Akta Syarikat (Pindaan) 2024 [Akta A1701], kecuali Seksyen 4, 14, 26 dan 28 telah dikuatkuasakan pada 1 April 2024. Penguatkuasaan Fasa Kedua Akta Syarikat (Pindaan) 2024 untuk Seksyen 4, 26 dan 28 akan bermula pada 30 November 2024. Manakala Seksyen 14 Akta A1701 akan dikuatkuasakan pada suku pertama 2025 (fasa ketiga).
Seksyen 4 dan Seksyen 26 Akta A1701 (merujuk kepada Seksyen 68 dan 576 Akta Syarikat 2016), mengenai keperluan untuk menyerahsimpan maklumat pemunya benefisial dalam penyata tahunan bagi syarikat tempatan dan asing melalui Malaysian Business Reporting System (MBRS).
Seksyen 28 Akta A1701 (merujuk kepada Seksyen 612A Akta Syarikat 2016) yang memperuntukkan bahawa laman sesawang SSM sebagai platform alternatif yang boleh digunakan untuk mengiklankan maklumat yang sebaliknya dikehendaki diiklan dalam surat khabar.
Manakala Seksyen 14 Akta A1701 (merujuk kepada Seksyen 395 Akta Syarikat 2016) melibatkan pindaan bagi meluakan pemakaian perkiraan sukarela korporat kepada semua syarikat termasuk syarikat yang mempunyai gadaian.
Penguatkuasaan Akta A1701 adalah secara berfasa untuk memastikan perundangan subsidiari yang berkaitan dipinda dan sistem yang berkaitan dibangunkan dan ditambahbaik untuk memenuhi keperluan peruntukan baharu tersebut.
Suruhanjaya Syarikat Malaysia