Sign In

​Beri Maklumat Palsu Kepada Pe​ndaftar Syarikat – Pengarah Syarikat Dihukum Denda Rm 15,000.00


Alor Setar – Khamis, 27 Oktober 2016: Seorang pengarah syarikat berusia 53 tahun, Mohd Naim Bin Hussain telah disabitkan oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar dengan satu pertuduhan di bawah seksyen 364(2) Akta Syarikat 1965 kerana telah melakukan kesalahan memberi kuasa kepada setiausaha syarikat untuk menyerahsimpan maklumat palsu di Suruhanjaya Syarikat Malaysia berkenaan dengan peletakan jawatan salah seorang ahli lembaga pengarah MS Saujana Sdn. Bhd. melalui borang 49 bertarikh 2 Mac 2013. Hukuman bagi kesalahan di bawah seksyen 364(2) Akta Syarikat 1965 ialah penjara sepuluh tahun atau denda RM250,000 atau kedua-duanya.

Menurut kertas pertuduhan, Mohd Naim telah ditangkap dan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen yang sama pada 18 November 2015 untuk dibacakan pertuduhan di bawah seksyen 364(2) Akta Syarikat 1965. Mohd Naim telah membuat pengakuan tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Puan Najwa Che Mat telah mensabitkan Mohd Naim dengan kesalahan seperti pertuduhan dan memerintahnya membayar denda sebanyak RM 15,000.00 atau penjara 5 bulan jika denda tidak dibayar. Sabitan dibuat selepas Mohd Naim yang diwakili peguamnya Burhanudeen Ab Wahid menukar pengakuan kepada bersalah pada 27 Oktober 2016. Denda telah dibayar oleh Mohd Naim pada hari yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SSM, Mohd Zulkhairi Kamaruzaman dan Mohd Fairuz Othman.

Bertarikh 28 Oktober 2016
Suruhanjaya Syarikat Malaysia


myGovernment
KPDNHEP myGoverment
Agencies under Ministry Of Domestic Trade And Cost Of Living
SSM MyIPO MyCC
SSM General Line
E-mail: enquiry[at]ssm.com.my
Operation Hour
Day: Monday - Friday
Service Counter: 8.15 AM - 4.15 PM
SSM Contact Centre
Telephone: +603-7721 4000
Fax: +603-7721 4001