Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ingin memaklumkan bahawa Arahan Menteri di bawah perenggan 26(1)(d) dan seksyen 564 [P.U.(B) 439/2026] telah diwartakan dan berkuat kuasa mulai 30 Oktober 2026.
Arahan Menteri ini memperkenalkan butiran 8 baharu dalam Jadual Arahan Menteri berhubung kawalan nama atau perkataan yang digunakan bagi tujuan pendaftaran nama syarikat.
Pindaan ini bertujuan memperkukuh kejelasan dan kepastian undang-undang serta memperkemas proses pertimbangan dan kelulusan nama syarikat oleh Pendaftar SSM. Ia turut memperuntukkan secara jelas amalan kawalan nama yang sebelum ini dilaksanakan secara pentadbiran oleh SSM.
Melalui pindaan tersebut, nama atau perkataan berikut adalah tertakluk kepada kawalan dan tidak boleh didaftarkan melainkan memenuhi keperluan serta pertimbangan yang ditetapkan:
- Nama atau perkataan yang berada di bawah kawalan mana-mana undang-undang bertulis, agensi Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, jabatan atau pihak berkuasa tempatan; atau
- Nama atau perkataan yang dimohon untuk dikawal oleh mana-mana agensi Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, jabatan, pihak berkuasa tempatan atau mana-mana pihak.
Pemohon yang ingin menggunakan nama atau perkataan terkawal hendaklah mengemukakan surat kelulusan atau surat sokongan daripada pihak berkuasa atau pihak berkaitan, jika berkenaan, bagi tujuan pertimbangan kelulusan nama syarikat.
Pelaksanaan Arahan Menteri ini hendaklah dibaca bersama Garis Panduan Nama Syarikat dan senarai perkataan terkawal yang sedang berkuat kuasa.
Arahan Menteri baharu ini turut menggantikan Arahan Menteri terdahulu bertarikh 9 Mac 2017 melalui Pemberitahuan Warta No. 4620, yang telah dibatalkan melalui Pemberitahuan Warta No. 36152 berkuat kuasa pada 30 Oktober 2026.
Orang awam, pengamal korporat dan pihak berkepentingan boleh merujuk Arahan Menteri serta Garis Panduan Nama Syarikat yang berkaitan melalui portal rasmi SSM di www.ssm.com.my.
SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
5 NOVEMBER 2026