Sign In
  
  
Isi Kandungan
  
  
  
  
  
166
  

​Kuala Lumpur, 10 Februari 2020 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah berjaya menyekat dan membawa turun satu laman sesawang yang menjalankan perniagaan tanpa berdaftar menerusi laman sesawang www.duitcloud.com pada 27 September 2019.

Hasil siasatan mendapati bahawa laman sesawang www.duitcloud.com (Program Duit Cloud) tersebut tidak berdaftar dengan SSM dan menjalankan perniagaan menjual Cakera Padat (CD) yang mengandungi perisian program. Perniagaan tersebut menjanjikan pulangan yang lumayan kepada pelanggan dengan hanya memuat naik (install) perisian program yang dibeli daripada mereka ke dalam komputer peribadi masing-masing.

SSM ingin menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan laman-laman sesawang yang menjalankan perniagaan tanpa berdaftar dan tidak mempunyai nama perniagaan yang sah. Kes ini dirujuk di bawah Seksyen 30(2)(b) Akta Syarikat 2016 iaitu gagal menzahirkan nama berdaftarnya dan nombor pendaftaran syarikat pada laman sesawangnya (jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,0000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali).

Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut berhubung perkara di atas, adalah dinasihatkan untuk menghubungi mana-mana pejabat SSM berdekatan atau membuat aduan di laman sesawang rasmi SSM, www.ssm.com.my atau hubungi Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000.


DIKELUARKAN OLEH : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA 
TARIKH : 10 FEBRUARI 2020

2/10/2020Berita202010/02/2020
165
  

​Kuala Lumpur, 13 Disember 2019 – Seramai 2,205 orang pelajar daripada telah mengikuti siri Program Jelajah Anda dan Perniagaan yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melibatkan penyertaan pelajar daripada lebih sepuluh buah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTS) dan Swasta (IPTS) di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Siri jelajah terakhir Program Anda dan Perniagaan bagi tahun 2019 telah dianjurkan di Menara SSM@Sentral, Kuala Lumpur dengan penyertaan seramai 300 orang pelajar daripada 13 buah IPTA dan IPTS di sekitar Lembah melibatkan Universiti Malaya (UM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kolej Profesional Baitulmal, Kolej Universiti Poly-Tech Mara Kuala Lumpur, Politeknik METrO Kuala Lumpur, GIATMARA Titiwangsa, GIATMARA Lembah Pantai, GIATMARA Setiawangsa, GIATMARA Wangsa Maju, GIATMARA Bandar Tun Razak, GIATMARA Cheras, GIATMARA Kepong dan Kolej Antarabangsa Sains Perubatan Pusrawi (PICOMS).

Program Anda dan Perniagaan ini dilaksanakan oleh SSM bertujuan untuk   memupuk dan menyemai minat mengenai keusahawanan di kalangan pelajar agar mereka lebih terbuka untuk mempertimbangkan perniagaan sebagai salah satu kerjaya di masa hadapan dengan tidak semata bergantung kepada kerjaya ‘makan gaji’ semata-mata setelah tamat pengajian.

Program ini juga dilaksanakan oleh SSM selaras dengan peranan semua institusi pengajian tinggi yang bukan hanya ingin melahirkan graduan untuk mengisi bidang kerjaya semata-mata, tetapi juga ingin melahirkan graduan yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat dengan menyertai bidang keusahawanan.

Sepanjang program berlangsung, SSM turut membuka peluang kepada para pelajar untuk mendaftarkan perniagaan secara percuma di bawah Skim 1 Pelajar 1 Peniagaan (S1P1P), mempromosikan produk baharu iaitu SSM BizTrust serta membuka kaunter khidmat nasihat dan rundingan untuk memberikan penerangan lanjut kepada para pelajar yang ingin menjadi usahawan.

SSM turut mengalu-alukan orang ramai yang ingin membuat pertanyaan dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai fungsi dan peranan SSM boleh menghubungi Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000 atau emel ke enquiry@ssm.com.my.

DIKELUARKAN OLEH : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM) 
TARIKH : 13 DISEMBER 2019
12/13/2019Berita201913/12/2019
164
  

​Kuala Lumpur, 12 Disember – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ingin mengingatkan orang awam supaya berwaspada dengan sebarang projek kerjasama usahawan yang ditawarkan oleh syarikat atau yayasan dengan menggunakan nama SSM.

Hasil pemantauan SSM baru-baru ini mendapati kewujudan sebuah yayasan bernama Yayasan Amal Trust yang mendakwa telah menjalinkan kerjasama dengan SSM untuk memberikan dana perniagaan kepada usahawan atau peniaga kecil dan sederhana.

Untuk makluman, SSM tidak pernah menjalinkan kerjasama sedemikian dengan yayasan tersebut.

Orang awam dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran-tawaran yang menjanjikan dana usahawan sebegini dan dinasihatkan untuk membuat semakan dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang berkaitan bagi memastikan tawaran tersebut sah dan mematuhi undang-undang sedia ada di Malaysia bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.

Sebarang pertanyaan berkaitan perkara di atas boleh dirujuk kepada Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000  atau sila hubungi mana-mana pejabat SSM yang berhampiran.

DIKELUARKAN OLEH : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM) 
TARIKH : 12 DISEMBER 2019​
12/13/2019Berita201913/12/2019
163
  

​Kuala Lumpur: Bermula 1 Januari 2020 sehingga 30 April 2020, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan melaksanakan “Kempen Pematuhan Tahun 2020 Akta Syarikat 2016”. 

Menerusi pelaksanaan kempen ini, SSM akan memberi kadar pengurangan kompaun maksimum sebanyak 90 peratus daripada nilai asal kompaun kepada komuniti korporat bagi dua situasi berikut:

(a) Syarikat aktif yang ingin dikekalkan dalam daftar syarikat, dikehendaki untuk mengemaskini serahsimpan Penyata Tahunan (PT) dan Penyata Kewangan (PK) berdasarkan peruntukan di bawah Akta Syarikat 1965 (AS 1965)/ Akta Syarikat 2016 (AS 2016); dan

(b) Syarikat dorman dan tidak aktif dikehendaki membuat permohonan pemotongan nama syarikat menurut Seksyen 550 AS 2016.

Kadar pengurangan kompaun maksimum sebanyak 90 peratus ini hanya terpakai kepada kompaun-kompaun yang dikeluarkan bagi kesalahan lazim sahaja di bawah AS 2016 dan AS 1965 seperti berikut:

Bil

Seksyen Kesalahan

Keterangan Kesalahan
1.    68(1) AS 2016Gagal menyerahsimpan Penyata Tahunan
2.    248(1) AS 2016Gagal menyediakan Penyata Kewangan
3.    258(1) AS 2016Gagal mengedarkan Penyata Kewangan
4.    259(1) AS 2016Gagal  menyerahsimpan  Penyata Kewangan
5.    340(1) AS 2016Gagal mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (bagi syarikat awam)
6.    7(11)(b) AS 1965Gagal memberi maklumbalas tehadap notis SSM
7.    143(1) AS 1965Gagal mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan
8.    165(4)/(5)AS 1965Gagal  menyerahsimpan  Penya Tahunan
9.    169(1) AS 1965Gagal membentangkan Penyata Kewangan

SSM sentiasa memantau aspek pematuhan yang merupakan perkara penting dalam memastikan integriti maklumat korporat yang disimpan di SSM. Terutamanya, berhubung kemaskini maklumat melalui serahsimpan PT dan PK yang diwajibkan oleh perundangan yang ditadbir oleh SSM. Kewajipan pematuhan ini adalah bagi memastikan maklumat yang disimpan oleh SSM adalah maklumat terkini yang boleh diakses oleh pihak awam dan pihak-pihak berkepentingan. 

