PELAKSANAAN TEMPOH MORATORIUM UNTUK PERMOHONAN PEMBATALAN NAMA SYARIKAT DI BAWAH SEKSYEN 550 AKTA SYARIKAT 2016 DAN INSENTIF PENGURANGAN KOMPAUN

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada hari ini mengumumkan pelaksanaan tempoh moratorium bagi permohonan pembatalan nama syarikat yang berstatus dorman yang diperbadankan pada tahun 2002 hingga 2014 di bawah Seksyen 550 Akta Syarikat 2016 dan insentif pengurangan kompaun bermula pada 1 Oktober 2017 sehingga 31 Disember 2017. 

Sejak tahun 2006, SSM telah memperkenalkan tempoh moratorium dari semasa ke semasa untuk memudahkan syarikat-syarikat dorman memohon untuk membatalkan nama syarikat dari daftar SSM dengan  cara yang lebih cepat dan mudah. 

Pengenalan semula tempoh moratorium ini adalah sempena ulang tahun SSM yang ke 15 tahun dan kesinambungan daripada tawaran diskaun bagi penjelasan kompaun syarikat yang bermula pada 17 April 2017 dan berakhir pada 17 Mei 2017.

Pelaksanaan tempoh moratorium ini dijangka dapat meraih faedah-faedah berikut :

  1. Daftar SSM dapat dikemaskini dan adalah lebih realistik untuk meningkatkan kadar pematuhan;
  2. Membolehkan syarikat dorman yang diperbadankan pada 2002 hingga 2014 (berjumlah lebih kurang 67,767) menggunakan peluang ini untuk membatalkan syarikat dengan pengurangan kompaun dari 80% kepada “flat rate” sebanyak RM100.00; dan
  3. Membolehkan proses permohonan menjadi lebih cepat dengan  kelonggaran yang diberi. 

Susulan daripada pengumuman dan pengenalan semula tempoh moratorium ini, SSM juga memperkenalkan garispanduan baharu untuk memudahkan permohonan pembatalan nama syarikat yang menggariskan panduan dan maklumat antara lain seperti berikut :

  • Tempoh moratorium adalah selama tiga (3) bulan iaitu daripada 1 Oktober 2017 hingga 31 Disember 2017 bagi syarikat-syarikat yang diperbadankan pada tahun 2002 hingga 2014;
  • Syarikat dorman yang memenuhi syarat-syarat permohonan yang terkandung di dalam garispanduan tersebut adalah layak memohon;
  • Pemohon tidak perlu mengemukakan resolusi pemegang saham untuk membuktikan bahawa semua pemegang saham tiada halangan terhadap permohonan;
  • Insentif kompaun yang ditawarkan :
    • ‘Flat rate’ RM100.00 untuk setiap kesalahan syarikat; dan/atau
    • ‘Flat rate’ RM100.00 untuk setiap kesalahan Pengarah;
  • Fi permohonan adalah RM100.00 menurut Bilangan 27, Jadual Fi, Peraturan-Peraturan Syarikat 2017; dan
  • Permohonan hendaklah dibuat menggunakan borang yang dilampirkan di dalam garispanduan tersebut yang boleh dimuat turun dari laman sesawang SSM.

SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
1 OKTOBER 2017