SSM DAKWA PENGARAH SYARIKAT KERANA BUAT PERNYATAAN PALSU

Selasa, 10 Oktober 2017: Kajendaran a/l Muniandy (tertuduh), pengarah  syarikat  Motif Era Sdn Bhd, Piala Mutiara Sdn Bhd dan Binwan Development Sdn Bhd telah didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah (1) Butterworth, Pulau Pinang atas kesalahan telah membuat pernyataan palsu kepada SSM di bawah seksyen 364(2) Akta Syarikat 1965 (Akta 125) yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM250,0000.00 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa membuat pernyataan palsu di dalam Borang 49 bertarikh 8 Oktober 2014 berhubung peletakan jawatan Vinod Kumar a/l Kajendaran sebagai pengarah dalam  tiga  buah syarikat iaitu Motif Era Sdn Bhd, Piala Mutiara Sdn Bhd dan Binwan Development Sdn Bhd. Tertuduh telah mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah (1), Puan Norhayati Binti Mohamad Yunus. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000.00 dengan seorang penjamin. Kes akan disebut semula pada 8 November 2017.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SSM, Muhammad Afif bin Abdullah manakala tertuduh diwakili oleh V. Sivakumar.

 

SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
Bertarikh : 10 Oktober 2017