SSM ingin menyarankan agar warga komuniti korporat di Malaysia mengambil peluang keemasan ini untuk menjelaskan kompaun-kompaun yang tertunggak bagi mengelakkan sebarang tindakan mahkamah diambil. Sekiranya tindakan mahkamah telah diambil, tiada sebarang rayuan akan dilayan.

Untuk makluman, pembayaran kompaun boleh dibuat di mana-mana kaunter Pejabat SSM di seluruh Malaysia. Sebarang pertanyaan berkaitan perkara di atas boleh dirujuk kepada Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000/03-22995334, emel ar_compliance@ssm.com.my atau laman sesawang SSM di www.ssm.com.my.

DIKELUARKAN OLEH : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA 
TARIKH : 9 DISEMBER 2019


12/9/2019Berita201909/12/2019
162
  

​Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan tawaran pelaburan di luar negara seperti pelaburan hartanah dan kongsitani yang ditawarkan oleh syarikat asing.

Hasil pemantauan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati penawaran pelaburan di luar negara tersebut menggunakan entiti perniagaan tempatan sebagai ejen bagi mempromosikan peluang pelaburan yang menjanjikan pulangan yang tidak munasabah kepada orang awam.

SSM ingin mengingatkan orang ramai supaya menyemak terlebih dahulu kesahihan sesuatu tawaran pelaburan di luar negara dengan pihak berkuasa yang berkaitan termasuk SSM bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan pihak yang tidak bertanggungjawab. 

Orang ramai juga boleh membuat aduan di laman rasmi SSM sekiranya mendapati ada aktiviti syarikat atau perniagaan yang menawarkan skim pelaburan yang mencurigakan.

#Scamalert
#Anda Bukan Mangsa Pelaburan Haram 


DI KELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM)
TARIKH: 8 NOVEMBER 2019

11/8/2019Berita201908/11/2019
161
  

​Kuala Lumpur, 7 Oktober 2019 - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan memperkenalkan format baharu nombor pendaftaran bagi entiti perniagaan yang berdaftar dengannya bermula 11 Oktober 2019.

Format baharu ini diperkenalkan bagi menggantikan nombor pendaftaran syarikat, perniagaan dan perkongsian liabiliti terhad sedia ada.  Ini selaras dengan inisiatif kerajaan untuk menggunakan satu format pendaftaran tunggal bagi entiti perniagaan di Malaysia di bawah Pelan Induk Perusahaan Kecil dan Sederhana 2012 hingga 2020.

Salah satu program di bawah pelan induk ini adalah Program Berimpak Tinggi Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME HIP 1) yang diterajui oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

Selain SSM, pelaksanaan format baharu nombor pendaftaran ini turut melibatkan badan-badan pendaftar lain yang mengeluarkan nombor pendaftaran entiti perniagaan.

Format baharu nombor pendaftaran entiti perniagaan SSM ini mengandungi 12 digit. Pelaksanaan format baharu ini dijangka akan memudahkan pengurusan data dan pembangunan sistem kerana ia merupakan satu format nombor yang menepati piawaian bagi kesemua jenis entiti perniagaan.

Bagi syarikat, perniagaan dan perkongsian liabiliti terhad yang didaftarkan pada dan selepas pelaksanaan format baharu, SSM akan memperuntukan dua (2) format nombor (iaitu format lama dan baharu) seperti contoh berikut:

Nama:  AMS Setia Jaya Sdn. Bhd.
No. Pendaftaran : 201901000005 (1312525-A)

Format nombor baharu ini mengandungi empat nombor pertama menunjukkan tahun entiti perniagaan tersebut diperbadankan, dua nombor berikutnya menunjukkan jenis entiti perniagaan dan enam nombor berikutnya menunjukkan turutan nombor (running number) entiti perniagaan tersebut.

Jenis entiti perniagaan dikelaskan dengan nombor 01 untuk syarikat tempatan, 02 untuk syarikat asing, 03 untuk perniagaan, 04 untuk perkongsian liabiliti terhad tempatan, 05 untuk perkongsian liabiliti terhad asing dan 06 untuk perkongsian liabiliti terhad amalan profesional.

Untuk makluman, nombor pendaftaran sedia ada masih boleh digunakan bersama dengan format baharu nombor untuk satu tempoh masa yang akan dimaklumkan kemudian. Pemilik perniagaan juga tidak perlu membuat perubahan pada surat rasmi, invois, papan tanda dan cetakan lain-lain dokumen sehingga SSM memaklumkan tarikh penguatkuasaan penggunaan satu format nombor sahaja. Namun begitu, penggunaan format baharu nombor pendaftaran adalah digalakkan.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000 atau emel ke enquiry@ssm.com.my

DIKELUARKAN OLEH : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM) 
TARIKH : 7 OKTOBER  2019
10/7/2019Berita201907/10/2019
160
  

​Selasa, 3 Oktober 2019 – Seorang bekas pengarah syarikat, Ramlan Osman telah dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah (1) Petaling Jaya dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 198(1) Akta Syarikat 2016 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM1,000,000 atau kedua-duanya sekali dan Seksyen 364(2) Akta Syarikat 1965 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM250,0000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan kertas-kertas pertuduhan, tertuduh dikatakan telah memalsukan status kebankrapannya dalam Borang 48A bertarikh 23 Jun 2016, iaitu satu dokumen yang diserahsimpan kepada Pendaftar di bawah seksyen 308(1) Akta Syarikat 1965. Pemalsuan status kebankrapan tersebut menyebabkan tertuduh bertindak sebagai pengarah syarikat dengan menandatangani  Laporan Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31.12.2017. Tertuduh telah mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Hakim Puan Norshila Dato’ Hj Kamaruddin telah menetapkan 4 November 2019 untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen oleh pihak pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa SSM, Tengku Nor Zurairah  Tengku Abdul Aziz, manakala tertuduh tidak diwakili.

SSM ingin memberi peringatan kepada orang awam bahawa kesalahan seperti ini adalah sangat serius kerana ia menjejaskan integriti maklumat yang disimpan di SSM. Tindakan perundangan akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran peruntukan undang-undang di bawah Akta yang dikawalselia oleh SSM.


SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
Bertarikh : 3 Oktober 2019
10/3/2019Berita201903/10/2019
159
  
Selasa, 1 Oktober 2019 – Pengarah syarikat Warisan Naning Sdn. Bhd., Mustapa Naning, telah dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah (1) Butterworth, Pulau Pinang dengan tiga pertuduhan di bawah seksyen 125(1) Akta Syarikat 1965 yang membawa hukuman penjara 5 tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh dikatakan telah memegang jawatan sebagai pengarah syarikat Warisan Naning Sdn. Bhd., di mana pada masa material,  tertuduh merupakan seorang bankrap yang belum dilepaskan dan tidak mendapat kebenaran Mahkamah untuk memegang jawatan tersebut. Tertuduh mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan-pertuduhan dibacakan kepada beliau. 

Hakim Mahkamah Sesyen Norhayati Mohamad Yunus telah menetapkan tarikh 24.10.2019 untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan telah dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kanan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Najia Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili.

SSM ingin mengingatkan orang ramai bahawa tindakan perundangan akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran peruntukan undang-undang di bawah Akta yang dikawalselia oleh SSM.

SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
BERTARIKH : 1 Oktober 2019
10/1/2019Berita201901/10/2019
158
  
Selasa, 1 Oktober 2019 - Seorang pemilik perniagaan Imadi Venture bernama Ismail Mohd Ali, 56 , telah didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah 8 Shah Alam bagi satu pertuduhan di bawah Seksyen 91(1) Akta Syarikat 1965.

