Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
ingin mengingatkan orang awam supaya berwaspada dengan tawaran temuduga
dan peluang pekerjaan dengan gaji yang lumayan yang ditawarkan oleh
syarikat yang menjalankan aktiviti pelaburan secara atas talian.
Hasil pemantauan SSM mendapati terdapat syarikat yang menawarkan
peluang pekerjaan dengan pelbagai jawatan serta gaji yang lumayan,
namun sebenarnya diperalat sebagai agen untuk mencari pelabur bagi
menyertai pelaburan berkaitan perdagangan mata wang asing (FOREX
trading) dan perdagangan emas (GOLD trading) yang dijalankan menggunakan
platform secara atas talian.
Orang awam adalah dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya
dengan peluang pekerjaan daripada syarikat berkenaan dan dinasihatkan
untuk membuat semakan dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang berkaitan
bagi memastikan pelaburan yang ditawarkan telah mendapat kelulusan
secara sah dan mematuhi undang- undang sedia ada di Malaysia bagi
mengelak daripada menjadi mangsa kepada pelaburan haram atau tidak
berdaftar.
Sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan dan maklumat berhubung
perkara di atas, sila hubungi mana-mana pejabat SSM yang berhampiran
atau membuat aduan melalui laman web rasmi SSM di ssm.com.my.
SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM)
17 OKTOBER 2018