Sign In

Denda Maksimum Dikenakan Ke Atas Syarikat Manducekap Hi-Tec Sdn Bhd Bagi Kesalahan Ketidakpatuhan Di Bawah Akta Syarikat 1965


Shah Alam – Jumaat, 4 November 2016: Syarikat Manducekap Hi-Tec Sdn Bhd dan 9 orang pengarah – pengarahnya telah disabitkan dengan kesalahan ketidakpatuhan di bawah Seksyen 169(1), 165(4) dan 143(1) Akta Syarikat 1965 di Mahkamah Mejistret Shah Alam setelah pihak pendakwaan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Seramai 3 saksi pendakwaan dan 1 saksi pembelaan telah dipanggil sepanjang tempoh perbicaraan dan kesemua tertuduh telah memberi keterangan secara bersumpah setelah kes ini dipanggil untuk membela diri di hadapan Majistret Puan Farah Azura Binti Mohd Saad.

Pendakwaan terhadap kesemua tertuduh dimulakan pada 23 April 2015 dan perbicaraan bermula pada 6 Oktober 2015. Pertuduhan yang dikenakan ke atas tertuduh ialah bagi kesalahan di bawah seksyen 143(1) iaitu tidak mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan bagi tahun 2010, tidak menyerahsimpan penyata tahunan bagi tahun 2010 di bawah seksyen 165(4) dan tidak membentangkan akaun untung dan rugi syarikat bagi tahun takwim 2010 di bawah seksyen 169(1).

Mahkamah telah mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan telah mensabitkan semua tertuduh dengan semua kesalahan yang dipertuduhkan ke atas mereka. Pihak pendakwaan telah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang maksimum terhadap kesemua tertuduh atas alasan – alasan yang dikemukakan di dalam hujahan faktor pemberat hukuman yang antara lainnya ialah kerana perbicaraan kes ini telah memakan masa hampir setahun. Puan Majistret telah mempertimbangkan hujahan pihak pendakwaan dan menjatuhkan hukuman maksimum kepada Syarikat Manducekap Hi-Tec Sdn Bhd bagi kesalahan di bawah seksyen 143(1) iaitu denda sebanyak RM5000 dan denda sebanyak RM2000 bagi kesalahan di bawah seksyen 165(4).

Bagi setiap pengarah pula, hukuman yang dijatuhkan bagi kesalahan di bawah seksyen 143(1) ialah denda sebanyak RM2500 jika gagal bayar 3 bulan penjara, denda sebanyak RM1500 jika gagal bayar 2 bulan penjara bagi kesalahan di bawah seksyen 165(4) dan denda sebanyak RM5000 jika gagal bayar 6 bulan penjara bagi kesalahan di bawah seksyen 169(1) AS 1965. Jumlah keseluruhan denda yang dikenakan ialah sebanyak RM88000.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia diwakili oleh Pegawai Pendakwa Mohd Fairuz Othman, Lidia Fyrulliza Ishak dan Dzulkefly Mohed. Manakala, pihak pembelaan pula diwakili oleh Ragumaren Gopal daripada Tetuan G. Ragumaren & Co., V. Gengeys Vijay dan Karnan a/l Rajanthiran daripada Tetuan Gengeys & Co.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia


myGovernment
KPDNHEP myGoverment
Agencies under Ministry Of Domestic Trade And Cost Of Living
SSM MyIPO MyCC
SSM General Line
E-mail: enquiry[at]ssm.com.my
Operation Hour
Day: Monday - Friday
Service Counter: 8.15 AM - 4.15 PM
SSM Contact Centre
Telephone: +603-7721 4000
Fax: +603-7721 4001