AKTA SYARIKAT 1965 KERANA MEMBUAT PENYATAAN PALSU KEPADA PENDAFTAR SYARIKAT (SSM)

Isnin, 4 Disember 2017: Seorang pengarah syarikat warganegara Senegal, Mamadou Ndaw,  telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana dikatakan telah bersubahat melakukan kesalahan di bawah seksyen 364(2) Akta Syarikat 1965.

Pertuduhan yang dikenakan terhadap Mamadou Ndaw adalah berkaitan dengan membuat satu penyataan palsu berkenaan butir-butir material di dalam Borang 32A bertarikh 21 September 2011 iaitu satu dokumen yang dikehendaki oleh seksyen 103(1) Akta Syarikat 1965 yang mana penyataan palsu tersebut adalah berhubung dengan pemindahan saham Adam Shaker Helmy El Sayed Helmy berjumlah 350,000 unit di syarikat Pharco Sdn Bhd kepada Mohamed Mahmoud Helmy.

Kesalahan di bawah seksyen 364(2) Akta Syarikat 1965 memperuntukkan hukuman penjara sehingga tempoh 10 tahun atau denda sehingga RM250,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Hakim Tuan Wan Mohd Norisham bin Wan Yaakob memerintahkan Mamadou Ndaw diikat jamin RM5,000 dengan dua orang penjamin warganegara Malaysia dan kes akan disebut semula pada 28 Disember 2017.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa SSM, Abdul Hadi bin Abdul Muti dan Muhammad Afif bin Abdullah manakala tertuduh diwakili oleh peguam, Encik Bernard Francis.

DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM)     
TARIKH: 4 DISEMBER 2017