Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini melancarkan kemudahan akses kepada maklumat pemunyaan benefisial melalui pengenalan inisiatif Pembekalan Maklumat Pemunyaan Benefisial selaras dengan Peraturan-Peraturan Syarikat (Akses Kepada Daftar dan Maklumat Yang Berhubungan Pemunyaan Benefisial) 2025 yang mula berkuatkuasa pada 10 Januari 2025.
Antara maklumat yang boleh diperoleh melalui inisiatif ini merangkumi nama pemunya benefisial, tarikh pelantikan sebagai pemunya benefisial, kategori pemunya benefisial serta status syarikat.
Pembekalan maklumat pemunyaan benefisial kini ditawarkan pada peringkat awal melalui kaunter di ibu pejabat SSM di Menara SSM@Sentral. Perkhidmatan ini akan diperluaskan secara dalam talian dan tarikh pelaksanaannya akan diumumkan kelak.
Bagi tujuan pembelian maklumat pemunyaan benefisial, pemohon perlu mendaftar sebagai pengguna dan mengesahkan pendaftaran melalui portal SSM4U di pautan www.ssm4u.com.my. Pengguna sedia ada portal SSM4U yang telah disahkan tidak perlu melalui proses pendaftaran semula.
Seterusnya, pemohon perlu melengkapkan Borang Permohonan Maklumat Pemunyaan Benefisial dan menyerahkannya di kaunter SSM untuk tindakan lanjut. Fi bagi setiap permohonan adalah sebanyak RM20 secara tunai bagi setiap syarikat. Maklumat pemunyaan benefisial akan dibekalkan kepada pemohon dalam format PDF melalui e-mel dalam tempoh tiga hari bekerja dari tarikh permohonan lengkap diterima. Setiap permohonan untuk mendapatkan maklumat pemunyaan benefisial pihak ketiga, perlu disertakan dengan surat kebenaran bertulis daripada organisasi atau institusi berkaitan bagi membolehkan pembekalan maklumat tersebut.
Maklumat terperinci mengenai tatacara pembelian, panduan berkaitan serta Borang Permohonan Maklumat Pemunyaan Benefisial boleh dimuat turun melalui portal rasmi SSM, www.ssm.com.my.
Suruhanjaya Syarikat Malaysia
28 Januari 2025