MAJLIS SIDANG MEDIA SOFT LAUNCH SSM BIZTRUST

Kuala Lumpur, 25 Mei 2017 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah mengadakan Sidang Media Soft Launch SSM BizTrust bertempat di Menara SSM @ Sentral hari ini.

SSM BizTrust merupakan satu piawaian yang boleh diperolehi oleh entiti perniagaan secara atas talian melalui SSM yang memperakui bahawa entiti tersebut telah mematuhi ciri-ciri amanah yang telah ditetapkan, keselamatan dalam talian dan perlindungan maklumat.

Objektif SSM BizTrust adalah untuk menyediakan platform kepada peniaga atas talian bagi mendapatkan pensijilan trustmark melalui logo (seal) yang akan dipaparkan di dalam laman web perniagaan mereka. Paparan logo ini akan dapat meningkatkan keyakinan para pelanggan yang berurusan dengan peniaga-peniagan atas talian. Penawaran produk ini secara tidak langsung juga dapat membantu mengurangkan kes-kes penipuan transaksi perniagaan atas talian.

Setiap entiti yang menjalankan perniagaan atas talian perlu meyakinkan pengguna dan pelanggan bahawa ianya telah memenuhi ciri-ciri etika yang telah ditetapkan dalam menjalankan perniagaan. Dengan adanya SSM BizTrust, pelanggan/ pengguna berasa lebih yakin untuk menggunakan laman web tersebut dalam membuat transaksi secara atas talian.

SSM BizTrust ini ditawarkan dalam 3 tahap:

Tahap 1  –  mematuhi prinsip dan kriteria pendaftaran;
Tahap 2  –  mematuhi prinsip dan kriteria pendaftaran serta
mematuhi kriteria keselamatan atau privasi; dan
Tahap 3  –  mematuhi prinsip dan kriteria pendaftaran serta
mematuhi kriteria keselamat dan privasi.

Fi yang akan dikenakan adalah seperti berikut:

Fi pendaftaran dan pembaharuan untuk tempoh satu (1) tahun:
Tahap 1 – RM 200.00
Tahap 2 – RM 1,500.00
Tahap 3 – RM 2,500.00

Fi Pengenalan selama satu (1) tahun:
Tahap 1 – RM 50.00
Tahap 2 – RM 100.00
Tahap 3 – RM 1,700.00

Sebarang maklumat lanjut berkenaan produk ini boleh hubungi pusat panggilan SSM di 03-77214000 atau emel enquiry@ssm.com.my. Majlis ini telah disempurnakan oleh Dato’ Zahrah Abdul Wahab Fenner, Ketua Pegawai Eksekutif SSM.

DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM)
TARIKH: 25 MEI 2017