PANDUAN PEMERBADANAN SYARIKAT TEMPATAN

PERBADANAN SYARIKAT DI MALAYSIA

Terdapat dua jenis syarikat yang boleh diperbadanankan di bawah Akta Syarikat 1965 (AS 65) iaitu:

  1. Syarikat berhad dengan saham
  2. Syarikat tidak terhad

1. SYARIKAT BERHAD DENGAN SAHAM

Syarikat berhad dengan syer boleh diperbadankan sebagai syarikat persendirian (mempunyai perkataan ‘Sendirian Berhad’ atau ‘Sdn. Bhd.’ pada nama syarikat) atau syarikat awam (mempunyai perkataan ‘Berhad’ atau ‘Bhd’ pada nama syarikat). Keperluan untuk memperbadankan syarikat ialah:

(i) Sekurang-kurangnya dua pengasas kepada syer syarikat (seksyen 14 AS);
(ii) Sekurang-kurangnya dua pengarah (seksyen 122); dan
(iii) Setiausaha syarikat sama ada :

  • Individu yang merupakan ahli badan professional yang telah ditetapkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; atau
  • Individu yang dilesenkan oleh SSM.

Kedua-dua pengarah dan setiausaha syarikat mestilah mempunyai tempat bermastautin utama atau satu-satunya tempat tinggal utama di Malaysia.

A. PROSEDUR PEMERBADANAN

1. Permohonan Carian Nama Syarikat

Permohonan carian nama syarikat mesti dibuat bagi menentukan sama ada nama yang dicadangkan boleh digunakan. Rujuk kepada Warta Kerajaan Bil. 716 bertarikh 30 Januari 1997, Warta (Pindaan) bertarikh 11 Oktober 2001, Garis panduan menamakan syarikat dan Panduan Permohonan Nama Syarikat. Langkah-langkah yang perlu diambil ialah:
(i) Melengkapkan dan menyerahkan Borang 13A (Permohonan Carian Nama Syarikat) kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia; dan
(ii) Bayaran sebanyak RM30.00 untuk setiap nama yang dipohon.

Sekiranya nama yang dicadangkan diluluskan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia, ianya akan direzab selama tiga bulan dari tarikh kelulusan.

2. Serahsimpan Dokumen Pemerbadanan

Dokumen pemerbadanan (seperti yang diterangkan di Bahagian B di bawah) hendaklah diserahsimpan kepada SSM dalam masa 3 bulan dari tarikh kelulusan nama syarikat dari SSM. Sekiranya gagal berbuat demikian, permohonan nama syarikat yang baru mestilah dibuat. (Langkah-langkah (i) dan (ii) di atas hendaklah diulang).

B. DOKUMEN PEMERBADANAN YANG PERLU DISERAHSIMPAN DENGAN SSM

1. Memorandum dan Artikel

  • Salinan asal Memorandum dan Artikel hendaklah setiap satu disetemkan sebanyak RM100.00. Setem boleh dimatikan di mana-mana pejabat setem Lembaga Hasil Dalam Negeri.
  • Pengarah dan setiausaha syarikat pertama hendaklah dinamakan dalam Memorandum   dan Artikel.
  • Memorandum dan Artikel hendaklah ditandatangani oleh pengasas syer syarikat di hadapan seorang saksi.
  • Kandungan A Jadual Ke Empat AS 65 boleh diterimapakai sebagai artikel syarikat. (Seksyen 30 AS).

*Nota: Untuk memperbadankan syarikat persendirian, artikel syarikat mestilah mengandungi pernyataan-pernyataan berikut:

(i) Sekatan terhadap pemindahan hakmilik syer;
(ii) Sekatan terhadap bilangan ahli iaitu tidak melebihi lima puluh;
(iii) Larangan terhadap sebarang bentuk pelawaan kepada orang awam untuk membeli apa-apa syer atau debentur syarikat; dan
(iv) Larangan terhadap sebarang bentuk pelawaan kepada orang awam untuk mendepositkan wang dengan syarikat.

2. Borang 48A (Akuan Berkanun Sebelum Dilantik Menjadi Pengarah Atau Pengasas Syarikat)

Pengarah atau promoter membuat perisytiharaan bersumpah bahawa:

  • beliau tidak bankrap; dan
  • beliau tidak pernah disabitkan dan dipenjarakan atas kesalahan-kesalahan yang ditetapkan.

3. Borang 6 (Akuan Pematuhan)

Akuan ini menyatakan semua keperluan AS 65 telah dipatuhi. Ia mesti ditandatangani oleh setiausaha syarikat yang bertanggungjawab atas pendaftaran dan dinamakan di dalam Memorandum dan Artikel.

4. Dokumen Tambahan:

  • Borang 13A yang asal.
  • Salinan surat kelulusan nama syarikat dari SSM.
  • Salinan kad pengenalan setiap pengarah dan setiausaha  syarikat.

C. FI PENDAFTARAN

Setiap permohonan pemerbadanan perlu disertakan dengan bayaran seperti jadual berikut:

MODAL DIBENARKAN (RM) FI (RM)
Sehingga 400,000 1,000
400,001 – 500,000 3,000
500,001 – 1 juta 5,000
1,000,001 – 5 juta 8,000
5,000,001 – 10 juta 10,000
10,000,001 – 25 juta 20,000
25,000,001 – 50 juta 40,000
50,000,001 – 100 juta 50,000
100,000,001 ke atas 70,00

D. SIJIL PEMERBADANAN

Sijil Pemerbadanan akan dikeluarkan oleh SSM apabila dokumen yang telah dimajukan adalah sempurna dan mematuhi prosedur yang ditetapkan.

 

2. SYARIKAT TIDAK TERHAD
Prosedur pendaftaran syarikat tidak terhad adalah sama seperti syarikat berhad menurut syer. Perbezaan antara syarikat berhad dan syarikat tidak berhad ialah liabiliti ahli dinyatakan sebagai tidak terhad di dalam Memorandum.

 

Selepas diperbadankan, syarikat terlebih dahulu dinasihatkan untuk mendapatkan lesen/permit/kebenaran daripada pihak berkuasa yang berkenaan sebelum menjalankan perniagaan yang dinyatakan di dalam Memorandum.