AKTA 614 AKTA SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA 2001 BAHAGIAN III - FUNGSI DAN KUASA SURUHANJAYA
Seksyen 17. Fungsi Suruhanjaya.
Fungsi Suruhanjaya adalah—
(a) untuk memastikan bahawa peruntukan-peruntukan Akta ini dan undang-undang yang dinyatakan dalam Jadual Pertama ditadbirkan, dikuatkuasakan, diberi kuat kuasa, dijalankan dan dipatuhi;
(b) untuk bertindak sebagai ejen Kerajaan dan untuk mengadakan perkhidmatan mentadbirkan, memungut dan menguatkuasakan pembayaran fi yang ditetapkan atau apa-apa caj lain di bawah undang-undang yang dinyatakan dalam Jadual Pertama;
(c) untuk mengawal selia perkara yang berhubungan dengan perbadanan, syarikat dan perniagaan berhubung dengan undang-undang yang dinyatakan dalam Jadual Pertama;
(d) untuk mendorong dan menggalakkan tatalaku yang sepatutnya di kalangan pengarah, setiausaha, pengurus dan pegawai lain sesuatu perbadanan, dan pengawalseliaan diri oleh perbadanan, syarikat, perniagaan, kumpulan perindustrian dan badan ikhtisas dalam sektor korporat demi untuk memastikan bahawa segala kegiatan korporat dan perniagaan dijalankan mengikut norma-norma yang telah mantap mengenai pentadbiran korporat yang baik;
(e) untuk meningkatkan dan menggalakkan pembekalan maklumat korporat di bawah mana-mana undang-undang yang dinyatakan dalam Jadual Pertama dan untuk mewujudkan dan membangunkan suatu kemudahan yang dengannya apa-apa maklumat korporat yang diterima oleh, atau yang difailkan dengan atau yang dikemukakan kepada, Suruhanjaya dapat dianalisa dan dibekalkan kepada orang ramai;
(f) untuk menjalankan penyelidikan dan mengkomisikan kajian mengenai apa-apa perkara yang berhubungan dengan kegiatan korporat dan perniagaan;
(g) untuk menasihati Menteri secara am mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan perbadanan, syarikat dan perniagaan berhubung dengan undang-undang yang dinyatakan dalam Jadual Pertama; dan
(h) untuk menjalankan segala kegiatan dan melakukan segala perkara yang perlu atau bermanfaat dan patut bagi pentadbiran Suruhanjaya, atau bagi apa-apa maksud lain sebagaimana yang diarahkan oleh Menteri.