Sign In

Pemuda Disabitkan Kesalahan Memberi Maklumat Palsu Melalui Perkhidmatan E-lodgement SSM


Khamis, 1 Disember 2016: Seorang pemuda berusia 33 tahun, Ng Chee Wah (“OKS”), telah disabitkan dengan kesalahan di bawah seksyen 12(1)(d) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (“APP 1956”) kerana telah memberi maklumat palsu kepada Pendaftar berkait dengan pendaftaran perniagaan Hitamichi Marketing (002178199-X).
Berdasarkan kertas pertuduhan, OKS telah memberi maklumat palsu berhubung pendaftaran pemilik perniagaan tersebut melalui Borang A iaitu borang Pendaftaran Perniagaan yang mana transaksi pendaftaran telah dibuat menggunakan perkhidmatan atas talian e-lodgement SSM.
OKS telah dituduh di hadapan Majistret Zuhair bin Rosli di Mahkamah Majistret Jenayah 8, Kuala Lumpur, dan OKS telah membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Kesalahan di bawah seksyen 12(1)(d) APP 1956 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000.00 atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Ketika mitigasi, OKS yang diwakili oleh peguamnya, Chuah Shyue Chien, telah memohon hukuman yang ringan dengan alasan kesalahan ini merupakan kesalahan pertama OKS dan dia tidak mendapat apa-apa manfaat daripada tindakannya itu serta telah datang sejauh dari Johor Bahru untuk mendengar pertuduhan kes tersebut. Mahkamah telah mensabitkan OKS dengan kesalahan tersebut dan menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 jika gagal bayar 2 bulan penjara. OKS membayar denda tersebut.
SSM memandang berat kesalahan yang serius ini kerana ia menjejaskan kredibiliti dan integriti maklumat yang disimpan oleh SSM. Oleh itu, sabitan ini merupakan peringatan kepada orang awam bahawa tindakan pendakwaan akan diambil sekiranya berlakunya kesalahan di bawah peruntukan undang-undang yang dikawalselia oleh SSM.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kanan SSM, Mohd Fairuz bin Othman dan Lidia Fyrulliza binti Ishak.

SURURHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
1 Disember 2016


myGovernment
KPDNHEP myGoverment
Agencies under Ministry Of Domestic Trade And Cost Of Living
SSM MyIPO MyCC
SSM General Line
E-mail: enquiry[at]ssm.com.my
Operation Hour
Day: Monday - Friday
Service Counter: 8.15 AM - 4.15 PM
SSM Contact Centre
Telephone: +603-7721 4000
Fax: +603-7721 4001