PROGRAM KESEDARAN AKTA SYARIKAT 2016 UNTUK MALAYSIA RETAIL CHAIN ASSOCIATION (MRCA) & SME ASSOCIATION OF MALAYSIA

Kuala Lumpur, 11 Mei 2017 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini mengadakan Program Kesedaran Akta Syarikat 2016 kepada Malaysia Retail Chain Association (MRCA) & SME Association of Malaysia bertempat di Auditorium Tun Dr Siti Hasmah, Tingkat 10, Menara SSM@Sentral, KL Sentral.

Objektif program ini diadakan adalah untuk menjadi platform persediaan kepada komuniti perniagaan terutamanya kepada pengusaha kecil dan sederhana memahami transformasi yang berlaku kepada perundangan syarikat dan mampu membawa komuniti perniagaan melangkah lebih jauh. Selain daripada itu, tujuan program ini juga adalah untuk memperkenalkan Akta Syarikat 2016 yang baharu dimana ianya telah dilaksanakan pada 31 Januari yang lepas. Seramai 292 peserta telah mengikuti program pada hari ini.

Menurut statistik terkini sehingga 30 April 2017, jumlah syarikat yang diperbadankan adalah berjumlah 1,218,278 dan ini menunjukkan bidang keusahawanan di Malaysia semakin berkembang. Sejak Akta Syarikat 2016 dilaksanakan, SSM telah menganjurkan lebih daripada 30 program kesedaran Akta Syarikat 2016 di seluruh negara dan berjaya menarik minat lebih daripada 10,000 orang peserta menghadiri sesi-sesi ini. Selain daripada itu, SSM telah menjalankan banyak roadshow, sesi taklimat dan sesi perkongsian ilmu kepada pihak-pihak yang berkepentingan untuk memastikan mereka sedar akan perubahan yang berlaku apabila Akta baharu dilaksanakan.

Program pada hari ini telah disempurnakan oleh YB. Dato’ Seri Hamzah Zainudin, Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta turut dihadiri oleh Dato’ Zahrah Abd Wahab Fenner, Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Puan Valerie Choo Yoke Shiem, Timbalan Presiden Malaysia Retail Chain Association dan Datuk Michael Kang Hua Keong , Presiden Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana.

DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM)
TARIKH: 11 MEI 2017