SSM LANCARKAN PRODUK TERBARU - SSM BIZTRUST

Kuantan, 20 Julai 2017 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melancarkan produk terbaru iaitu SSM BizTrust dan Program Siaran Langsung Forum Perdana Ehwal Islam yang diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Kuantan, hari ini.

Sesi pelancaran SSM BizTrust ini disempurnakan oleh Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin. SSM BizTrust merupakan satu piawaian yang ditawarkan secara atas talian oleh SSM kepada entiti perniagaan yang menjalankan perniagaan mereka secara dalam talian menerusi portal, website, media sosial dan sebagainya dengan menjual produk, perkhidmatan atau menyediakan informasi kepada pihak awam secara atas talian.

SSM BizTrust menyediakan platform kepada para pengusaha perniagaan online untuk mendapatkan pensijilan BizTrust melalui logo (seal) yang akan dipaparkan di dalam laman web perniagaan mereka. Dengan adanya paparan logo SSM BizTrust di sesebuah laman web, pastinya dapat meningkatkan keyakinan pengguna yang berurusan dengan entiti perniagaan yang menawarkan perkhidmatan atau sekadar berkongsi maklumat di dalam laman web tersebut. 

Peniaga online diberikan pilihan untuk memilih produk SSM BizTrust yang ditawarkan dalam tiga kategori iaitu :

(i)Tahap 1– Mematuhi prinsip dan kriteria Pendaftaran;

(ii)Tahap 2 – Mematuhi prinsip dan kriteria Pendaftaran serta mematuhi kriteria Keselamatan atau Privasi; dan

(iii)Tahap 3 – Mematuhi prinsip dan kriteria Pendaftaran serta mematuhi kriteria Keselamatan dan Privasi.

Fi yang dikenakan ke atas produk SSM BizTrust adalah:

(i)Fi pendaftaran dan pembaharuan untuk tempoh satu tahun:

Tahap 1 – RM 200;

Tahap 2 – RM 1,500; dan

Tahap 3 – RM 2,500.

(ii)Fi Pengenalan selama satu tahun:

Tahap 1 – RM 50;

Tahap 2 – RM 1,000; dan

Tahap 3 – RM 1,700.

Inisiatif SSM memperkenalkan SSM BizTrust ini adalah bertujuan untuk mengekang aktiviti penipuan yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan menawarkan produk atau perkhidmatan secara dalam talian dengan matlamat untuk menipu para pengguna. 

Sementara itu, turut bersiaran secara langsung di lokasi yang sama Majlis Forum Perdana Ehwal Islam di TV1 dengan dihadiri lebih 1000 orang hadirin. Forum yang membincangkan tajuk ‘Saudagar Ekspres’ ini merupakan inisiatif KPDNKK dan dilaksanakan dengan kerjasama UIAM Kampus Kuantan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Selain itu, SSM turut menyampaikan pengagihan Zakat Korporat SSM berjumlah RM30,000.00 kepada enam (6) buah Institusi Pendidikan Agama Islam di negeri Pahang iaitu Pusat Pengajian Tahfiz Ribat Az-Zahra, Maahad Tahfiz Darul Ulum Al-Basriyah, Pusat Pendidikan An-Nuur, Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Izzah, Madrasah Asyraful Madaris, dan Maahad Tahfiz Al-Quran Pengkalan Damar.

DIKELUARKAN OLEH : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM) | TARIKH : 20 JULAI 2017