SSM PEROLEHI SABITAN TERHADAP PENGARAH SYARIKAT FIRMA PENGURUSAN PERNIAGAAN KERANA MEMBERI MAKLUMAT PALSU MELALUI PERKHIDMATAN E-LODGEMENT SSM

Jumaat, 21 Julai 2017: Seorang  pengarah syarikat firma pengurusan perniagaan, Koh Thong Siang (“OKS”), telah disabitkan dengan kesalahan di bawah seksyen 12(1)(d) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (“APP 1956”) kerana telah memberi maklumat palsu kepada Pendaftar berkait dengan pendaftaran perniagaan Chrysant Internet Café (002311768-W), Mitsuyoshi Marketing (002334049-V) dan Grand Silver Stone Enterprise (002336533-A).

Berdasarkan kertas pertuduhan, OKS telah memberi maklumat palsu berhubung pendaftaran pemilik perniagaan tersebut melalui Borang A iaitu borang Pendaftaran Perniagaan yang mana transaksi pendaftaran telah dibuat menggunakan perkhidmatan atas talian e-lodgement SSM.

OKS telah dituduh di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Tuan Harmi Thamri Bin Mohamad @ Shaharudin dan OKS telah membuat pengakuan bersalah bagi tiga pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Kesalahan di bawah seksyen 12(1)(d) APP 1956 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000.00 atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ketika mitigasi, OKS yang tidak diwakili oleh peguam, telah memohon hukuman yang ringan dengan alasan kesalahan ini merupakan kesalahan pertama OKS. Mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM 6,000 jika gagal bayar 2 bulan penjara.

SSM memandang berat kesalahan yang serius ini kerana ia menjejaskan kredibiliti dan integriti maklumat yang disimpan oleh SSM. Oleh itu, sabitan ini merupakan peringatan kepada orang awam bahawa tindakan pendakwaan akan diambil sekiranya berlakunya kesalahan di bawah peruntukan undang-undang yang dikawalselia oleh SSM.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SSM, Tengku Nor Zurairah Tengku Abdul Aziz dan Muhammad Afif Abdullah.

SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
Bertarikh: 21 Julai 2017