Pertuduhan yang dikenakan terhadap Ismail adalah berkaitan dengan perbuatan menawarkan kepada orang awam untuk membeli kepentingan dalam skim pelaburan yang dikenali sebagai ‘skim pelaburan haiwan peliharaan kucing’ tanpa sebarang surat ikatan yang diluluskan oleh Pendaftar Syarikat berkaitan dengan kepentingan tersebut.

Seksyen 94(1) memperuntukkan penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM100,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan, bagi kesalahan di bawah Seksyen 91(1) Akta Syarikat 1965.

Hakim Puan Rofiah Mohamad kemudiannya memerintahkan Ismail dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia. Kes akan disebut semula pada 11 Oktober 2019 untuk serahan dokumen oleh pihak pendakwaan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SSM, Nur Nazhzilah Binti Mohammad Hashim dan Muhammad Afif Bin Abdullah, manakala Ismail diwakili oleh peguam K. Theivaendran.

SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
BERTARIKH : 1 Oktober 2019​
10/1/2019Berita201901/10/2019
157
  

Kuala Lumpur, 28 September – Dr. Azman Bin Hussin telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) selama dua (2) tahun berkuatkuasa 28 September 2019.

Dr. Azman merupakan KPE yang ke-enam sejak penubuhan SSM pada tahun 2002. Beliau menggantikan YBhg. Dato' Zahrah Abd Wahab Fenner yang bersara wajib pada 28 September 2019.

Dr. Azman mempunyai pengalaman dan kepakaran luas dalam bidang keusahawanan, korporat, teknologi dan strategi perniagaan.

Beliau antara lain pernah menjadi ahli Lembaga Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Silicon Vision Corporation, TSI-Telsys Corporation yang disenaraikan di Bursa Saham Montreal, Canada. Beliau juga pernah bekerja dalam bidang strategi korporat di Qatar Steel Company dan Ooredoo (dahulunya Qatar Telecom). Di samping itu, beliau mengajar dan melatih dalam bidang strategi di Saudi Arabia, Qatar, Kuwait, Jordan dan Malaysia.

Dr. Azman memiliki Sarjana Muda dan Sarjana dalam bidang Fizik dari Universiti Ohio, Amerika Syarikat serta kedoktoran dalam bidang pengurusan dari Universiti Utara Malaysia.

Beliau juga pernah menulis beberapa buah buku yang telah dipasarkan ke peringkat antarabangsa termasuk penerbitan bertajuk Higher Objectives of Humanity dan Prophet Muhammad the Hallmark of Leadership.​

9/28/2019Berita201928/09/2019
156
  
Khamis, 26 September 2019: Seorang individu bernama Chandran Muthu Comaran Rajoo, telah didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah (12) Kuala Lumpur atas kesalahan membuat pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di bawah Seksyen 364(2) Akta Syarikat 1965 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM250,000 jika disabit kesalahan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh telah memberi maklumat palsu di dalam Borang 49 bertarikh 30 Mac 2015 yang mana pernyataan palsu tersebut adalah berhubung dengan peletakan jawatan seorang lagi individu bernama Rosni Shapii sebagai pengarah syarikat Jaips Resources Sdn. Bhd.

Tertuduh mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Hakim Puan Puan Manira Mohd. Nor menetapkan tarikh 14 Oktober 2019 untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Abdul Hadi bin Abdul Muti.

SSM memandang berat kesalahan yang serius seperti ini kerana ia menjejaskan kredibiliti dan integriti maklumat yang disimpan olehnya. Tindakan perundangan akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran peruntukan undang-undang di bawah Akta dan Peraturan yang dikawalselia oleh SSM.
9/26/2019Berita201926/09/2019
154
  
Khamis, 24 September 2019: Pengarah syarikat Magnum Rewards Sdn Bhd, Tan Ze Guan telah didakwa di Mahkamah Majistret Ampang atas kesalahan membuat pernyataan palsu kepada Pendaftar Syarikat di bawah Seksyen 364(2) Akta Syarikat 1965 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM250,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh didakwa membuat pernyataan palsu di dalam Borang 49 bertarikh 2 Mac 2016 berhubung pelantikan Marzuki Baidawi sebagai pengarah syarikat itu. Tertuduh telah mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Majistret Tn. Mohamad Firdaus Sadina Ali. Mahkamah menetapkan RM5,000 sebagai wang ikat jamin. Kes akan disebut semula pada 10 Oktober 2019.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa SSM, Nur Nazhzilah Mohd Hashim dan Amir Sharifuddin Hashim, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Arthur Wang Ming Way dan Hanan Mohammad Kamal.

DIKELUARKAN OLEH : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM) 
TARIKH : 24 SEPTEMBER 2019
9/24/2019Berita201924/09/2019
153
  

​Jumaat, 20 September 2019: Seorang pemilik perniagaan, Wan Adnan Wan Berahim telah didakwa dengan satu kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(d) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 kerana telah memberi maklumat palsu kepada Pendaftar Perniagaan melalui Borang B bertarikh 19 Jun 2014, iaitu borang “Pendaftaran Perubahan Maklumat Perniagaan” berkaitan pengeluaran nama Leong Mai Lin bagi perniagaan Rintis Maju Enterprise & Construction dan satu lagi kesalahan dibawah Seksyen 27B(1)(a) Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (Pindaan) 2015 kerana gagal hadir di hadapan Pendaftar Perniagaan bagi merakam keterangan secara lisan sebagaimana yang dikehendaki melalui Notis di bawah Seksyen 27A Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (Pindaan) 2015.

Wan Adnan, yang dituduh di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Tuan Shahrul Rizal Majid dan diwakili oleh peguam Nur Alyaa Mohd Zain, mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.

Kesalahan di bawah seksyen 12(1)(d) APP 1956 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. Seksyen 27B(1)(a) Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (Pindaan) 2015 pula, memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Shahrul Rizal menetapkan 20 Oktober 2019 sebagai tarikh sebutan kes serahan dokumen oleh pihak pendakwaan.

SSM memandang berat kesalahan yang serius seperti ini kerana ia menjejaskan kredibiliti dan integriti maklumat yang disimpan oleh SSM. Oleh itu, tindakan pendakwaan akan diambil sekiranya berlaku kesalahan di bawah peruntukan undang-undang yang dikawalselia oleh SSM.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SSM Muhammad Afif Abdullah dan Nur Nazhzilah Binti Mohammad Hashim.

SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
BERTARIKH  : 20 SEPTEMBER 2019
9/20/2019Berita201920/09/2019
152
  

​Khamis, 19 September 2019 – Seorang pengarah syarikat Capitawealth International Sdn. Bhd, Danny Lim Tze Hsiang, telah dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah (2) Georgetown, Pulau Pinang dengan satu pertuduhan di bawah seksyen 484(6) Akta Syarikat 2016 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Tertuduh dikatakan telah gagal mengemukakan butiran mengenai liabiliti syarikat Capitawealth International Sdn. Bhd. iaitu satu Penghakiman bagi saman nombor A72NCC-2857-01/2015 bertarikh 11.11.2016 yang sepatutnya dikemukakan di dalam Jadual E, Penyataan Tentang Hal Ehwal Syarikat bagi syarikat Capitawealth International Sdn. Bhd. bertarikh 11.7.2017 kepada Penyelesai mengikut cara yang ditentusahkan oleh Pendaftar sebagaimana yang dikehendaki di bawah seksyen 484(1) Akta Syarikat 2016. Tertuduh mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan kepada beliau.

Kes dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Mazdi Abdul Hamid dan pendakwaan telah dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kanan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Najia Abdul Razak. Tertuduh pula tidak diwakili.
SSM ingin mengingatkan orang ramai bahawa tindakan perundangan akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran peruntukan undang-undang di bawah Akta yang dikawalselia oleh SSM.

SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
BERTARIKH: 19 SEPTEMBER 2019
9/19/2019Berita201919/09/2019
151
  

​Kuala Lumpur, 12 September 2019 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ingin menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan laman sesawang yang menggunakan nama SSM bagi tujuan pembaharuan Sijil Perakuan Pendaftaran secara atas talian. Laman sesawang rasmi SSM ialah www.ssm.com.my dan ezbiz.ssm.com.my

SSM telah menerima banyak aduan mengenai laman sesawang yang menggunakan nama SSM bagi menawarkan perkhidmatan pembaharuan Sijil Perakuan Pendaftaran perniagaan secara atas talian dengan mengenakan caj yang tidak munasabah dan membebankan pengguna.

SSM telah menjalankan siasatan mengenai aduan ini dan mendapati syarikat berkenaan wujud dan telah mengarahkan syarikat untuk menurunkan laman sesawang yang menggunakan nama SSM serta merta bagi mengelakkan kekeliruan kepada orang awam. SSM memandang serius perkara ini kerana ianya menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 38(1), Akta Cap Dagangan 1976 dan Seksyen 9, Akta Perihal Dagangan 1972 yang melarang penggunaan cap dagangan tanpa kebenaran tuan punya berdaftar cap dagangan itu.

Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut berhubung perkara di atas, adalah dinasihatkan untuk menghubungi mana-mana pejabat SSM berdekatan atau membuat aduan di laman sesawang rasmi SSM, www.ssm.com.my atau hubungi Hotline SSM di talian 03-2299 4400.


DIKELUARKAN OLEH : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM) 
TARIKH : 12 SEPTEMBER 2019
9/12/2019Berita201912/09/2019
150
  

​Kuala Lumpur, 22 Ogos 2019 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bersama-sama Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) hari ini menganjurkan Program Corporate Tea Talk (CTT) bertajuk ‘Integrity & Governance, The Implementation Of The National Anti-Corruption Plan And The Corporate Liability Clause’ di Auditorium Tun Dr Siti Hasmah, Menara SSM@Sentral.

SSM telah disenaraikan sebagai salah satu Agensi Peneraju bagi Pelan Antirasuah Nasional atau National Anti-Corruption Plan (NACP) 2019–2023 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 29 Januari 2019 yang lalu, sejajar dengan usaha merealisasikan Manifesto Kerajaan ke arah negara bebas rasuah dan berintegriti.

Program CTT ini mencerminkan komitmen SSM untuk menyahut seruan Kerajaan dan bersedia menjalinkan kerjasama di antara Agensi-agensi Peneraju yang lain dalam merealisasikan hasrat ini.

Antara objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan dan kesedaran berkaitan perlaksanaan NACP kepada pegawai-pegawai syarikat yang berdaftar dengan SSM serta memberi kesedaran kepada mereka untuk membangunkan Organisation Anti-Corruption Plan (OACP) dengan dibantu oleh Pusat Governans Integriti dan Antirasuah (GIACC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan INTEGRITI.

Program CTT ini dihadiri oleh lebih 300 orang setiausaha-setiausaha syarikat, pengarah-pengarah syarikat, ketua-ketua agensi dan persatuan, serta pihak-pihak lain yang berkaitan.

Program ini dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan Korporat) SSM YBrs. Puan Nor Azimah Binti Abdul Aziz.

Untuk makluman, sehingga 31 Julai 2019, rekod SSM menunjukan terdapat sebanyak 2,626,176 entiti perniagaan yang aktif di negara ini dengan pecahan jenis entiti perniagaan sebanyak 1,911,170, entiti syarikat sebanyak 695,127 dan entiti perkongsian liabiliti terhad (PLT) sebanyak 19,879. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 214,685 entiti perniagaan dilaporkan menjalankan perniagaan atas talian.

Orang ramai boleh memeriksa status sesebuah entiti perniagaan di Malaysia melalui laman web SSM iaitu e-info di pautan https://www.ssm-einfo.my/ dan MyData di pautan https://www.mydata-ssm.com.my/homePage

Untuk maklumat berkenaan SSM dan Akta-Akta yang dikawal selia oleh SSM, sila hubungi pusat panggilan SSM di talian 03-2299 4400.


DIKELUARKAN OLEH : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM) 
TARIKH : 22 OGOS 2019
8/22/2019Berita201922/08/2019
149
  

​​Gua Musang, 21 Ogos 2019 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengagihkan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berjumlah RM20,000 kepada Masyarakat Orang Asli Suku Batek, Gua Musang, Kelantan di bawah inisiatif #SSMPrihatin pada hari ini.

SSM mengambil inisiatif ini susulan daripada kes kematian misteri secara mendadak 15 orang daripada Masyarakat Orang Asli Suku Batek dari Kampung Kuala Koh di Gua Musang, Kelantan dipercayai akibat demam campak pada awal bulan Jun yang lalu.

Majlis penyerahan sumbangan #SSMPrihatin ini telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Kawal Selia dan Penguatkuasaan) SSM, YBrs. Tuan Khuzairi bin Yahaya yang turut bersama-sama mendekati dan menyelami kehidupan sebenar sambil mengagihkan peruntukan CSR SSM sebanyak RM300 kepada 52 buah keluarga Suku Batek, Kuala Koh, Gua Musang.

Dalam ucapannya, Tuan Khuzairi menyifatkan kes kematian mendadak dalam jumlah yang ramai adalah sesuatu amat tragis dan dianggap sebagai sejarah hitam bukan sahaja bagi masyarakat Orang Asli di sini, tetapi juga seluruh rakyat Malaysia tentang kepentingan memelihara dan mengekalkan persekitaran yang bersih dan selamat.

Tambahnya lagi, sebagai sebuah Agensi Penguatkuasaan dan Kawal Selia Sektor Korporat di negara ini, SSM tidak pernah meminggirkan soal Tanggugjawab Sosial Korporat (CSR) dan bersedia memberikan bantuan kepada pihak yang memerlukan. Pada tahun 2018 sahaja, SSM telah membelanjakan sebanyak RM2.8 juta peruntukan CSR untuk membantu pihak yang memerlukan di seluruh negara.

Turut bersama-sama menjayakan Program Sumbangan CSR #SSMPrihatin membantu keluarga Orang Asli Suku Batek, Gua Musang, Encik Hashim bin Alang Abdul Hamid, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Kelantan dan Terengganu dan Encik Ab Razak bin Isa, Pengarah SSM Negeri Kelantan.


DIKELUARKAN OLEH : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM) 
TARIKH : 21 OGOS 2019
8/21/2019Berita201921/08/2019
148
  

​Khamis, 1 Ogos 2019 – Seorang pengurus, Nodeson A/L Kandasamy telah dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah (1) Temerloh, Pahang dengan dua pertuduhan di bawah seksyen 125(1) Akta Syarikat 1965 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 5 tahun atau denda tidak melebihi RM100,0000 atau kedua-duanya sekali dan seksyen 364(2) Akta Syarikat 1965 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM250,0000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan kertas-kertas pertuduhan, tertuduh dikatakan telah memalsukan status kebankrapannya dalam Borang 48A bertarikh 13 Julai 2015, iaitu satu dokumen yang diserahsimpan kepada Pendaftar di bawah seksyen 308(1) Akta Syarikat 1965. Pemalsuan status kebankrapan tersebut menyebabkan tertuduh bertindak sebagai pengurus syarikat dari tahun 2014 hingga 2017 dengan menandatangani ruangan Statutory Declaration bagi orang yang bertanggungjawab atas pengurusan kewangan syarikat. Hasil siasatan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati perbuatan tertuduh telah melanggar Akta Syarikat 1965.

