BERI MAKLUMAT PALSU KEPADA SSM - PENGARAH URUSAN DIDENDA RM40,000.00

Jumaat, 8 September 2017: Seorang pengarah urusan syarikat berusia 59 tahun, Goh Hee Seng, telah disabitkan dengan dua pertuduhan di bawah seksyen 364(2) Akta Syarikat 1965 (“AS 1965”) kerana telah memberi maklumat palsu kepada Pendaftar Syarikat berkait dengan permohonan pemotongan nama syarikat (striking off) di bawah Seksyen 308(1) AS 1965.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh telah memberi maklumat palsu melalui permohonan pemotongan nama bertarikh 23.03.2011 bagi syarikat Bukit Nilai Development Sdn.Bhd (95650-X) dan Build Through Engineering Sdn.Bhd (620216-P), yang mana kedua-dua permohonan tersebut telah disertakan dengan Akuan Berkanun tertuduh yang memperakukan bahawa kedua-dua syarikat tersebut tidak mempunyai sebarang aset mahupun liabiliti dengan mana-mana pihak.

Siasatan yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendapati syarikat Bukit Nilai Development Sdn.Bhd (95650-X) dan Build Through Engineering Sdn.Bhd (620216-P) pada masa material permohonan pemotongan nama dibuat oleh tertuduh, adalah masih mempunyai hutang dengan sebuah syarikat lain iaitu Seng Hiap Glass Sdn.Bhd (86245-A).

Pada 28 Julai 2017, tertuduh telah dituduh dihadapan hakim Tuan Ahmad Fairuz bin Mohd Fuzi di Mahkamah Sesyen 4, Seremban, dan tertuduh telah membuat pengakuan bersalah bagi kedua-dua pertuduhan sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mahkamah pada hari ini telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM20,000.00 atau 3 bulan penjara sekiranya denda gagal dibayar bagi setiap sabitan pertuduhan. Tertuduh telah menjelaskan denda RM 40,000.00 bagi kedua-dua sabitan pertuduhan tersebut.

SSM memandang berat kesalahan yang serius ini kerana ia menjejaskan kredibiliti dan integriti maklumat yang disimpan oleh SSM. Oleh itu, sabitan ini merupakan peringatan kepada orang awam bahawa tindakan pendakwaan akan diambil sekiranya berlakunya kesalahan di bawah peruntukan undang-undang yang dikawalselia oleh SSM.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SSM Kanan, Mohd Fairuz bin Othman dan Muhamad Afif bin Abdullah dan manakala tertuduh diwakili peguam Lee Kok Wah dari Tetuan  Tan, Goh & Associates.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia
Bertarikh: 8 September 2017