjasama pada hari ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang dalam menerokai pelbagi lagi aspek untuk kita bersama-sama memajukan lagi dunia keusahawan. Tahniah sekali lagi kepada SSM dan UPUIH serta semua yang terlibat dalam menjayakan program pada hari ini.
Terima kasih.