Tertuduh telah mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya. Hakim Tuan Azuar bin Che Yusof telah menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 bagi kesalahan di bawah seksyen 125(1) dan RM6,000 bagi kesalahan di bawah seksyen 364(2) dan menetapkan 4 September 2019 untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen oleh pihak pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa SSM, Rashidi Shamuddin. Manakala tertuduh telah diwakili oleh peguam Ameerul Radzi.

SSM ingin memberi peringatan kepada orang awam bahawa kesalahan seperti ini adalah sangat serius kerana ia menjejaskan integriti maklumat yang disimpan di SSM. Tindakan perundangan akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran peruntukan undang-undang di bawah Akta yang dikawalselia oleh SSM.


DIKELUARKAN OLEH : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA 
TARIKH : 1 OGOS 2019
8/1/2019Berita201901/08/2019
147
  

Isnin, 29 Julai 2019: Mohd. Fadzle Bin Arifin, pengarah syarikat Faldze Electrical Engineering Sdn Bhd telah disabitkan dengan kesalahan di bawah seksyen 132(2)(d) Akta Syarikat 1965 (“AS 1965") kerana telah melanggar tugas fidusiari sebagai seorang pengarah dengan cara memindahkan kontrak yang dimiliki oleh syarikat Faldze Electrical Engineering Sdn Bhd kepada syarikat baru milik beliau tanpa mendapat kelulusan syarikat di dalam Mesyuarat Agung.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah menubuhkan syarikat yang baru dan membuat permohonan untuk meneruskan kerja-kerja yang termaktub dalam kontrak tersebut melalui syarikat yang baru ditubuhkan. Siasatan mendapati tertuduh juga telah membuat permohonan untuk mendapatkan lesen daripada Suruhanjaya Tenaga dan CIDB bagi membolehkan syarikat baru beliau memiliki kelayakan menjalankan kerja penyelenggaraan lebuhraya. 
Siasatan yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendapati tertuduh gagal mendapatkan persetujuan pengadu dan seorang pemegang saham yang lain untuk memindahkan kontrak tersebut ke syarikat milik tertuduh.
Mahkamah Sesyen Butterworth pada hari ini telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,000.00 atau 3 bulan penjara sekiranya denda gagal dibayar bagi sabitan selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah dihadapan Y.A Hakim Puan Noor Aini Binti Yusuf.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SSM Nurul Husna Binti Mohd Yusof, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
BERTARIKH: 29 JULAI 2019



7/29/2019Berita201929/07/2019
146
  

​Sungai Buluh, 6 Ogos 2019 – Seramai 46,331 orang pelajar seluruh negara telah memanfaatkan Skim 1 Pelajar 1 Perniagaan (S1P1P) dengan jumlah keseluruhan peruntukan yang telah digunakan sebanyak RM2.9 juta daripada jumlah keseluruhan sebanyak RM10 juta.

Angka ini diumumkan oleh YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di dalam ucapan perasmian 1st Student Entrepreneurship Programme (1st Step) yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Teknik, Latihan dan Vokasional (BPLTV) Kementerian Pendidikan Malaysia bertempat di Kolej Vokasional Sungai Buluh, Selangor hari ini.

Dalam ucapannya, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution turut menyatakan bahawa peruntukan S1P1P masih berbaki sebanyak RM7.1 juta dan menyeru agar para pelajar terus memanfaatkan skim ini sebagai langkah permulaan menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Berucap di hadapan 1000 orang pelajar, beliau menyatakan bahawa penganjuran program merupakan satu langkah proaktif oleh pihak SSM dengan memperkenalkan slogan ‘perniagaan satu kerjaya’ sebagai usaha menarik perhatian para pelajar menceburi bidang perniagaan sebagai kerjaya selepas menamatkan pengajian di dalam bidang teknikal dan vokasional.

Tambah YB Datuk Seri Saifuddin Nasution lagi, sepanjang 7 penganjuran siri jelajah 1st Step pada tahun 2018 dan 4 siri jelajah 1st Step pada tahun 2019, SSM telah merekodkan penyertaan lebih 10,000 orang pelajar daripada Bahagian Teknik dan Vokasional untuk sepanjang penganjurannya. Daripada jumlah tersebut, direkodkan seramai 2,019 orang usahawan baharu yang terdiri daripada para pelajar aliran teknik dan vokasional yang memenuhi syarat pendaftaran perniagaan telah mendaftarkan perniagaan mereka dengan SSM.

Program 1st Step yang dianjurkan pada hari ini merupakan penganjuran terakhir bagi tahun 2019. Penganjurannya adalah rentetan daripada siri jelajah yang telah dilaksanakan di Kolej Vokasional Nibong Tebal, Kolej Vokasional Pengkalan Chepa, Sekolah Menengah Teknik Melaka, dan Kolej Vokasional Port Dickson.

Dengan mengenengahkan budaya ilmu, program ini menyediakan seminar ilmu keusahawanan oleh penceramah terkenal, perkongsian pengalaman bersama selebriti usahawan berjaya, seminar memulakan perniagaan, taklimat agensi, serta turut menyediakan 30 buah gerai jualan dan pameran untuk memberikan ruang kepada para pelajar menjalankan perniagaan disamping mendapatkan maklumat mengenai bantuan yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan untuk para usahawan.

Selain itu, SSM turut menganjurkan business pitching yang disertai oleh 5 buah kumpulan mewakili Kolej Vokasional atau Sekolah Menengah Teknik yang telah menjadi juara pada penganjuran 1st Step sebelum ini untuk bersaing pada peringkat akhir bagi merebut hadiah wang tunai sebanyak RM6,000 bagi tempat pertama yang dimenangi oleh KV Dato’ Undang Haji Muhammad Sharip, Rembau, Negeri Sembilan Tempat kedua RM4,000 dimenangi oleh KV Datuk Seri Abu Zahar Isnin, Melaka  dan Tempat ketiga RM2,000 dimenangi oleh KV Tanah Merah, Kelantan. 

Pada program yang sama, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut mengagihkan zakat korporat dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SSM berjumlah RM28,000 kepada para pelajar yang memerlukan. Dari jumlah tersebut, peruntukan zakat sebanyak RM22,000 diagihkan kepada 100 orang pelajar fakir dan miskin yang beragama Islam daripada KV Sungai Buluh dan KV Sultan Abdul Samad, Banting sebanyak RM200 setiap seorang dan bakinya sebanyak RM2000 akan diberikan kepada Surau Al-Taqwa, Kolej Vokasional Sungai Buluh. Manakala, peruntukan CSR sebanyak RM6,000 diagihkan kepada 30 orang pelajar yang bukan beragama Islam sebanyak RM200 setiap orang.

Turut hadir memeriahkan program ini, YBhg. Datuk Muez bin Abd Aziz, Ketua Setiausaha KPDNHEP merangkap Pengerusi SSM, YBhg. Dato’ Haji Haidzir Bin Hussin, Timbalan Pengarah Pengoperasian Sekolah BPLTV, YBrs. Puan Nor Azimah Abdul Aziz, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan Korporat) SSM dan YBrs. Encik Ahmad bin Abdul Razak Pengarah Kolej Vokasional Sungai Buloh.

DIKELUARKAN OLEH : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM) 
TARIKH : 6 OGOS 2019



8/6/2019Berita201906/08/2019
145
  

Petaling Jaya, 23 Julai 2019 – Sehingga 21 Julai 2019, sebanyak 122 notis kompaun yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah menikmati inisiatif pengurangan kompaun secara automatik dengan nilai kompaun sebelum diskaun sebanyak RM377,800.00.

 

Inisiatif pengurangan kompaun secara automatik ini mula diperkenalkan oleh SSM pada 1 Julai 2019 lalu. Sejak diperkenalkan, sebanyak 122 kompaun yang ditawarkan bagi kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965 dan Akta Syarikat 2016 telah memperoleh diskaun di antara 30% hingga 85% dengan nilai pengurangan sebanyak RM278,365.00.

