Sign In

​​​​​Permulaan Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT)


Apakah PLT?

Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) adalah satu wadah perniagaan alternatif yang dikawal selia di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 yang menggabungkan ciri-ciri sebuah syarikat dan perkongsian konvensional.

 
Kepada siapa?

Struktur perniagaan PLT direka untuk semua tujuan perniagaan yang sah di sisi undang-undang bertujuan untuk mendapat keuntungan. PLT juga boleh dibentuk oleh golongan profesional seperti Peguam, Akauntan Bertauliah dan Setiausaha Syarikat bagi tujuan menjalankan amalan profesional mereka. Konsep PLT juga akan menyokong perniagaan baru dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengembangkan perniagaan mereka tanpa perlu bimbang terhadap liabiliti dan aset peribadi serta keperluan pematuhan yang ketat.

 
Ciri-ciri utama

Antara yang lain, PLT memberi perlindungan liabiliti terhad kepada rakan-rakan kongsinya sama seperti liabiliti terhad yang dinikmati oleh pemegang saham sesebuah syarikat. PLT juga memberi fleksibiliti peraturan perniagaan dalaman melalui pengaturan perkongsian yang serupa dengan sesebuah perkongsian konvensional.

Apa-apa hutang dan obligasi PLT akan ditanggung dan dibayar daripada harta PLT tersebut dan bukan daripada harta rakan-rakan kongsinya. PLT mempunyai status undang-undang perbadanan pertubuhan yang boleh menyaman dan disaman atas nama PLT itu sendiri, memiliki aset atas namanya dan melakukan semua perkara lain yang sah di sisi undang undang atas namanya yang sama seperti sebuah perbadanan pertubuhan yang lain.

PLT juga menawarkan fleksibiliti dari segi penubuhan, penyelenggaraan dan penamatan dan mempunyai ciri-ciri dan tarikan yang dinamik agar dapat bersaing di peringkat domestik dan antarabangsa. Dengan pengenalan PLT, para usahawan akan mempunyai lebih banyak wadah perniagaan untuk dipilih mengikut kesesuaian.

Untuk maklumat lanjut sila klik yang berikut:-

Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012

PLT merupakan satu bentuk perniagaan alternatif yang menggabungkan ciri-ciri syarikat persendirian dan perkongsian konvensional. Ianya memberikan status liabiliti terhad kepada pekongsinya dan menawarkan fleksibiliti peraturan dalaman melalui perjanjian di antara perkongsi.


Ciri-ciri Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT)

  1. PLT adalah suatu pertubuhan, perbadanan dan mempunyai keperibadian undang-undang yang berasingan daripada perkongsi.
  2. PLT adalah kekal turun-temurun.
  3. Sebarang perubahan dalam per​kongsian tidak akan menjejaskan kewujudan, hak atau libiliti PLT.
  4. PLT mempunyai keupayaan yang tidak terhad dan berupaya untuk atau dibawa guaman terhadapnya, memperoleh, memiliki, memegang; dan membangunkan atau melupuskan harta.
  5. PLT boleh melakukan dan menanggung apa-apa perbuatan dan benda lain yang boleh dilakukan dan ditanggung dengan sah oleh pertubuhan perbadanan(corporate bodies).


Pendaftaran PLT

  1. Sekurang-kurangnya dua (2) orang (keseluruhannya atau sebahagiannya, orang perseorangan atau pertubuhan perbadanan);
  2. Menjalankan apa-apa perniagaan yang sah di sisi undang-undang dengan tujuan mendapat keuntungan; dan
  3. Selaras dengan terma perjanjian PLT.  


Yang boleh mendaftar

  1. Golongan Profesional 
  2. Perniagaan kecil dan sederhana.
  3. Usahasama (Joint Venture).
  4. Modal teroka (Venture Capital)


Maklumat pendaftaran

  1. Cadangan nama PLT
  2. Jenis perniagaan
  3. Alamat pejabat berdaftar
  4. Nama dan maklumat rakan kongsi
  5. Nama dan maklumat pegawai pematuhan
  6. Surat kelulusan daripada badan profesional


Pegawai Pematuhan

Pendaftaran dibuat oleh Pegawai Pematuhan yang dilantik oleh PLT:

  1. Salah seorang rakan kongsi atau setiausaha syarikat (mengikut Akta Syarikat 2016)
  2. Individu  yang merupakan warga negara/penduduk tetap Malaysia berumur 18 tahun ke atas


Fi pendaftaran

Fi pendaftaran PLT adalah RM500.00


Nota:

  1. Hanya notis pendaftaran akan dikeluarkan.
  2. Sijil perakuan pendaftaran PLT hanya akan diberikan apabila permohonan dibuat berserta bayaran yang ditetapkan.


* Klik di s​i​ni​ untuk mengakses portal MyLLP.​



MYGOVERNMENT
KPDNHEP myGoverment
Agensi-agensi lain di bawah KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN KOS SARA HIDUP
SSM MyIPO MyCC