SSM DAKWA PENGARAH SYARIKAT GLOBAL FOOD BEVERAGES SDN BHD DI BAWAH SEKSYEN 364(2) AKTA SYARIKAT 1965

KUALA LUMPUR - Pengarah syarikat Global Food Beverages Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen  Jenayah 12 Kuala Lumpur hari ini terhadap satu pertuduhan membuat satu pernyataan palsu berkenaan butir yang material dalam Borang 49 bertarikh 12.02.2015 berkaitan dengan peletakan jawatan Leong Choo Won sebagai pengarah Global Food Beverages Sdn. Bhd. dimana perbuatan yang dilakukan adalah tanpa kebenaran dan pengetahuan beliau.  

Mohammad Hijrah Raj (53 tahun), membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Tuan Wan Mohd Norisham Bin Wan Yaakob.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM 6,000 dengan seorang penjamin. Sekiranya didapati bersalah, tertuduh boleh dihukum penjara 10 tahun atau denda RM250,000.00 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa daripada SSM iaitu Tengku Nor Zurairah Tengku Abdul Aziz manakala Mohammad Hijrah Raj diwakili peguam Saha Deva Arunasalam.

Hakim menetapkan 27.06.2018 untuk sebutan semula kes.

Sebarang pertanyaan berhubung perkara ini bolehlah menghubungi pegawai penyiasat bagi kes ini, Ahmad Farib 03-22995370 @ email ahmadfarib@ssm.com.my.

 

DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM)
TARIKH: 1 JUN 2018