 

Kenyataan ini diumumkan oleh YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ketika merasmikan Persidangan Kebangsaan SSM 2019 (SSMNC2019) yang diadakan di Sunway Pyramid Convention Centre bermula hari ini.

 

Menurut Datuk Seri Saifuddin Nasution, SSM melaksanakan kaedah pengurangan kadar kompaun secara automatik sebagai langkah untuk memudahkan pihak-pihak yang telah ditawarkan kompaun oleh SSM untuk menyelesaikan kompaun tersebut dalam tempoh yang ditetapkan disamping dapat menikmati penjimatan kompaun yang diberikan.

 

Tambahnya lagi, pendekatan ini juga bertujuan memberi dorongan kepada komuniti korporat dalam mematuhi peruntukan Akta Syarikat 1965 dan Akta Syarikat 2016 dan memberi kelebihan kepada komuniti korporat untuk                         

menikmati kadar pengurangan kompaun yang lebih tinggi tanpa perlu mengemukakan rayuan pengurangan. 

 

Mekanisma dan kadar pengurangan kompaun secara automatik ini adalah seperti jadual berikut:

 

Tempoh Pembayaran Dari Tarikh KompaunKadar Pengurangan Dari Nilai Asal Kompaun
1 hingga 40 hari85%
41 hingga 60 hari75%
61 hingga 90 hari60%
91 hingga 180 hari30%

 

SSM selaku pengawal selia korporat bertanggungjawab bagi memastikan tahap pematuhan peruntukan Akta Syarikat yang tinggi di kalangan warga komuniti korporat di Malaysia memandangkan pengurusan tadbir urus korporat yang baik dapat menjamin kesinambungan operasi serta kewujudan sesebuah syarikat.

 

SSM sentiasa memantau aspek pematuhan yang merupakan perkara penting dalam memastikan integriti maklumat korporat yang disimpan di SSM. Terutamanya, berhubung kemaskini maklumat melalui serahsimpan Penyata Tahunan dan Penyata Kewangan yang diwajibkan oleh perundangan yang ditadbir oleh SSM. Kewajipan pematuhan ini adalah bagi memastikan maklumat yang disimpan oleh SSM adalah maklumat terkini yang boleh diakses oleh pihak awam terutamanya komuniti korporat dalam membantu membuat keputusan bagi pelbagai transaksi perniagaan yang dikendalikan oleh syarikat-syarikat di negara ini.

 

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut menyarankan agar komuniti korporat di Malaysia mengambil peluang ini untuk menjelaskan kompaun dengan segera bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan.

 

Bayaran kompaun boleh dilakukan di mana-mana kaunter Pejabat SSM di seluruh Malaysia. Sebarang pertanyaan berkaitan perkara di atas boleh dirujuk kepada Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000/03-22995334, emel ar_compliance@ssm.com.my  atau laman sesawang SSM di www.ssm.com.my.

 

Turut hadir memeriahkan SSMNC2019 adalah YB Tuan Chong Chieng Jen, Timbalan Menteri KPDNHEP, YBhg. Datuk Muez bin Abd Aziz, Ketua Setiausaha KPDNHEP merangkap Pengerusi SSM, YBrs. Puan Azimah bt Abdul Aziz, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan Korporat) merangkap      M.K Ketua Pegawai Eksekutif SSM, serta YBrs. Encik Muhamad Faris bin Othman, Pengarah Bahagian Akademi Latihan dan Pengurusan Pengetahuan SSM.

 

DIKELUARKAN OLEH : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA

TARIKH : 23 JULAI 2019​


7/23/2019Berita201923/07/2019
144
  

Petaling Jaya, 23 Julai 2019 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melancarkan buat julung kalinya Pelan Induk  Skim Kepentingan sempena penganjuran Persidangan Kebangsaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia 2019 (SSMNC2019) selama dua (2) hari bermula bermula 23 hingga 24 Julai 2019 bertempat di Sunway Pyramid Convention Centre, Petaling Jaya.

 

Pelancaran Pelan Induk  Skim Kepentingan yang disempurnakan oleh YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada hari ini bertujuan untuk menetapkan hala tuju  hadapan, menggariskan langkah-langkah dan strategi pelaksanaan yang mampan dan bersepadu bagi mengembangkan industri skim kepentingan di negara ini.

 

YB Datuk Seri Saifuddin Nasution di dalam ucapannya turut menyatakan bahawa SSM menyedari bahawa aktiviti ekonomi ini berpotensi besar untuk membantu pertumbuhan ekonomi Negara dan mengambil langkah proaktif untuk membangunkan  Pelan Induk atau “Blue Print" bagi industri Skim Kepentingan yang ditadbir oleh SSM di bawah Akta Skim Kepentingan 2016 yang telah berkuatkuasa pada 31 Januari 2017.

 

Datuk Seri Saifuddin Nasution turut mengumumkan nilai dan potensi yang digariskan di dalam Pelan Induk Skim Kepentingan antaranya:-


  • Pembiayaan Alternatif – Skim kepentingan menjadi kaedah dan solusi pembiayaan yang inovatif dan fleksibel untuk “ Perusahaan Kecil dan Sederhana" (atau dikenali sebagai 'PKS');

  • Mengambil peluang dari inovasi gaya hidup – menawarkan skim kepentingan yang seiring dengan perkembangan trend-trend gaya hidup semasa, contohnya, rekreasi dan kembara kesihatan & kesejahteraan, sukan rekreasi dan gaya hidup lepas persaraan;

  • Membangunkan industri sokongan – skim kepentingan mempergiatkan aktiviti industri sokongan seperti perantara pasaran yang mana dapat dikembang, diinovasi dan dimodenkan;

  • Kelas aset alternatif – meningkatkan potensi aset yang kurang produktif untuk  menjana pendapatan perniagaan;
  • Membantu pertumbuhan ekonomi negara dengan mengoptimakan skim kepentingan dalam menyalurkan pelbagai peluang dan sumbangan kepada ekonomi nasional; dan
     
  • Menjana kemakmuran bersama yang mana semua pihak berkepentingan berpeluang mencapai matlamat masing-masing melalui landasan yang sama.

 

Tambahnya lagi, hampir semua sektor ekonomi boleh menggunakan landasan skim kepentingan untuk menjana pendapatan perniagaan atau mendapatkan sumber modal, dana atau pembiayaan alternatif bagi tujuan menjalankan aktiviti perniagaan bagi menjana ekonomi negara.

 

Turut hadir bersama-sama menjayakan perasmian SSMNC 2019 dan pelancaran Pelan Induk Skim Kepentingan, YB Tuan Chong Chieng Jen, Timbalan Menteri KPDNHEP, YBhg. Datuk Muez bin Abd Aziz, Ketua Setiausaha KPDNHEP merangkap Pengerusi SSM, YBrs. Puan Azimah bt Abdul Aziz, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan Korporat) merangkap M.K                  


Ketua Pegawai Eksekutif SSM, dan YBrs. Encik Muhamad Faris bin Othman, Pengarah Bahagian Akademi Latihan dan Pengurusan Pengetahuan SSM.

​ 

DIKELUARKAN OLEH : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM)

TARIKH : 23 JULAI 2019


7/23/2019Berita201923/07/2019
143
  

Petaling Jaya, 23 Julai 2019 – Lebih 1000 orang ahli komuniti perniagaan dan korporat menyertai Persidangan Kebangsaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia 2019 (SSMNC2019) yang dianjurkan buat kali ke-9 sejak mula diperkenalkan pada tahun 2011.


Persidangan selama dua (2) hari bermula 23 hingga 24 Julai 2019 dianjurkan dengan mengenengahkan tema 'Future-Proofing Business In The Digital Age' dan dirasmikan oleh YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bertempat di Sunway Pyramid Convention Centre, Petaling Jaya.


