UTUSAN KPE
Akademi Latihan telah mula beroperasi pada April 2007 dan kini dikenali sebagai COMTRAC atau Companies Commission of Malaysia Training Academy atau Akademi Latihan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Dengan kelahiran nama baru ini, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yakin bahawa COMTRAC akan bergerak ke hadapan dalam menawarkan pelbagai program latihan kepada setiap pihak berkepentingan yang berminat untuk mendapatkan pemahaman yang lebih jelas dari pelbagai aspek yang berkaitan dengan hal-hal perniagaan dan syarikat.
Semua program yang dijalankan menunjukkan komitmen SSM dalam menggalakkan dan mempromosikan tatalaku tadbir urus korporat yang baik di kalangan pengarah syarikat, setiausaha syarikat dan para pegawai syarikat. Modul latihan yang komprehensif akan memperlengkapkan para peserta dengan pemahaman yang jelas terhadap pelbagai pengetahuan berkaitan perniagaan dan aktiviti korporat disamping memberikan kefahaman berkaitan keperluan pematuhan yang penting dalam membantu mereka mengendalikan tugas dan tanggungjawab mengikut peruntukan yang telah ditetapkan di bawah Akta Syarikat 1965 dan lain-lain peraturan perundangan yang ditadbir oleh SSM.
Dengan kewujudan COMTRAC, SSM akan menerajui usaha-usaha ke arah memberikan latihan, melaksanakan pelbagai aktiviti dan membuka peluang bagi pembelajaran serta pembangunan berterusan kepada pihak-pihak berkepentingan untuk mempertingkatkan pengetahuan, kemahiran serta kecekapan yang mereka perlukan.
Terima kasih.
ABDUL KARIM ABDUL JALIL
Ketua Pegawai Eksekutif
Suruhanjaya Syarikat Malaysia |