INDIVIDU DIDAKWA KERANA MEMBERI MAKLUMAT PALSU MELALUI PERKHIDMATAN E-LODGEMENT SSM

Isnin, 13 November 2017: Seorang individu , Wong Eu Jin (“OKS”), telah didakwa dengan kesalahan di bawah seksyen 12(1)(d) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (“APP 1956”) kerana telah memberi maklumat palsu kepada Pendaftar berkait dengan pendaftaran perniagaan G Nine Solution (002215539 – X).

Berdasarkan kertas pertuduhan, OKS telah memberi maklumat palsu berhubung pendaftaran pemilik perniagaan tersebut melalui Borang A iaitu borang Pendaftaran Perniagaan yang mana transaksi pendaftaran telah dibuat menggunakan perkhidmatan atas talian e-lodgement SSM.

OKS telah dituduh di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Tuan Wan Mohd Norisham bin Wan Yaakob dan OKS yang tidak diwakili peguam telah mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Kesalahan di bawah seksyen 12(1)(d) APP 1956 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000.00 atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

SSM memandang berat kesalahan yang serius ini kerana ia menjejaskan kredibiliti dan integriti maklumat yang disimpan oleh SSM. Oleh itu, tindakan pendakwaan akan diambil sekiranya berlakunya kesalahan di bawah peruntukan undang-undang yang dikawalselia oleh SSM.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SSM, Abdul Hadi bin Abdul Muti dan Amir Sharifuddin bin Hashim.

 

DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM)
TARIKH: 14 NOVEMBER 2017