Menurut Datuk Seri Saifuddin Nasution, penganjuran persidangan ini dikategorikan sebagai salah satu agenda tahunan SSM untuk berinteraksi secara langsung dengan pihak-pihak berkepentingan seperti pengamal sektor korporat serta komuniti perniagaan yang terdapat di Malaysia iaitu Lembaga Pengarah, setiausaha syarikat, sektor korporat, pengamal undang-undang, usahawan, ahli akademik dan pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan.


Tambahnya lagi, persidangan kali ini memberikan fokus kepada perubahan landskap perniagaan serta cabaran terhadap perubahan digital pada masa kini di mana teknologi memainkan peranan yang amat besar dalam arus informasi, proses globalisasi serta ekonomi.


Justeru, pemilihan tema 'Future-Proofing Business In The Digital Age' dipilih untuk membolehkan entiti perniagaan khususnya lembaga pengarah syarikat memahami pelbagai cabaran dalam era digital sebagai persiapan untuk menghadapi perubahan pada masa hadapan.


Objektif penganjuran kali ini juga lebih bersifat holistik dan menyentuh impak perubahan serta isu-isu korporat semasa dan akan datang yang berkait dengan landskap perniagaan berasaskan teknologi digital disamping persediaan menghadapai sebarang kemungkinan hasil dari kepesatan teknologi dan multimedia.


Persidangan ini juga turut menampilkan pakar-pakar dalam bidang berkaitan terdiri daripada pengamal-pengamal sektor korporat yang terulung serta ketua-ketua agensi korporat kerajaan dan swasta.


Turut bersama memeriahkan majlis perasmian SSMNC2019, YB Tuan Chong Chieng Jen, Timbalan Menteri KPDNHEP, YBhg. Datuk Muez bin Abd Aziz, Ketua Setiausaha KPDNHEP merangkap Pengerusi SSM, YBrs. Puan Azimah bt Abdul Aziz, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan Korporat) merangkap M.K Ketua Pegawai Eksekutif SSM, serta YBrs. Encik Muhamad Farris bin Othman, Pengarah Bahagian Akademi Latihan dan Pengurusan Pengetahuan SSM. 


DIKELUARKAN OLEH : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM)

TARIKH : 23 JULAI 2019​



7/23/2019Berita201923/07/2019
142
  

Alor Setar, 02 Julai 2019 Satu serbuan telah dijalankan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terhadap sebuah firma setiausaha syarikat yang terletak di Alor Setar, Kedah.

Firma setiausaha syarikat ini diserbu berikutan daripada siasatan awal yang telah dijalankan ke atas aduan yang mendakwa tandatangan juruaudit telah dipalsukan ke atas 105 penyata kewangan yang belum diaudit. Siasatan dijalankan bagi kesalahan di bawah Seksyen 364(2) Akta Syarikat 1965 dan Seksyen 591(2) Akta Syarikat 2016.

Hasil daripada aktiviti serbuan tersebut, SSM telah menyita dokumen-dokumen syarikat yang disiasat, dan sebuah telefon bimbit milik suspek. Rakaman percakapan suspek serta tiga orang pekerja syarikat tersebut juga telah diambil semasa serbuan dilaksanakan.

Mereka yang didapati bersalah oleh Mahkamah di bawah peruntukan di atas boleh dijatuhkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada tiga juta Ringgit atau kedua-duanya. Manakala bagi kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara Sepuluh tahun  atau didenda Dua Ratus Lima Puluh Ribu Ringgit.

SSM memandang serius kesalahan membuat pernyataan-penyataan palsu dan mengelirukan di dalam dokumen-dokumen berkanun syarikat terutamanya penyata kewangan syarikat kerana ianya memberi kesan yang besar kepada status dan kredibiliti sesebuah syarikat

Sebarang keterangan lanjut sila layari laman sesawang www.ssm.com.my atau pusat panggilan SSM di talian 03-77214000.

 

DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM)

TARIKH: 02 Julai 2019


7/2/2019Berita201902/07/2019
141
  

Kuala Lumpur, 29 Jun 2019 - Bermula 1 Julai 2019, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan melaksanakan kaedah pengurangan kadar kompaun secara automatik sebagai langkah untuk memudahkan penyelesaian kompaun dalam tempoh yang ditetapkan.

Pendekatan ini bertujuan memberi dorongan kepada komuniti korporat dalam mematuhi peruntukan Akta Syarikat 1965 dan Akta Syarikat 2016 dan memberi kelebihan kepada komuniti korporat untuk menikmati kadar pengurangan kompaun yang lebih tinggi tanpa perlu mengemukakan rayuan pengurangan. 

Mekanisma dan kadar pengurangan kompaun secara automatik ini adalah seperti jadual berikut:

 

Tempoh Pembayaran Dari Tarikh Kompaun

Kadar Pengurangan Dari Nilai Asal Kompaun

1 hingga 40 hari85%
41 hingga 60 hari
75%
61 hingga 90 hari60%
91 hingga 180 hari30%

 

Pengurangan kompaun secara automatik akan diberikan kepada kompaun-kompaun yang ditawarkan bagi kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965 dan Akta Syarikat 2016, kecuali:-

  • Kompaun bagi Penyelesaian Luar Mahkamah atau Kertas Siasatan yang dikeluarkan oleh Bahagian Pendakwaan & Litigasi serta Pejabat Negeri / Cawangan;
  • Kompaun yang telah luput tetapi dijana semula untuk proses bayaran; dan
  • Kompaun yang telah diberi pengurangan melalui proses rayuan sebelum ini.

Tawaran pengurangan kompaun secara automatik ini adalah tertakluk kepada Seksyen 38A(1) Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia 2001. Apabila tindakan mahkamah telah diambil, semua rayuan tidak akan dilayan.

SSM selaku pengawal selia korporat bertanggungjawab bagi memastikan tahap pematuhan peruntukan Akta Syarikat yang tinggi di kalangan warga komuniti korporat di Malaysia memandangkan pengurusan tadbir urus korporat yang baik dapat menjamin kesinambungan operasi serta kewujudan sesebuah syarikat.

SSM sentiasa memantau aspek pematuhan yang merupakan perkara penting dalam memastikan integriti maklumat korporat yang disimpan di SSM. Terutamanya, berhubung kemaskini maklumat melalui serahsimpan Penyata Tahunan dan Penyata Kewangan yang diwajibkan oleh perundangan yang ditadbir oleh SSM. Kewajipan pematuhan ini adalah bagi memastikan maklumat yang disimpan oleh SSM adalah maklumat terkini yang boleh diakses oleh pihak awam terutamanya komuniti korporat bagi membantu pembuatan keputusan bagi pelbagai transaksi perniagaan yang dikendalikan oleh syarikat di negara ini.

SSM ingin menyarankan agar warga komuniti korporat di Malaysia mengambil peluang ini untuk menjelaskan kompaun bagi mengelakkan sebarang tindakan mahkamah. Selepas tindakan mahkamah diambil, tiada sebarang rayuan akan dilayan.

Pengumuman pengurangan kadar kompaun secara automatik ini telah dibuat oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail pada 25 Jun lepas, semasa perhimpunan bulanan kementeriannya.

Untuk makluman, bayaran kompaun boleh dibuat di mana-mana kaunter Pejabat SSM di seluruh Malaysia.

Sebarang pertanyaan berkaitan perkara di atas boleh dirujuk kepada Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000/03-22995334, emel ar_compliance@ssm.com.my  atau laman sesawang SSM di www.ssm.com.my.


DIKELUARKAN OLEH : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
TARIKH : 29 JUN 2019​


6/29/2019Berita201929/06/2019
140
  

Kuala Lumpur, 29 Jun 2019 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bakal menganjurkan persidangan kebangsaan tahunannya atau SSM National Conference (SSMNC) di Sunway Pyramid Convention Centre.

