PENJARA 18 BULAN DAN DENDA RM10,000 DIKENAKAN KE ATAS AHLI PERNIAGAAN KERANA BERI MAKLUMAT PALSU KEPADA SSM

Shah Alam - Rabu, 23 Mei 2017: Seorang ahli perniagaan, Annanithy A/L R Periasamy telah disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(d) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 di Mahkamah Sesyen Shah Alam setelah pihak pendakwaan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Seramai 4 saksi pendakwaan dan 2 saksi pembelaan telah dipanggil sepanjang tempoh perbicaraan dan tertuduh telah memberi keterangan secara bersumpah setelah kes ini dipanggil untuk membela diri di hadapan Hakim, Tuan Zamri bin Bakar. 

Pendakwaan terhadap tertuduh dimulakan pada 24 Februari 2016 dan perbicaraan bermula pada 1 Ogos 2016. Pertuduhan yang dikenakan ke atas tertuduh ialah bagi kesalahan di bawah seksyen 12(1)(d) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956  iaitu telah memberikan maklumat palsu kepada Pendaftar di dalam Borang B iaitu borang Pendaftaran Perubahan Maklumat Perniagaan yang mana maklumat palsu tersebut adalah berkaitan dengan butir matan pengeluaran pemilik perniagaan Sunmarkk Hair Saloon. Pemilik perniagaan yang telah dikeluarkan tersebut adalah merupakan bekas isteri kepada tertuduh sendiri. 

Mahkamah telah mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan telah mensabitkan tertuduh dengan kesalahan yang dipertuduhkan ke atasnya. 

Pihak pendakwaan telah memohon Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara atas alasan–alasan yang dikemukakan di dalam hujahan faktor pemberat hukuman yang antara lainnya ialah kerana perbicaraan kes ini telah memakan masa hampir setahun. Tuan Hakim telah mempertimbangkan hujahan pihak pendakwaan dan menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan dan denda RM10,000 jika gagal bayar 3 bulan penjara.

Pihak pembelaan telah memohon penangguhan pelaksanaan hukuman (stay of execution) sementara kes dirayu ke Mahkamah Tinggi namun permohonan tersebut telah ditolak oleh Mahkamah. 

SSM memandang berat kesalahan yang serius ini kerana ia menjejaskan integriti maklumat yang disimpan oleh SSM. Oleh itu, sabitan ini merupakan peringatan kepada orang ramai bahawa tindakan pendakwaan akan diambil sekiranya berlakunya kesalahan di bawah peruntukan undang-undang yang dikawalselia oleh SSM.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia diwakili oleh Pegawai Pendakwa Kanan Mohd Zulkhairi Kamaruzaman, Lidia Fyrulliza Ishak dan Mohd Iqbal Mohd Yusoff. Manakala, pihak pembelaan pula diwakili oleh R. Prabhakaran.

SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
TARIKH: 24 MEI 2017