AKTA 614 AKTA SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA 2001 BAHAGIAN I - PERMULAAN
Seksyen 2. Tafsiran.
Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—
"Akta ini" termasuklah apa-apa perundangan subsidiari yang dibuat di bawah Akta ini;
"anggota" ertinya anggota Suruhanjaya dan termasuklah Pengerusi;
"hak" ertinya segala hak, kuasa, keistimewaan dan kekebalan, sama ada yang sebenar, kontingen atau dijangka;
"harta" termasuklah segala harta, alih dan tak alih, dan segala hak harta, kepentingan, isemen atau hak, sama ada dari segi ekuiti atau di sisi undang-undang mengenai, kepada atau daripada harta, hak dalam tindakan, wang dan nama baik;
"jawatankuasa" ertinya mana-mana jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Suruhanjaya di bawah seksyen 19;
"Ketua Pegawai Eksekutif" ertinya Ketua Pegawai Eksekutif yang dilantik di bawah seksyen 11;
"Kumpulan Wang" ertinya Kumpulan Wang yang ditubuhkan di bawah seksyen 28;
"liabiliti" ertinya tiap-tiap jenis liabiliti, hutang, tanggungan, kewajipan dan obligasi sama ada pada masa kini atau pada masa hadapan, yang sebenar atau kontingen, dan sama ada yang kena dibayar atau dipatuhi atau dilaksanakan di Malaysia atau di tempat lain;
"Menteri" ertinya Menteri yang pada masa ini dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pendaftaran syarikat, syarikat amanah dan perniagaan;
"Pendaftar Perniagaan" ertinya Pendaftar Perniagaan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 [Akta 197];
"Pendaftar Syarikat" ertinya Pendaftar Syarikat di bawah Akta Syarikat 1965 [Akta 125];
"Pengerusi" ertinya Pengerusi yang dilantik di bawah seksyen 6;
"perbadanan" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Akta Syarikat 1965;
"perniagaan" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Akta Pendaftaran Perniagaan 1956;
"Suruhanjaya" ertinya Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang ditubuhkan di bawah seksyen 3;
"syarikat" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Akta Syarikat 1965;
"tarikh letak hak" ertinya tarikh harta, hak dan liabiliti yang ditentukan oleh Menteri dalam perintah di bawah subseksyen 4(1), yang kepadanya Kerajaan Malaysia, Pendaftar Syarikat dan Pendaftar Perniagaan berhak atau tertakluk, berpindah kepada dan terletak hak pada Suruhanjaya;
"tarikh yang ditetapkan" ertinya tarikh Akta ini mula berkuat kuasa;
"terletak hak", berhubung dengan harta, termasuklah mempunyai hak mengenai harta pada masa hadapan atau yang kontingen dan hak perkembalian dan baki.