Mulai 15 Mac 2022, semua Perkataan yang Diwartakan tidak dibenarkan digunakan sebagai sebahagian nama syarikat. Justeru itu, semua permohonan carian nama syarikat yang mengandungi Perkataan yang Diwartakan akan ditolak. Jika pemohon ingin merayu terhadap keputusan Pendaftar, pemohon boleh mengemukakan permohonan rayuan kepada Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (Menteri KPDNHEP) melalui Pendaftar dalam tempoh tiga puluh (30) hari selepas tarikh keputusan Pendaftar.
Permohonan rayuan hendaklah dihantar ke Pejabat SSM berhampiran berserta :-
a. Surat bertulis yang menyatakan alasan rayuan
b. Salinan pemberitahuan e-mel penolakan
c. Lain-lain dokumen jika diarahkan dalam e-mel penolakan
d. Fi permohonan rayuan sebanyak RM300
Sekiranya perkataan yang Diwartakan juga merupakan perkataan yang dikawal oleh Pihak Berkuasa lain, surat kebenaran/ sokongan daripada Pihak Berkuasa tersebut hendaklah dilampirkan bersama. Senarai Pihak Berkuasa dan Garis Panduan Nama Syarikat berkaitan boleh dirujuk dalam laman sesawang SSM.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.ssm.com.my atau hubungi Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000.
Suruhanjaya Syarikat Malaysia
18 Mac 2022