SSM PEROLEHI SABITAN TERHADAP PENGURUS SYARIKAT KERANA GAGAL MEMATUHI NOTIS DI BAWAH SEKSYEN 7D(1) AKTA SYARIKAT 1965

PULAU PINANG – Seorang pengurus sebuah syarikat telah disabitkan dengan kesalahan terhadap satu pertuduhan iaitu tanpa alasan yang munasabah telah gagal untuk hadir bagi rakaman percakapan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Pejabat Negeri Pulau Pinang pada 11 Oktober 2016. 

Berdasarkan kertas pertuduhan, Tan Boon Leong (‘tertuduh’) tanpa alasan yang munasabah telah gagal untuk hadir di hadapan Pendaftar Syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Pejabat Negeri Pulau Pinang, Tingkat 6-7, Bangunan KWSP, No. 3009, Off Leboh Tenggiri 2, Bandar Seberang Jaya, 13700 Pulau Pinang bagi tujuan pemeriksaan secara lisan sebagaimana yang dikehendaki di bawah seksyen 7D(1) Akta Syarikat 1965 (Akta 125) bertarikh 11 Oktober 2016.

Tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya yang dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Puan Noraini binti Yusof pada 15 Disember di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang.

Kesalahan di bawah seksyen 7D(5)(a) Akta Syarikat 1965 memperuntukkan hukuman penjara selama 5 tahun atau denda maksimum RM30,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ketika mitigasi, tertuduh yang diwakili oleh peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK, telah memohon hukuman yang ringan dengan alasan bahawa tertuduh sudah tidak bekerja dan pengakuan bersalah tertuduh telah menjimatkan masa dan kos Mahkamah. 

Mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM 3,000 dan jika gagal bayar 3 bulan penjara.

SSM memandang berat kesalahan yang serius ini kerana ia melibatkan kelancaran proses penyiasatan yang melibatkan kepentingan awam. Oleh itu, sabitan ini merupakan peringatan kepada orang awam bahawa tindakan pendakwaan akan diambil sekiranya berlakunya kesalahan di bawah peruntukan undang-undang yang dikawalselia oleh SSM.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa SSM, Muhammad Idzwan bin Ishak manakala tertuduh diwakili peguam dari YBGK.

DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA   
BERTARIKH : 18 DISEMBER 2017