Karnival Youngpreneurs, Go! di UNIMAS Serta Majlis Penyerahan Zakat Korporat SSM

Kuching 22 April 2017 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah mengadakan Karnival Youngpreneurs, Go! (YPGO) SSM pada 22-24 April 2017 di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Karnival yang diadakan selama dua hari ini merupakan karnival kedua telah diadakan pada tahun ini selepas karnival yang sama diadakan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada Bulan Februari yang lepas.
 
Sebanyak 70 gerai jualan dan 20 pameran daripada agensi kerajaan/syarikat telah dibuka bagi menarik minat orang ramai untuk berkunjung di karnival ini. Selain daripada itu, terdapat sesi perkongsian ilmu bersama usahawan selebriti online iaitu Elfira Loy, Hisham Salleh, Aida Gadis Melayu dan Fizo Omar. Peserta juga akan didedahkan kepada Skim 1Pelajar 1Pendaftaran Perniagaan yang memberi pendaftaran percuma kepada para pelajar. Melalui skim ini, geran sebanyak RM10 juta ringgit diperuntukan selama 10 tahun di mana RM1 juta setahun diperuntukkan bagi membolehkan para pelajar mendaftarkan perniagaan secara percuma. Sehingga 13 April 2017, statistik pelajar yang telah merebut peluang di bawah skim ini adalah sebanyak 8,286 orang. Pelajar perempuan mendominasi peluang ini di mana seramai 4,767 pelajar perempuan telah memohon di bwah skim ini berbanding pelajar lelaki seramai 3,895 orang.

Walaubagaimanapun, Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 yang dikawal oleh SSM terdapat limitasi kepada pnduduk Negeri Sarawak kerana peruntukan akta hanya membenarkan pendaftaran menggunakan alamat di Semenanjung Malaysia sahaja. Bagi membolehkan penduduk Sarawak mendaftarkan perniagaan dengan SSM, SSM telah membentuk kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan Sarawak (MIETI) bagi membangunkan sebuah inkubator beralamat di Cyberjaya, Selangor. Melalui perkhidmatan inkubator ini, penduduk Sarawak boleh mendaftarkan perniagaan dengan SSM setelah menyewa alamat inkubator yang di bawah seliaan MIETI.

Di karnival ini juga turut diadakan sesi Go Healthy SSM seperti pertandingan street soccer, netball, mini games, art sketching, aktiviti Zumba dan fun ride. Terdapat juga persembahan buskers serta kuiz, peraduan dan cabutan bertuah. SSM menawarkan hadiah menarik kepada pengunjung bertuah dan bakal membawa pulang sebuah motosikal keluaran Demak. Karnival YPGO SSM bertujuan menggalakkan golongan pelajar menceburi bidang perniagaan sebagai salah satu kerjaya pilihan serta mempertingkatkan kesedaran berkaitan kewajipan mendaftarkan perniagaan dan pengurusan perniagaan yang baik di kalangan pelajar. Dianggarkan lebih 5000 orang pelajar telah hadir sepanjang program karnival yang berlangsung selama dua hari ini.

Pada masa yang sama, SSM turut melaksanakan Majlis Penyerahan Zakat Korporat SSM dalam membantu golongan yang memerlukan. Sebanyak RM30 Ribu telah diagihkan kepada 100 orang pelajar UNIMAS yang layak bagi membantu meringankan beban mereka.

Turut hadir adalah YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II, Menteri Pembangunan Perindustrian & Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan Sarawak, YB Dato’ Henry Sum Agong, Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, YBhg. Dato’ Sri Jamil Bin Haji Salleh, Ketua Setiausaha KPDNKK merangkap Pengerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta YBhg. Dato’ Zahrah Abd Wahab Fenner, Ketua Pegawai Eksekutif SSM.

SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
22 April 2017