powered by FreeFind
 
Site Map | FAQ Carian Nama/E-INFO | Hubungi Kami E-Aduan
 
 
Visi & Misi
Objektif Strategik
Nilai-nilai Korporat
Fungsi & Kuasa
Anggota Suruhanjaya
Struktur Organisasi
 
 

Dato' Mohd. Zain memulakan kerjaya dalam perkhidmatan diplomatik pada tahun 1976. Antara jawatan yang pernah disandangnya ialah sebagai Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Perdagangan Antarabangsa dan juga Penolong Wakil Tetap Malaysia ke Geneva serta Timbalan Wakil Tetap ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Geneva (Bahagian Perdagangan Antarabangsa). Jawatan penting lain yang dipegang termasuklah Penasihat Menteri bagi Hal Ehwal Ekonomi di Pejabat Wakil Tetap Malaysia ke Kesatuan Eropah (EU), Brussels dan Pejabat Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Geneva.

 

Beliau juga merupakan Perunding Utama bagi rundingan-rundingan Perjanjian Zon Bebas (FTA) Malaysia-Australia, FTA Malaysia-New Zealand serta FTA ASEAN-Australia-New Zealand pada tahun 2005 dan 2006.

 

Dato' Mohd. Zain telah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada 6 Februari 2007 setelah Dato’ Seri Talaat Hj. Husain bersara pada 27 Januari 2007. Beliau dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada 1 Mac 2007.

 
 

Encik Abdul Karim memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara pada 1983. Beliau pernah memegang beberapa jawatan kanan termasuk Peguam Kanan Persekutuan di Jabatan Hasil Dalam Negeri (sekarang dikenali sebagai Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia), Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara di Pulau Pinang dan Perlis serta Hakim Mahkamah Sesyen di Kota Kinabalu, Kuala Lumpur dan Melaka.

 

Encik Abdul Karim merupakan Ketua Unit Rayuan di Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara pada hujung tahun 2000. Setahun selepas itu, beliau dilantik sebagai Pengarah Bahagian Penguatkuasaan di Suruhanjaya Sekuriti, dan kemudiannya sebagai Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan di Badan Pencegah Rasuah mulai 1 Mei 2004 sehingga 31 Oktober 2005. Beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada 1 November 2005. Encik Abdul Karim juga adalah ahli lembaga pengarah Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan (LOFSA), ahli Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) dan ahli Yayasan Laporan Kewangan.

 
 

Dato’ Idrus Harun memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Undang- Undang pada tahun 1980. Antara tahun 1980 dan 1997, beliau memegang pelbagai jawatan penting termasuk Penolong Penggubal Undang-Undang Parlimen, Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Presiden/Hakim Mahkamah Sesyen di Kota Kinabalu, Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara, Penasihat Undang- Undang Negeri Terengganu, Peguam Kanan Suruhanjaya Pilihanraya Kuala Lumpur, dan Peguam Kanan Persekutuan di Badan Pencegah Rasuah.

 

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Ketua Bahagian Penasihat dan Antarabangsa di Jabatan Peguam Negara pada tahun 1997. Di antara tahun 1998 dan 2002, beliau merupakan Pendaftar Syarikat. Dato’ Idrus kemudiannya berkhidmat di Jabatan Peguam Negara sebagai Ketua Bahagian Penasihat dan Antarabangsa, dan seterusnya Ketua Bahagian Penasihat sebelum dilantik ke jawatan sekarang sebagai Penggubal Undang-Undang Parlimen pada 1 September 2004. Beliau juga merupakan ahli Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan (LOFSA), Jawatankuasa Kewangan Peringkat Tinggi Tadbir Urus Korporat, Suruhanjaya Sekuriti, Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC), Yayasan Laporan Kewangan (FIC), Tribunal Tuntutan Pengguna dan Lembaga Kerjasama Malaysia Thailand (MTJA).

 

Berkuatkuasa 27 April 2006, beliau dilantik sebagai Peguam Cara Negara.

 
 
 

Puan Zaiton adalah fellow Association of Chartered Certified Accountants, United Kingdom dan ahli Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA). Beliau pernah berkhidmat sebagai juruaudit di Pricewaterhouse sebelum menyertai Bank Pembangunan (M) Berhad. Beliau kemudian berkhidmat dengan Maybank selama 12 tahun dan jawatan terakhir yang disandang ialah Pengurus Besar Bahagian Perancangan Korporat sebelum menjadi Presiden Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC) pada tahun 1996. Beliau meninggalkan MARC pada September 2004 dan sekarang merupakan Pengarah Urusan Capital Intelligence Advisors Sdn Bhd.

 

Beliau merupakan ahli lembaga pengarah Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, ahli Jawatankuasa Pelaburan Amanah Saham Nasional (ASN), ASN 2, ASN 3 Imbang dan Amanah Saham Gemilang. Beliau juga merupakan Pengarah beberapa syarikat tersenarai iaitu Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), Mesiniaga Berhad, Amanah Millenia Fund Berhad dan BIMB Holdings Berhad.