Persidangan bertemakan ''Future-Proofing Business In The Digital Age' ini akan dianjurkan selama dua hari iaitu pada 23 dan 24 Julai 2019.

Setiap tahun, persidangan ini telah berjaya menyatukan lebih 700 peserta yang terdiri daripada setiausaha syarikat, sektor korporat, pengamal undang-undang, golongan usahawan dan pihak-pihak berkepentingan terhadap sektor korporat di Malaysia, di bawah satu bumbung.

Bagi persidangan kali ini, ia memberikan fokus kepada perubahan landskap perniagaan serta cabaran terhadap perubahan digital pada masa kini di mana teknologi memainkan peranan yang amat besar dalam arus informasi, proses globalisasi serta ekonomi.

Objektif penganjuran kali ini juga lebih bersifat holistik dan menyentuh impak perubahan serta isu-isu korporat semasa dan akan datang yang berkait dengan lanskap perniagaan berasaskan teknologi digital di samping persediaan menghadapi sebarang kemungkinan hasil dari kepesatan teknologi dan multimedia. ​

SSMNC akan dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail dan beliau telah membuat pengumuman rasmi mengenai SSMNC pada 25 Jun lepas, semasa perhimpunan bulanan kementeriannya.​


6/29/2019Berita201929/06/2019
139
  

Isnin, 24 Jun 2019: Seorang individu, Teoh Hoon Lin, telah disabitkan dengan dua kesalahan kerana memberi alamat palsu kepada SSM di bawah Seksyen 12(1)(d) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh telah memberi alamat palsu kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi perniagaan Richway Green Venture (dan bagi pertuduhan kedua, tertuduh memberi alamat palsu bagi perniagaan Relax Green Enterprise.

Tertuduh diwakili oleh peguam, Wan Muhd Ariff Ameer bin Wan Normazlan  telah mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadap beliau.

Hakim, Puan Norhayati binti Mohamad Yunus telah menjatuhkan hukuman denda RM3000, jika gagal bayar tiga bulan penjara bagi pertuduhan pertama dan denda RM2000, jika gagal bayar tiga bulan penjara bagi pertuduhan kedua. Tertuduh telah menjelaskan denda bagi kedua-dua kesalahan tersebut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Abdul Hadi bin Abdul Muti dan dibantu oleh Pegawai Penyiasat, Mohamad Amirul Aizat bin Mohamad Amin.

SSM memberi peringatan kepada orang awam bahawa pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia memandang berat kesalahan yang serius ini kerana ia menjejaskan kredibiliti dan integriti maklumat yang disimpan oleh SSM. Tindakan perundangan akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran peruntukan undang-undang di bawah Akta dan Peraturan yang dikawalselia oleh SSM.

SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
BERTARIKH: 24 Jun 2019​


6/24/2019Berita201924/06/2019
138
  
Jumaat, 31 Mei 2019 - Seorang akauntan, Chew Hwee Len, 47 tahun dan seorang juruaudit, Lim Kai Siang, 56 tahun telah dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di bawah kesalahan Seksyen 364 (2) Akta Syarikat 1965 (Akta 125) kerana telah membuat satu pernyataan palsu berhubung dengan pemindahan saham Mohammad Zamani Bin Ab. Aziz di dalam syarikat QE Manufacturing (M) Sdn Bhd.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh telah bersubahat dengan Bala Muraly A/L Supermaniam  bagi mencapai niat bersama, telah memberi pernyataan palsu berkenaan butir-butir yang material di dalam Borang 32A bertarikh 31 Disember 2014. Dokumen tersebut ialah satu dokumen yang dikehendaki di bawah seksyen 103(1) Akta Syarikat 1965, yang mana pernyataan palsu tersebut adalah berhubung dengan pemindahan saham Mohammad Zamani Bin Ab. Aziz di dalam syarikat QE Manufacturing (M) Sdn Bhd yang mana beliau mengetahui bahawa pemindahan saham tersebut adalah palsu dan kesalahan tersebut adalah dilakukan akibat persubahatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kanan SSM, Encik Faizal Mahdi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam telah mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan dihadapan beliau. Hakim Tuan Aizatul Akmal bin Maharani menetapkan tarikh 24 Jun 2019 untuk sebutan semula kes dan bagi serahan dokumen oleh pihak pendakwaan dan tempoh masa lantikan peguam oleh tertuduh.

SSM ingin memberi peringatan kepada orang awam bahawa kesalahan seperti ini adalah sangat serius kerana ianya menjejaskan kredibiliti dan integriti maklumat yang disimpan. Tindakan perundangan akan diambil sekiranya berlaku perlanggaran peruntukan undang-undang dibawah akta yang dikawalselia oleh SSM.

SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
BERTARIKH : 31 Mei 2019


5/31/2019Berita201931/05/2019
137
  
Jumaat, 31 Mei 2019 – Pengarah syarikat Warisan Naning Sdn. Bhd., Mustapa bin Naning, telah dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah (2) Georgetown, Pulau Pinang dengan satu pertuduhan di bawah seksyen 198(1)(a) Akta Syarikat 2016 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 5 tahun atau denda tidak melebihi RM1,000,000, jika sabit kesalahan.

Tertuduh dikatakan telah memegang jawatan sebagai pengarah syarikat Warisan Naning Sdn. Bhd., di mana pada masa material,  tertuduh merupakan seorang bankrap yang belum dilepaskan dan tiada mendapat kebenaran Mahkamah untuk memegang jawatan tersebut. Tertuduh mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan kepada beliau. 

Hakim Mahkamah Sesyen Tuan Mazdi bin Abdul Hamid telah menetapkan tarikh 14.6.2019 untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen oleh pihak pendakwaan.

Pendakwaan telah dikendalikan oleh pegawai pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Amir Sharifuddin bin Hashim. Manakala, tertuduh diwakili oleh peguam Subash Hassan bin Aboo Haniffa.

SSM ingin mengingatkan orang ramai bahawa tindakan perundangan akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran peruntukan undang-undang di bawah Akta yang dikawalselia oleh SSM.

SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
BERTARIKH : 31 Mei 2019



5/31/2019Berita201931/05/2019
136
  
Jumaat, 31 Mei 2019 – Seorang bekas Pengarah yang berstatus bankrap telah dituduh di Mahkamah Sesyen kerana bertindak sebagai Pengarah bagi sebuah syarikat Berhad Menurut Jaminan diantara 15 Ogos 2017 hingga 
24 Mac 2018.Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di mana beliau secara langsung telah mengambil bahagian dalam urusan syarikat tersebut sedangkan seksyen 198(1) Akta Syarikat 2016 melarang mana-mana individu berstatus bankrap yang masih belum dilepaskan daripada bertindak sebagai pengarah bagi sesebuah syarikat tanpa memperolehi kebenaran daripada pihak mahkamah.

Pengakuan tidak bersalah tersebut dibuat selepas pertuduhan dibacakan terhadap beliau di hadapan Hakim, Tuan Mohammed Mokhzani Bin Mokhtar. Seksyen 198 memperuntukan hukuman penjara tidak melebihi 5 tahun atau denda tidak melebihi RM 1,000,000.00 atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa daripada SSM iaitu Nurul Husna Mohd Yusof manakala tertuduh tidak diwakili peguam
Hakim menetapkan 03 Julai 2019 untuk sebutan semula kes.

BERTARIKH : 31 Mei 2019



5/31/2019Berita201931/05/2019
Previous31 - 60Next
MYGOVERNMENT
KPDNHEP myGoverment
Agensi-agensi lain di bawah KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN KOS SARA HIDUP
SSM MyIPO MyCC