RAYUAN PENGARAH URUSAN KUMPULAN DITOLAK – SABITAN DIKEKALKAN KERANA MELANGGAR TUGAS FIDUSIARI DI BAWAH AKTA SYARIKAT 1965

Selasa, 10 Januari 2017 – Selepas hampir dua tahun merayu, Malim Bin Mohamed, 47 tahun, selaku Pengarah Urusan Kumpulan syarikat Satang Holdings Berhad yang juga merupakan pengarah di syarikat Satang Jaya Sdn Bhd telah pun berakhir apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak rayuannya terhadap sabitan seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini pada 13 Mei 2015.

Pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Malim bagi kesalahan telah menggunakan peluang korporat yang disedarinya semasa beliau menjalankan tugasnya selaku pengarah di Satang Jaya Sdn Bhd apabila beliau memberikan kontrak yang diperolehi daripada Kerajaan Malaysia kepada GSE Engineering Sdn Bhd dan Kobat Engineering Sdn Bhd untuk manfaat dirinya sendiri tanpa sebarang kelulusan di mesyuarat agung yang mana ianya bersalahan dengan seksyen 132(2)(d) Akta Syarikat 1965.

Di mahkamah rendah, Malim turut menghadapi pertuduhan alternative di bawah seksyen 132(2)(c) Akta yang sama iaitu perbuatan menggunakan kedudukannya sebagai pengarah untuk mendapatkan manfaat bagi dirinya sendiri berhubung dengan perkara yang sama sepertimana pertuduhan utama. Di samping itu, Malim juga sedang menghadapi hukuman 6 tahun penjara bagi dua pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan bayaran kontrak daripada Kerajaan Malaysia serta 4 kali sebatan bagi dua pertuduhan pecah amanah jenayah dalam menyalahgunakan wang syarikat.

Pesuruhjaya Kehakiman, Dato’ Nordin Hassan ketika menyampaikan keputusan rayuan menyatakan bahawa dapatan fakta terhadap kebersalahan Malim bagi semua pertuduhan yang dibuat oleh hakim bicara adalah betul dan tidak wajar untuk diganggu oleh Mahkamah Tinggi. Mahkamah Tinggi kemudiannya turut membenarkan permohonan lisan peguambela Malim, Dato’ Sri Jahaberdeen Mohamed Yunoos untuk menggantung pelaksanaan hukuman sementara menanti rayuan lanjut di Mahkamah Rayuan dan mengekalkan nilai jaminan sebanyak RM140,000 dengan seorang penjamin ke atas Malim.

Rayuan kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SSM, Ku Hayati Ku Haron bagi pihak Pendakwa Raya, Malaysia. Keputusan rayuan seumpama ini sebenarnya jelas mencerminkan amaran keras daripada Mahkamah khusus buat pengarah korporat agar tidak terjerumus dalam sebarang bentuk pelanggaran tugas-tugas fidusiari di bawah Akta Syarikat 1965.

SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
10 Januari 2017