YBhg. Dato’ Saripuddin bin Kasim telah dilantik sebagai Pengerusi SSM pada 16 Januari 2012. Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) daripada Universiti Malaya, dan juga Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan Korporat) daripada University of Hartford di Connecticut, Amerika Syarikat. Beliau memulakan kerjaya pada tahun 1982 sebagai Penolong Pengarah di Unit Pemindahan Teknologi di Kementerian Perdagangan dan Industri. Beliau kemudiannya telah berkhidmat di pelbagai kementerian dan jabatan, seperti Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Dato’ Saripuddin juga pernah ditempatkan di Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, Jepun sebagai Penasihat Kedutaan dan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, United Kingdom sebagai Atase (Pendidikan dan Latihan). Beliau merupakan Ketua Pengarah di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri sebelum dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada 26 Disember 2011.
Dato’ Saripuddin merupakan Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia. Beliau juga pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Amanah Raya Trustees Berhad, Amanah Raya Hartanah Sdn. Bhd. dan Amanah Raya Berhad.


YBhg. Datuk Idrus bin Harun telah dilantik sebagai Anggota Suruhanjaya pada April 2002. Beliau memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Undang-Undang pada tahun 1980 dan selepas itu telah berkhidmat dalam pelbagai jawatan penting termasuk Penolong Kanan Pendaftar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hakim Mahkamah Sesyen di Kota Kinabalu, Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara, Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Terengganu, Peguam Kanan Persekutuan di Badan Pencegah Rasuah dan Penasihat Undang-Undang Suruhanjaya Pilihanraya. Beliau merupakan Pendaftar Syarikat pada tahun 1998 sehingga 2002. Beliau meneruskan perkhidmatannya di Jabatan Peguam Negara sebagai Ketua Bahagian Penasihat dan Antarabangsa dan sebagai Penggubal Undang-Undang Parlimen sebelum memegang jawatan terkini sebagai Peguamcara Negara.
YB Datuk Hj. Sapawi bin Hj. Ahmad telah dilantik sebagai Anggota Suruhanjaya berkuatkuasa pada 20 Julai 2009. Beliau berkelulusan Sarjana Muda Sastera (Sejarah) (Kepujian) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia. Sebelum penglibatan dalam bidang politik, Datuk Hj. Sapawi telah berkhidmat dalam bidang pendidikan selama hampir 20 tahun sebelum dilantik sebagai Pengarah Biro Tatanegara (Cawangan Sabah). Beliau juga merupakan Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah serta Pengerusi Majlis Bahasa dan Sastera Sabah.
Dr. Aishah binti Bidin telah dilantik sebagai Anggota Suruhanjaya mulai 1 Januari 2011. Beliau adalah seorang Profesor Undang-Undang Korporat dan Insolvensi dan sekarang ini merupakan Dekan Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia. Bidang pengkhususan beliau adalah undang-undang syarikat dan kewangan korporat, regulasi sekuriti, bankrupsi dan insolvensi. Beliau mula mengajar undang-undang syarikat dan perkongsian bermula pada tahun 1989, dan antara bidang lain yang menjadi tumpuan beliau adalah regulasi alam sekitar dan korporat.
YBhg. Datuk Jason Lau Beng Wei telah dilantik sebagai Anggota Suruhanjaya pada 16 Januari 2012. Beliau adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Kejuruteraan Elektrikal daripada Universiti Teknologi Malaysia, dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Perniagaan Antarabangsa) daripada Universiti Putra Malaysia. Beliau merupakan seorang ahli perniagaan yang telah berkecimpung dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan, pembinaan, pelombongan arang, teknologi maklumat, telekomunikasi dan banyak lagi.
YBhg. Datuk Wira Syed Ali bin Syed Abbas Alhabshee telah dilantik sebagai Anggota Suruhanjaya pada 16 Januari 2012. Beliau merupakan pemegang Diploma in Leadership and Management daripada New Zealand Institute of Management, New Zealand. Datuk Wira Syed Ali merupakan Pengerusi Tanjong Offshore Berhad dan UZMA Berhad. Beliau juga merupakan Pengerusi Composite Technology Research Malaysia Sdn. Bhd., sebuah syarikat berkaitan kerajaan. Di samping itu, beliau juga telah dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah Tourism Malaysia. Datuk Wira Syed Ali merupakan Ketua UMNO Bahagian Cheras.
En. Mohd Naim Daruwish berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang Undang (Kepujian) daripada Universiti Malaya. Kerjaya beliau bermula pada April 1984 sebagai Pegawai Undang-Undang di Bank Pertanian Malaysia sebelum dilantik sebagai Majistret pada tahun 1985 dan seterusnya sebagai Majistret Kanan.







