Share

Kod Etika Pengarah Syarikat

A.  PENGENALAN
Malaysia semakin bergantung kepada sektor swasta bagi pertumbuhan yang berkekalan dalam aktiviti perdagangan dan perniagaan serta pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh, lebih-lebih lagi dengan perkembangan ekonomi yang baik dan penswastaan operasi-operasi perkhidmatan pos, telekomuni-kasi, penjanaan kuasa dan sistem pembetungan negara mendedahkan laporan dan akaun syarikat kepada penelitian yang sangat mendalam.

 

Suasana perniagaan dan undang-undang berterusan menjadi lebih kompleks dan ini telah mengenakan suatu tuntutan yang lebih bagi kecekapan yang munasabah di kalangan pengarah-pengarah syarikat. Adalah penting wujudnya suatu tahap kecekapan tingkah laku perlakuan korporat yang mempunyai tahap profesionalisme dan kebolehpercayaan untuk mendukung integriti korporat yang baik.

 

Pengalaman dalam negara telah mendedahkan secara kritikal keperluan merumuskan standard perlakuan korporat untuk mewujudkan suatu suasana korporat yang beretika. 

 

B.  PRINSIP
Prinsip yang ke atasnya kod ini didasarkan adalah prinsip-prinsip yang berkaitan dengan ketelusan, integriti, kebertanggungjawaban dan tanggungjawab sosial korporat.

 

C.  TUJUAN

Kod Etika ini dirumuskan untuk rneningkatkan standard pentadbiran korporat dan tingkah laku korporat dengan maksud mencapai tujuan berikut:

1. Untuk mewujudkan standard tingkah laku etika bagi pengarah berdasarkan kepercayaan dan nilai yang boleh diterima, yang dipegang atau didukung oleh seseorang.

2. Untuk mendukung semangat tanggungjawab dan kebertanggungjawaban sosial sejajar dengan perundangan, peraturan dan garis panduan yang mentadbir sesuatu syarikat.

 

D.  TAKRIF
Dalam konteks kod ini, seseorang pengarah syarikat ertinya mana-mana orang yang memegang jawatan pengarah sesuatu perbadanan dengan nama apa juga disebut, dan termasuklah seseorang mengikut arahan dan petunjuknya pengarah sesuatu perbadanan pada lazimnya bertindak, dan seorang pengarah silih atau gantian. Seorang pengarah juga termasuk kedua-dua pengarah eksekutif dan bukan eksekutif dan juga pengerusi eksekutif dan bukan eksekutif.

E.  KOD KELAKUAN
Pada melaksanakan kewajipannya, seorang pengarah hendaklah pada setiap masa mematuhi kod yang berikut:

1. Pentadbiran Korporat

1.1 Hendaklah mempunyai kefahaman yang jelas tentang matlamat dan tujuan, keupayaan dan kapasiti syarikat;

1.2 Hendaklah menumpukan masa dan usaha untuk menghadiri mesyuarat dan untuk mengetahui apa yang dikehendaki daripada lembaga dan setiap pengarahnya, dan untuk menunaikan fungsi-fungsi itu;

1.3 Hendaklah memastikan pada setiap masa bahawa syarikat diuruskan dengan sepatutnya dan dikawal dengan berkesan;

1.4 Hendaklah mengikut perkembangan hal ehwal syarikat dan dimaklumkan tentang pematuhan syarikat akan perundangan yang relevan dan kehendak kontrak;

1.5 Hendaklah bertegas supaya dimaklumkan tentang segala yang penting kepada syarikat supaya pengurusan korporat menjadi berkesan;

1.6 Hendaklah menghadkan dirinya menjadi pengarah syarikat kepada suatu bilangan yang dia boleh menumpukan dengan sebaiknya, masanya dan keberkesanannya; setiap pengarah menjadi hakimnya sendiri tentang keupayaannya dan bagaimana sebaiknya menguruskan masanya secara berkesan dalam syarikat yang dalamnya dia menjadi pengarah;

1.7 Hendaklah mempunyai akses kepada nasihat dan perkhidmatan setiausaha syarikat yang bertanggungjawab kepada lembaga untuk memastikan prosedur, kaedah dan peraturan yang sepatutnya dipatuhi;

1.8 Hendaklah  pada setiap masa  melaksanakan kuasanya bagi  maksud yang ia diberikan demi faedah dan kejayaan syarikat;

1.9 Hendaklah menzahirkan dengan serta merta segala kepentingan kontrak samada secara langsung atau secara tidak langsung dengan syarikat;

1.10 Hendaklah tidak mengalihkan untuk manfaatnya sendiri apa-apa peluang perniagaan yang sedang diusahakan o!eh syarikat, atau boleh digunakan olehnya maklumat sulit yang diperolehi oleh sebab jawatannya untuk manfaatnya sendiri atau orang lain,

1.11 Hendaklah pada setiap masa bertindak dengan suci hati sesungguhnya kepada syarikat dalam apa-apa transaksi dan bertindak dengan jujur dan bertanggungjawab pada melaksanakan kuasanya dalam menunaikan kewajipannya; dan

1.12 Hendaklah sedia memberi keputusan yang bebas dan jika perlu, secara terang menentang jika kepentingan syarikat menghadapi risiko.

1.13 Hubungan dengan Pemegang Syer, Pekerja, Pemiutang dan Pelanggan

1.13.1 Hendaklah peka dengan kepentingan pemegang syer, pekerja, pemiutang dan pelanggan syarikat;

1.13.2 Hendaklah  pada  bila-bila  masa menggalakkan tahap profesionalisme dan meningkatkan kecekapan pengurusan dan pekerja; dan

1.13.3 Hendaklah memastikan langkah-Iangkah keselamatan yang mencukupi dan menyediakan perlindungan sepatutnya kepada pekerja di tempat kerja.

1.14 Tanggungjawab Sosial dan Alam Sekitar

1.14.1 Hendaklah memastikan bahawa langkah-langkah yang perlu diambil mengikut undang undang untuk menggulung atau memotongkan daftar syarikat jika syarikat itu tidak memulakan perniagaan atau telah terhenti daripada rnenjalankan perniagaan dan tidak mungkin akan memulakan perniagaan di masa akan datang atau menjalankan semula perniagaan mengikut mana-mana yang berkenaan;

1.14.2 Hendaklah mengamalkan sikap objektif dan positif dan memberi kerjasama erat demi kebaikan bersama apabila berurusan dengan pihak berkuasa kerajaan atau badan yang mengawal selia;

1.14.3 Hendaklah memastikan penggunaan sumber alam secara berkesan, dan memperbaiki kualiti hidup dengan menggalakkan tanggungjawab sosial korporat;

1.14.4 Hendaklah lebih proaktif kepada keperluan masyarakat dan memberi bantuan dalam program-program kemasyarakatan selaras dengan aspirasi konsep ‘Masyarakat Penyayang’ dalam Wawasan 2020; dan

1.14.5 Hendaklah  memastikan agar  aktiviti-aktiviti dan  operasi svarikat tidak memudaratkan masyarakat keseluruhan serta membantu untuk memerangi inflasi.