PENGARAH SYARIKAT OH HAW LEONG (M) SDN BHD DIKENAKAN HUKUMAN DENDA KERANA MEMBUAT AKUAN PALSU BAGI PEMOTONGAN NAMA SYARIKAT

Isnin, 25 Jun 2018: Pengarah urusan syarikat Oh Haw Leong (M) Sdn Bhd telah disabitkan dengan kesalahan di bawah seksyen 364(2) Akta Syarikat 1965 (“AS 1965”) kerana telah memberi maklumat palsu kepada Pendaftar Syarikat berkait dengan permohonan pemotongan nama syarikat (striking off) di bawah Seksyen 308(1) AS 1965.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah memberi maklumat palsu melalui permohonan pemotongan nama syarikat bertarikh 02.08.2010 yang disertakan dengan Akuan Berkanun tertuduh yang memperakukan bahawa syarikat Oh Haw Leong (M) Sdn Bhd tidak pernah menjalankan sebarang urusan perniagaan sejak ditubuhkan pada 10.03.2009.

Siasatan yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendapati syarikat tersebut mempunyai rekod transaksi perniagaan dan aliran keluar masuk bayaran daripada akaun individu dan perniagaan milik pengadu sepanjang tempoh penubuhan syarikat.

Mahkamah pada hari ini telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM15,000.00 atau 5 bulan penjara sekiranya denda gagal dibayar bagi setiap sabitan pertuduhan selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah dihadapan Y.A Hakim Puan Noor Aini Binti Yusuf.

SSM memandang berat kesalahan yang serius ini kerana ia menjejaskan kredibiliti dan integriti maklumat yang disimpan oleh SSM. Sabitan ini merupakan peringatan kepada orang awam bahawa tindakan pendakwaan akan diambil sekiranya berlakunya kesalahan di bawah peruntukan undang-undang yang dikawalselia oleh SSM.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SSM Nurul Husna Binti Mohd Yusof, manakala tertuduh diwakili peguam Tan Swee Cheng dari Tetuan SC Tan.

DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM)
TARIKH: 25 JUN 2017