AKTA 614 AKTA SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA 2001 BAHAGIAN III - FUNGSI DAN KUASA SURUHANJAYA
Seksyen 18. Kuasa Suruhanjaya.
(1) Suruhanjaya hendaklah mempunyai kuasa untuk melakukan segala yang perlu atau suai manfaat bagi atau berkaitan dengan perlaksanaan fungsi-fungsinya.
(2) Tanpa menjejaskan keluasan subseksyen (1), kuasa Suruhanjaya hendaklah termasuk kuasa—
(a) untuk menggunakan segala harta Suruhanjaya, alih dan tak alih, mengikut apa-apa cara yang didapati suai manfaat oleh Suruhanjaya termasuk mendapatkan pinjaman dengan menggadaijanjikan harta itu;
(b) untuk mengenakan fi atau caj bagi perkhidmatan yang diberikan oleh Suruhanjaya sebagaimana yang ditetapkan oleh Menteri melalui peraturan-peraturan yang dibuat di bawah seksyen 40;
(c) untuk melantik ejen, pakar atau perunding sebagaimana yang didapatinya patut untuk membantu Suruhanjaya dalam menjalankan fungsi-fungsinya;
(d) untuk memberikan pinjaman kepada pekerja Suruhanjaya bagi apa-apa maksud yang diluluskan oleh Menteri;
(e) untuk merumuskan dan melaksanakan pembangunan sumber manusia dan rancangan pembiayaan dan kerjasama bagi pelaksanaan fungsi-fungsinya dengan sepatutnya dan berkesan;
(f) untuk bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan perbadanan atau agensi kerajaan bagi maksud melaksanakan fungsi-fungsi Suruhanjaya; dan
(g) untuk melakukan apa-apa jua yang bersampingan dengan mana-mana fungsi dan kuasanya.
(3) Suruhanjaya hendaklah mempunyai segala kuasa yang perlu bagi atau yang berkaitan dengan, atau yang dengan semunasabahnya bersampingan dengan, pelaksanaan fungsi-fungsinya di bawah undang-undang yang dinyatakan dalam Jadual Pertama.
(4) Bagi mengelakkan keraguan diisytiharkan bahawa kuasa Suruhanjaya tidaklah termasuk kuasa Ketua Pegawai Eksekutif sebagaimana yang diperuntukkan dalam undang-undang yang dinyatakan dalam Jadual Pertama.