Sign In

​​​​​Pengarah Syarikat Southern Ads Sdn Bhd (627954-v) Didenda RM30,000 Bagi Kesalahan Di Bawah Seksyen 132(2)(c) Akta Syarikat 1965 ​


JOHOR BAHRU, JOHOR - Pengarah syarikat Southern Ads Sdn Bhd, telah mengaku bersalah dan disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 132(2)(c) Akta Syarikat 1965 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor pada 11 Julai lalu kerana telah menyalahggunakan kedudukannya sebagai pengarah syarikat.

Tertuduh, Kamal Hisham bin Ja’afar, mengaku bersalah atas pertuduhan menyewakan ruang perniagaan Lot No. 3 & 18, Tingkat 3, JB Sentral, Johor Bahru, Johor kepada Syarikat Southern Flame Sdn Bhd, di mana tertuduh adalah pengarah dan pemegang saham syarikat tersebut, tanpa kebenaran mesyuarat agung. Tertuduh juga mengaku bersalah atas pertuduhan menyewakan semula ruang perniagaan tersebut kepada syarikat Traistar Enterprise Sdn Bhd untuk tujuan mendapat keuntungan secara tidak langsung kepada tertuduh.

Tertuduh telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada 2 September 2015 bagi empat pertuduhan di bawah Akta Syarikat 1965, empat pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.

Perbicaraan telah dijalankan di mana seramai 27 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan bagi membela diri. Walau bagaimanapun, Hakim Mahkamah Sesyen, Yang Arif Dato Nasir Nordin menjatuhkan hukuman bagi satu kesalahan sahaja iaitu kesalahan di bawah Seksyen 132(2)(c) Akta Syarikat 1965 selepas pihak pendakwaan menawarkan kepada tertuduh tawaran berdasarkan Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah. Yang Arif kemudiannya telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM30,000.00 dan hukuman penjara tiga bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut. Tertuduh kemudiannya menjelaskan bayaran denda tersebut.

Hukuman maksimum yang dijatuhkan oleh Mahkamah menunjukkan mesej yang jelas kepada komuniti korporat khususnya bahawa SSM memandang berat akan pelanggaran peruntukkan-peruntukkan yang termaktub di bawah Akta-Akta yang ditadbir oleh SSM.

Kesalahan di bawah Seksyen 132(2)(c) Akta Syarikat 1965 adalah perlanggaran undang-undang yang berat dan dipandang serius oleh SSM. Tindakan penguatkuasaan yang diambil oleh SSM ini diharapkan dapat memberi pengajaran kepada tertuduh secara khususnya dan juga sebagai peringatan kepada orang awam secara amnya agar sentiasa mematuhi peruntukkan dan undang-undang yang termaktub di bawah Akta Syarikat 1965 serta lain-lain Akta yang ditadbir oleh SSM.

Pendakwaan dikendalikan bersama dengan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) daripada Jabatan Peguam Negara iaitu Tuan Awang Armadajaya Awang Mahmud, Puan Ku Hayati Ku Haron, Tuan Zhafran Rahim Hamzah, Tuan Shukor Abu Bakar manakala SSM diwakili Pegawai Pendakwa Kanan, Encik Mohd Azies Han Mohd Fadzil dan Pegawai Pendakwa, Muhammad Afif bin Abdullah.

DIKELUARKAN OLEH : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
TARIKH : 16 JULAI 2018



myGovernment
KPDNHEP myGoverment
Agencies under Ministry Of Domestic Trade And Cost Of Living
SSM MyIPO MyCC
SSM General Line
E-mail: enquiry[at]ssm.com.my
Operation Hour
Day: Monday - Friday
Service Counter: 8.15 AM - 4.15 PM
SSM Contact Centre
Telephone: +603-7721 4000
Fax: +603-7721 4001