AKTA 614
AKTA SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA 2001
BAHAGIAN IV - PERUNTUKAN BERHUBUNG DENGAN PEKERJA


Seksyen 21. Mengambil kerja pekerja Kerajaan.

(1) Suruhanjaya hendaklah, pada tarikh yang ditetapkan, menerima ke dalam penggajiannya tiap-tiap orang yang sebaik sebelum tarikh itu berada dalam penggajian pejabat Pendaftar Syarikat dan Pendaftar Perniagaan dan yang telah diberi pilihan oleh Kerajaan Malaysia dan telah memilih untuk berkhidmat sebagai pekerja Suruhanjaya.

(2) Tiap-tiap orang sedemikian yang memilih di bawah subseksyen (1) untuk berkhidmat sebagai pekerja Suruhanjaya hendak- lah diambil kerja oleh Suruhanjaya atas terma dan syarat perkhidmatan yang tidak kurang baiknya daripada terma dan syarat perkhidmatan yang kepadanya dia berhak sebaik sebelum tarikh yang ditetapkan.

(3) Sehingga terma dan syarat perkhidmatan pekerjanya ditentukan oleh Suruhanjaya, skim dan terma dan syarat perkhidmatan pekerja Kerajaan hendaklah terus terpakai bagi tiap-tiap orang yang diambil kerja oleh Suruhanjaya di bawah subseksyen (1).

(4) Menteri boleh melalui perintah membuat apa-apa ubahsuaian yang perlu kepada skim dan terma dan syarat yang disebut dalam subseksyen (3) bagi maksud menghapuskan kesulitan yang berbangkit daripada peruntukan subseksyen itu.


Copyright © 2006 PNMB-LawNet. All rights reserved.