MAJLIS PECAH TANAH PEMBINAAN BANGUNAN SSM PERAK

Ipoh, 25 April 2017 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini mengadakan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Bangunan SSM Perak yang baru dan merupakan bangunan kedua milik SSM selepas Menara SSM@Sentral di Kuala Lumpur. Terletak di Basco Avenue, Sg. Senam, Ipoh, bangunan setinggi 10 tingkat dan dibina atas tanah berkeluasan 17.7 ekar itu dijangka siap dalam tempoh 36 bulan sehingga tahun 2020.

Objektif majlis pecah tanah ini diadakan adalah sebagai gambaran simbolik paparan membanggakan di atas kemerlangan SSM sepanjang 15 tahun kewujudan. Selain daripada itu, ianya juga bertujuan memaparkan manifestasi SSM untuk menjadi Pendaftar Korporat dan Pengawal Selia terulung melalui penyediaan prasarana dan ruang bangunan pejabat terbaik.

Dengan statistik terkini jumlah pendaftaran perniagaan di negeri Perak berjumlah 103,992 dan pemerbadanan syarikat berjumlah 27,533, ini menunjukkan bidang keusahawanan di negeri Perak semakin berkembang. Oleh yang demikian, dengan terbinanya bangunan baru ini, ianya dapat memberikan keselesaan serta perkhidmatan terbaik kepada masyarkat luar terutamanya di negeri Perak.

Majlis pecah tanah telah disempurnakan oleh Y.A.B. Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry B Abd. Kadir, Menteri Besar Perak serta di hadiri oleh YB Dato’ Henry Sum Agong, Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, YBhg. Dato’ Sri Jamil Bin Haji Salleh, Ketua Setiausaha KPDNKK merangkap Pengerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Dato’ Zahrah Abd Wahab Fenner, Ketua Pegawai Eksekutif SSM.

DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM)
TARIKH: 25 APRIL 2017