 
 

Tuan Hj. Abdillah adalah seorang pegawai Polis Di Raja Malaysia sebelum melanjutkan pelajarannya ke United Kingdom. Beliau bertugas sebagai Inspektor Polis daripada tahun 1975 hingga 1979 selepas menamatkan pengajiannya di Kolej Polis Kuala Kubu Bahru. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Eksekutif Undang-Undang di Kota Kinabalu dan Tawau, Sabah.

 

Tuan Hj. Abdillah menyertai arena politik pada tahun 1983, bertanding dalam pilihanraya parlimen dan memenangi kerusi Dewan Rakyat pada tahun yang sama. Pada tahun 1984, beliau telah dilantik oleh DYMM Yang di Pertuan Agong pada ketika itu sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar, di bawah Tan Sri Dato’ Seri Sanusi Junid dan kemudiannya Tun Ghaffar Baba yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu.

 

Beliau memiliki pengalaman luas dalam bidang hubungan antarabangsa dan telah menjalankan penyelidikan dan analisis yang ditaja oleh Asia Foundation, iaitu membandingkan majlis perundangan Amerika Syarikat dengan majlis perundangan di negara-negara ASEAN.

 
 

Y.B. Razali Ibrahim telah dilantik sebagai Anggota Suruhanjaya Syarikat Malaysia berkuatkuasa dari 1 April 2006. Beliau lulus dalam bidang undang-undang sebagai graduan LLB (Hons.) dalam tahun 1994 dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Pengalaman kerja beliau termasuk berkhidmat sebagai Pembantu Undang-Undang di Messrs. Lee Hishamuddin (Advocates & Solicitors). Beliau juga merupakan pengarah dalam beberapa syarikat antaranya SP Setia Bhd. sehinggalah beliau meletakkan jawatan pada 1999. Kemudiannya Y.B. telah dilantik sebagai Setiausaha Sulit kepada Menteri Belia & Sukan, Malaysia sehingga Mac 2004.

 

Sebagai seorang yang amat aktif berpolitik, YB Razali adalah merupakan Ahli Parlimen Muar, Johor dan kini beliau memegang jawatan Ketua Pemuda Umno Johor. Beliau juga telah menubuhkan sebuah firma guaman Messrs. Gideon Tan Razali Zaini (Advocates & Solicitors).

 
 

Puan Siti Halimah binti Ismail telah dilantik sebagai Anggota Suruhanjaya pada 1 Jun 2006. Beliau berkelulusan dalam bidang ekonomi daripada Universiti Malaya dan memiliki Diploma Pentadbiran Awam daripada Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). Beliau juga merupakan pemegang Ijazah Sarjana Sains dalam bidang demografi daripada London School of Economics.

 

Puan Siti Halimah memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam pada tahun 1981 di Unit Perancangan Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri. Beliau telah berkhidmat di Bahagian Analisa Cukai di Perbendaharaan Malaysia dari tahun 1991 hingga sekarang.

 

Beliau sekarang ialah Timbalan Kanan Setiausaha di Bahagian Analisa Cukai Kementerian Kewangan Malaysia dan merupakan Ahli Lembaga Pengarah di Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM).

 
 

Encik Idris Abdullah telah dilantik sebagai Anggota Suruhanjaya Syarikat Malaysia berkuatkuasa 16 April 2007. Beliau memiliki Ijazah Kelas pertama LLB (Kepujian) daripada Universiti Malaya dan telah memulakan kerjaya pada tahun 1981 sebagai peguam di Ting and Company Advocates yang bertempat di Sibu, Sarawak. Daripada tahun 1982 hingga 1985, beliau bertugas sebagai Penasihat Undang-undang kepada beberapa buah syarikat yang beroperasi di Sarawak dalam pelbagai bidang seperti pembangunan hartanah, pembalakan, hospitaliti, pemborongan dan perdagangan runcit.

 

Encik Idris Abdullah juga pernah menjadi Pengarah kepada beberapa syarikat Bumiputera di Sibu, Sarawak yang terlibat dalam perniagaan import dan jualan kenderaan, pembekalan makanan ke sekolah berasrama dan perdagangan am. Daripada Oktober 2002 hingga September 2005, beliau menjadi Pengarah dan juga Pengerusi Kuantan Flourmills Bhd., iaitu sebuah syarikat yang disenaraikan di Papan Kedua Bursa Malaysia.

 

Kini, Encik Idris Abdullah merupakan Rakan Kongsi Kanan di Idris and Company Advocates. Beliau juga seorang penasihat kepada beberapa buah syarikat  yang bertempat di Sarawak yang terlibat dalam pelbagai sektor seperti pembinaan, perdagangan jentera, kelab rekreasi dan juga pendidikan.